Oleh HASMI HASHIM Saya tidak tahu, di mana diri saya waktu itu. Antara kekacauan politik bercampur kelaparan; antara agama yang saya faham sejak kecil, dengan ideologi-ideologi terutama faham politik kekirian yang menderu; antara cinta yang baru mahu tumbuh dengan blantan dan brutaliti polis; antara masa lalu, dengan masa depan. Seluruhnya keliru.
Saya menghabiskan masa dengan buku, majalah, filem, internet dan kertas tulis. Di dalam bilik samar. Di Bangsar Utama. Tapi, saya tidak tahu, di mana saya sebenarnya? Atau, hidup yang mengganas itu barangkali membuatkan sesiapapun akan hilang dirinya.
Dalam kekaburan itu, saya lalui hari-hari yang sukar, yang waktu itu saya tak tahu betapa sukar ia. Jauh lagi menduga. Berdebu pada siang. Lekit kala malam dengan umbun-umbun dimamah embun.
Kalau akhirnya saya selamat sampai ke tahun 2010 ini, maka tidak lain kerana ada kertas dan pen; ada diari yang tak lepas saya catatkan apa yang berlalu, hampir tiap waktu. Seperti di satu ketika, “kertas dan pen” juga pernah menyelamatkan daripada ditangkap polis.
Tahun 2001.
Pada suatu hari, selepas tamat date line akhbar Berita Keadilan, saya tak dapat tangguh-tangguh untuk membeli album terbaru M Nasir, Pheonix Bangkit. Walaupun sudah hampir tiga hari tidak tidur kerana mengejar date line, tetapi perlu juga segera membeli album itu. Wang dalam poket, ada lebih kurang dalam RM60 ringgit.
Semua kedai masih tutup. Masih terlalu awal. Dalam jam 8.30 pagi. Mata yang merah dari malam tadi.
Sementara menunggu jam 10, kedai buka, saya mundar-mandir sekeliling Central Market. Lorong-lorong di sekitar, habis diredah, cari-cari kalau ada kedai kaset yang buka cepat. Tak ada. Sampai ke Jalan Stadium.
Saya tahu, pagi itu ada demontrasi mendesak agar tahanan ISA dibebaskan selepas tempoh siasatan 60 hari selesai. Andai tidak, para tapol bakal dikirim ke Kem Tahanan Kamunting. Paling kurang 2 tahun.
Dengan lesu, dengan mata merah, mustahil saya dapat menyertai demontrasi. Setiap perhimpunan memerlukan tenaga yang cukup. Selepas bertungkus-lumus menyiapkan Berita Keadilan, mustahil memang mustahil saya dapat bersama menyertai demontrasi.
Lagipun, ia bukanlah demontrasi utama. Jadi, saya ‘ponteng’.
Sambil melangkah dari Jalan Stadium untuk kembali ke Central Market, tiba-tiba, saya ditahan orang yang tak saya kenal.
“Berhenti!” jeritnya.
Dua orang di atas motor.
Saya berhenti. Tercegat. Berdiri.
Keduanya tidak berenggang dengan motor. Keduanya memandang ke arah saya, atas-bawah, atas-bawah.
Seperti biasa, saya menggalas beg kain, warna putih yang dah berlapuk. Dengan kaca mata yang cerminnya bukan sahaja berdebu, tetapi sejuta calar-calar halus menambah kekaburan pandangan.
Di tangan, ada buku. Berbaju merah. Jeans reput dan koyak pada lutut. Dan pen, di kocek baju ~ kadang, saya mengigit-gigit pen. Tabiat yang buat emak selalu tegur.
Kedua orang itu, seorang bermisai agak tebal dan cermin mata hitam, seorang lagi berhelmet, tetapi masih tidak bertindak apa-apa. Saya terus terpacak, macam tiang lampu.
“Bukan yang itu!” tiba-tiba ada suara keras dari arah belakang.
Beberapa orang, agak tak jauh, saya nampak bertempiaran.
Dua orang itu, yang tadi minta saya berhenti, tak jadi menangkap saya. Dia terhugal-hagil menghidupkan kembali enjin motorsikal dan terhugal-hagil mengejar dua-tiga lelaki yang hilang macam pelesit. Sebelum beberapa yang lain, anggota yang beruniform, mengekori, sama-sama menghambat lelaki-lelaki itu.
“Kenapa?”
Saya bertanya. Saya menduga ada operasi menangkap mat gian, tetapi kenapa saya lepas dan langsung tak disentuh?
Hanya beberapa lama selepas itu, atau mungkin sahaja hari ini, saya menduga yang pagi itu saya terlepas daripada ditangkap kerana buku di tangan. Sewaktu mereka meminta saya berhenti, dengan suara keras, saya sedang membelek-belek buku dalam langkah yang longlai.
Tak cukup tidur. Tak cukup makan. Tak cukup air. Tetapi, buku, telah ‘menyelamatkan’…
Paling tidak selepas hampir sedekad berlalu, dan sebentar tadi, orang merayakan tahun baru. Bunyi bunga api meledak macam bertih jagung. Pecah betul-betul di beranda rumah ~ setiap tahun baru, saya jarang keluar ke mana-mana.
Siapa yang mengerti akan semua keperihan itu; di hari yang tinggal hanya bara dan kebencian di dada dan waktu itu pada umur yang terlalu mentah. Semua kepayahan terpaksa diredah tanpa sepenuhnya disedari.
Kadang, apabila menceritakan kembali satu persatu ~ ramai termasuk kalangan yang tua, yang muda, yang baru menyertai parti yang kini punya kuasa ~ pun tidak tahu betapa peritnya hidup di “era Reformasi”. Apatah lagi melaluinya.
Kaset terbaru sudah ada di tangan.
Mengambil keretapi balik ke bilik. Saya mahu lena, dalam alunan lagu. Lagu yang baru.
Seraya menanggalkan baju, mamasang kaset pada radio buruk yang ditinggalkan Hishamuddin Rais kerana dia juga ditangkap, saya mula melabuhkan badan pada tilan tipis dan keras. Terasa selamat.
Tak lama, ada ketukan pintu. Dum-dum-dum, kuat. Sangat-sangat kuat.
“Apa lagi?” bisik hati. Agak luar biasa.
Dari celah-celah tingkap kaca yang penuh debu, dari tingkat satu atas kedai dobi, saya tinjau ke bawah. Ada keretapi Wira putih dua buah. Sah, kereta polis ~ macam kereta yang menangkap Hishamuddin lebih 60 hari lalu.
Seorang kawan bergari tangannya ~ dia ditangkap di hadapan Balai Polis Jalan Stadium, dalam demontrasi pagi itu. Dan ketukan pintu yang bagai nak pecah itu, adalah kerana polis mahu menggeledah pusat gerakkan kami di tingkat 4.
Tengkuk terasa semakin keras. Urat seperti mahu putus. Tetapi saya tak ada pilihan, walaupun terpaksa menangguh untuk tidur. Menangguh untuk mendengar lagu-lagu dalam mimpi.
Sehingga menjangkau tahun yang lain, yang seolah-olah ada sesuatu yang ghaib yang sering melindungi. Dengan kalender pun bertukar. Termasuk detik 12 malam yang diraikan sebentar tadi.
Selamat tahun baru, 2010. Amin.