October 01, 2010

Tengku Razaleigh Hamzah
“Beliau (Tengku Razaleigh) telah dimaklumkan akan pelantikan ini dan telah menerima jawatan tersebut.
“Beliau sendiri yang menghubungi saya dan memaklumkan Timbalan Perdana Menteri menghubunginya tentang pelantikan tersebut dan menerimanya,” kata Timbalan Ketua Umno Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Menurut Mat Yusoff, pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Galas adalah satu keputusan luar biasa dibuat parti.
“Parti membuat satu keputusan luar biasa dengan melantik Tengku Razaleigh kerana sebelum ini biasanya Timbalan Perdana Menteri yang akan menjadi pengarah pilihan raya.
“Dalam mesyuarat sebelum ini kita mencadangkan agar Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengarah pilihan raya. Parti setuju tapi dengan syarat Tengku Razaleigh setuju.
“Dalam perbualan bersama Tengku Razaleigh baru-baru ini, beliau telah mengarahkan supaya Umno Bahagian (Gua Musang) untuk bersiap sedia dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi DUN Galas,” katanya.
Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri berkata Umno Bahagian Gua Musang yakin akan memenangi semula kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi PAS.
“Kita yakin untuk menang di sini (Galas), lagipun ini memang kubu kuat Umno-BN cuma dalam pilihan raya lepas kita hanya bagi pinjam sahaja kepada PAS.
“Tetapi kali ini kita akan rampas balik kerusi Galas dan dengan persiapan rapi yang dibuat sebelum ini kita boleh menang,” katanya.
Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.
Ia salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen yang diterajui Tengku Razaleigh.
Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.
Muhyiddin berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.
DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
Tambah Mat Yusoff, pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil merupakan satu kelebihan kepada Umno untuk merampas semula DUN Galas.
“Beliau (Tengku Razaleigh) memang dikenali di sini (Gua Musang), boleh dikatakan beliau dan Gua Musang sudah sinonim.
“Jadi dengan pelantikan ini ia merupakan satu kelebihan kepada kita untuk menang,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA