Sabtu, 6 November 2010

Hari keempat PKR mengundi, dijangka tidak lebih 25 peratus

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Sementara beberapa pemimpin dan calon secara peribadi turun di Sabah hari ini, peratusan keluar mengundi diramal tidak mencecah 50 peratus sebagaimana disasarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR sebelum ini.
Berdasarkan maklum balas yang diterima sejak 10 pagi tadi daripada beberapa pengawas lantikan JPP, jangkaan rambang The Malaysian Insider berhubung peratusan keluar mengundi, umumnya dilihat tidak akan melebihi 25 peratus.
Pengundian hari keempat hari ini juga akan berakhir 4 petang ini.
Pengelola JPP Raden Shamsulkamar Raden Samsudin sebelum ini melahirkan keyakinan untuk mencapai sasaran kira-kira 20,000 anggota dari 26 pusat pengundian di Sabah dan Pasir Mas, Kelantan yang turun mengundi hari ini dan esok.
Hari ini pengundian dilangsungkan di Kota Belud, Kudat, Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Keningau, Libaran dan Ranau.
Proses pemilihan juga diadakan di Pasir Mas iaitu hanya satu cabang di Kelantan.
Hari ini beberapa pemimpin PKR termasuk yang bertanding dikatakan turut turun di Sabah untuk menggerakkan ahli supaya keluar mengundi.
“Saya di Beaufort memberikan sokongan moral kepada anggota dalam pemilihan MPP.
“Singgah di Pesta Bagandang di Pekan Beaufort,” kata Azmin Ali, naib presiden yang bertanding jawatan timbalan presiden, dalam mesej menerusi Twitter pagi ini.
Malah dalam mesej Twitter, Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali pula berkata, “anggota-anggota PKR harus waspada terhadap blog-blog dan laman-laman web yang menabur pelbagai fitnah untuk gagalkan pemilihan parti.”
“Mereka punya agenda buruk,” kata beliau yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini.
Sasaran yang dinyatakan ketika peratusan keluar mengundi pada tiga hari pertama pengundian — Jumaat, Sabtu dan Ahad minggu lalu menyaksikan kira-kira sembilan peratus ahli dari 68 cabang mengundi berbanding secara purata 20 peratus ketika pemilihan peringkat cabang sebelum ini.
Peratusan keluar mengundi itu membabitkan cabang di Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Menurut Pengawas Pusat Pengundian Kota Belud, Abdul Rahman Rahim, dijangkakan 10 peratus atau kira-kira 220 anggota dari 2,250 keseluruhan ahli akan turun mengundi.
“Jangkaan saya tidak pasti, mungkin kurang daripada 10 peratus,” kata Abdul Rahman kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun katanya, jangkaan itu adalah tidak pasti walaupun pasukan JPP agresif berkempen supaya peratusan turun mengundi meningkat berbanding peratusan turun mengundi minggu lepas.
Begitu juga dengan Hezryiani Mahzan yang dipertanggungjawabkan mengurus pusat pengundi Kudat.
Menurut Hezryiani, pasukannya menjangkakan sekitar 300 orang sahaja yang akan turun mengundi di pusat pengundian tersebut hari ini.
“Kira-kira 300 orang sahaja yang akan mengundi, ini jangkaan sahaja, itu pun tak pasti lagi,” ujar beliau.
Jangkaan itu membayangkan hanya 13.53 peratus dari 2,216 keseluhuhan anggota di cabang Kudat akan turun mengundi hari ini.
Di pusat pengundian Beaufort pula, pengawasnya Zikri Fadzil menganggarkan sekitar 400 hingga 450 anggota dijangka turut bagi memilih pucuk pimpinan pusat.
“Kita di sini menjangkakan keluar mengundi dalam 400 hingga 450 (anggota) sahaja,” kata Zikri kepada The Malaysian Insider.
Jumlah maksimum yang dijangkakan itu membawa pada 11.88 peratus daripada 3,785 keseluruhan anggota di cabang itu.
Pengawas pusat pengundian Papar, Zarina Zainol pula memberitahu, sekitar 500 anggota dijangk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Angka tersebut berdasarkan maklum balas daripada Ketua Cabang Papar J. Ghani sendiri, katanya.
“Kita belum jangka lagi tetapi menurut Ketua Cabang (Papar) J. Ghani, sekitar 500 anggota akan turun (mengundi),” ujar Zarina.
Jangkaan rambang The Malaysian Insider sendiri adalah peratusan turun mengundi hari ini mungkin berkurangan ekoran kelahan calon PKR Ansari Abdullah pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi yang berakhir kelmarin, sedikit sebanyak mengganggu momentum anggota keluar mengundi.
Namun, Badrul Hisham Shaharin yang bertanding jawatan Ketua AMK Rabu lalu menjangkakan bahawa peratusan keluar mengundi di Sabah meningkat ekoran momentum pilihan raya kecil itu.
Esok, proses pembuangan undi dijadualkan di cabang Penambang, Sandakan, Silam, Tawau, Tauran, Sepanggar, Kota Marudu, Pensiangan, Putatan, Kimanis, Sipitang, Tenom, Beluran, Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Labuan setelah JPP membuat penangguhan sebelum ini ekoran pilihan raya kecil.
Selain esok, proses pengundian dijadualkan pada 13, 14, 20 dan 21 November ini.
Tumpuan paling panas pada hari ini dan esok dijangkakan masih pada kerusi Timbalan Presiden yang menjadi perebutan antara Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub dan Datuk Zaid Ibrahim.
Keputusan sulung berdasarkan tiga hari pengundian minggu lalu menyaksikan Azmin berada di depan berbanding Zaid. Mustaffa jauh ketinggalan di belakang.
Kerusi Ketua Wanita turut menjadi perhatian apabila penyandangnya Zuraida Kamaruddin dicabar oleh Animah Ferrar dan Dr Suraya Sudin.
Begitu juga dengan kerusi AMK, iaitu sayap pemuda parti yang menyaksikan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai “Chegubard” agresif mencabar penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Zuraida dan Badrul Hisham berada di depan pada saringan peringkat masing-masing.
Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua turut di depan meninggalkan 16 calon Naib Presiden lain iaitu Ansari, Nurul Izzah Anwar, Baru Bian, Dominique Ng, Fuziah Salleh, N. Gobalakrishnan, James Ghani, Jonson Chong, Datuk Mansor Othman, R. Sivarasa, S. Manikavasagam, Saiman Marjuki, R. Suresh Kumar, Dr Xavier Jayakumar, Yahya Sahri dan Yusmadi Yusoff merebut empat kerusi Naib Presiden.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal mempertahan jawatan Presiden kerana tiada pencabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA