SILA KLIK UNTUK PENAJAAN

Jumaat, 1 Oktober 2010

Siri 9 : Pemilihan AMK, Keadilan

Saya telah memperuntukkan dua siri penulisan untuk setiap calon Ketua AMK (termasuk saudara Shamsul Iskandar yang belum membuat pengumuman terbuka mengenainya). Itu hanyalah ingatan saya tentang pengalaman terhad bersama setiap calon tersebut.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, jika saya diberikan peluang, siapakah sebenarnya calon pilihan saya?
Mungkin juga kerana keinginan untuk tahu itu jugalah yang menyebabkan Edyes (penulis blog edyesdotcom) tersalah memetik satu tulisan ulasan ‘Debat AMK’ tempoh hari sebagai tulisan saya. Oleh kerana tulisan tersebut menyatakan sikap sokongan kepada saudara Rafizi, beliau membuat keputusan untuk berbeza pendapat atas sebab-sebab yang dikemukakannya kemudian. Saya telah minta beliau betulkan pemilik sebenar tulisan yang beliau maksudkan kerana dalam semua tulisan saya tidak ada mencadangkan para ahli AMK untuk memilih siapa.
Saya bukan ahli, sekurang-kurangnya yang layak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini. Tetapi ramai yang tahu bahawa saya adalah seorang simpatisan reformasi, jika boleh disebut begitu. Saya cuba mengikuti perjalanan politik Keadilan dari jarak sederhana kerana parti ini lahir di tengah gejolak tuntutan reformasi.
Baiklah, dalam 8 siri tulisan sebelum ini, saya tidak cuba mengkritik mana-mana calon. Jika ada tanggapan ia wujud sekalipun, saya hanya mencatat secara objektif setakat apa yang diketahui dan didengari. Banyaknya, ia jatuh ke wilayah persepsi.
Adakah itu bermaksud semua calon ini sempurna? Sudah tentu tidak!
Adakah semua calon ini tidak layak. Juga tidak!
Dalam bidang kelulusan akademik saya, ada kursus wajib yang perlu saya ikuti iaitu berkaitan tingkah laku manusia (human behaviour). Cabang kemahiran saya ialah pengendalian program dan latihan sumber manusia berasaskan alam. Sebab itu saya sangat suka dengan tagline Ureka. Maka, apa yang menarik dapat dilihat daripada pemilihan Keadilan ini kepada saya, tentulah aspek ini.
Saya tidaklah pandai, tetapi sedikit sebanyak itu adalah juga cuba memahami luas persoalan kepimpinan dan organisasi di samping sedikit pengalaman mengendali kursus untuk badan kerajaan, korporat, anak muda dan pelajar sekolah. Saya mahu berkongsi, bukan mengajar. Mungkin saya silap atau tidak cukup faham, jadi saya sedia belajar jika ada yang sudi berkongsi.
Setakat pemahaman saya berkenaan kajian tingkah laku, ia sebenarnya bermula daripada persepsi. Persepsi ini kemudian akan membentuk sistem kepercayaan kita dan seterusnya sikap. Jika saya padankan hal ini dalam konteks politik, sikap yang ditunjukkan oleh ahli Keadilan misalnya, mempunyai sandaran kepercayaan dan juga persepsi yang harus cuba difahami. Persepsi tidak semestinya benar, tetapi ia boleh memberikan kesan besar kepada tindakan yang diambil seseorang.
Saya fikir, soalan pertama yang wajar kita tanyakan ialah: “Kenapakah pemilihan ini perlu dibuat? Tidak bolehkah ia dipilih atau dikekalkan kepimpinan sebelumnya?”. Tentu sekali banyak jawapan boleh diberikan.
Untuk saya: Ya, pemimpin boleh dipilih atau dikekalkan. Kita ambil misalnya nanti, selepas pemilihan, Ketua Perhubungan dan Ketua AMK negeri akan dipilih dan akan dirombak, jika perlu. Ini adalah satu hak pregoratif pimpinan pusat yang entah pernah atau tidak ditanyakan oleh ahli parti di peringkat akar umbi.
Umumnya kita boleh memberikan justifikasi bahawa “siapa jadi ketua pun tidak mengapa, asalkan buat kerja”. Kenyataan ini betul, tapi ia boleh masuk ke wilayah retorika. Bukan sekadar itu, ia boleh meremehkan isu kepimpinan dan tentunya organisasi. Mungkin ini nampak remeh, tapi jangan tidak tahu bahawa ramai juru perunding latihan sumber manusia ‘buat duit’ untuk menyelesaikan masalah jenis ini.
Organisasi khususnya parti politik; biar sehebat mana pun karisma dan pengalaman tokohnya atau segagah mana dan ideal slogan perjuangannya, perlu menghayati pesan Saidina Ali k.w. r.a. bahawa “kebaikan yang tidak terorganisasi akan lebih mudah ditewaskan oleh kejahatan yang terorganisasi”.
Ada satu kisah pernah dibukukan dalam Buku Panduan Latihan Pejuang Islam yang antara lain turut dirangka bersama berasaskan, mengikut kata pengantar di dalam buku tersebut, sumbangan pandangan oleh saudara Anwar Ibrahim dulu. Kisahnya lebih kurang seperti ini:
Terdapat satu kekuatan tentera sedang mara ke medan perang. Panglima di depan sekali gagah mengangkat pedang sambil diikuti oleh ratusan tentera berbaris-baris di belakangnya. Sebenarnya, mereka tidak begitu pasti ke manakah arah paling tepat untuk dituju. Namun, di kalangan ratusan tentera itu terfikir: “tentulah kita tidak akan sesat kerana panglima kita di depan itu kelihatan yakin bergerak”.
Jauh sudah perjalanan, si panglima juga tidak pasti sama ada beliau telah mengambil jalan yang sepatutnya. Namun, beliau terfikir: “tentulah aku tidak salah kerana tak mungkin di kalangan ratusan tentera aku ini berdiam diri dan hanya mengikut”.
Saya fikir, kes ini wujud dalam Keadilan. Memang, ada simpatisan atau ahli sendiri yang membiarkan kelompok aktif khususnya ketua, membuat keputusan bagi pihak mereka. Juga banyak, ketua yang hanya tahu memberikan arahan dengan menuntut kepatuhan. Tidak kurang juga wujud kes ahli yang ‘mengarah’ ketua.
Sebab itu, saya berpendapat satu ‘common ground’ mestilah dibentuk dengan jelas.
Saya menyukai Keadilan kerana setakat ini telah menunjukkan komitmen tinggi sebagai sebuah parti inklusif – jamak kelompok, yang sekaligus tentunya termasuk membawa rencam pandangan.
Kompleksiti Keadilan ini memang tidak mudah untuk ditangani. Untuk saya, itu daya tarikan penting yang perlu dipelihara.
Bagi yang tidak tahan, apatah lagi bila kalah, mungkin akan lekas mencari jalan keluar (exit plan). Hujah yang biasa kita dengar ialah: “apa beza Keadilan dengan UMNO?” misalnya.
Bagi yang mahu bertahan, cabarannya tidak mudah. Ia mungkin sampai menjadikan mereka ini tidak ubah seperti mitos Greek tentang kisah Sisyphus. Sebab itu ada yang akhirnya terpaksa memakai formula Barisan Nasional (BN) untuk ‘survive’ dalam Keadilan.
Saya akan menyambung perkongsian saya ini nanti. Sementara itu, ada satu kata yang pernah disebut Sir Kurt Hahn, tokoh akademik dan juga pengasas pergerakan Outward Bound School (OBS); dan saya yakin manusia yang percayakan kebebasan perlu merenung dan memahaminya: “kebebasan dan disiplin bukanlah musuh, tetapi rakan”.

Amin Ahmad, 28 ialah anak muda yang suka memerhari perkembangan politik tanah air.

0 comments:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA