SILA KLIK UNTUK PENAJAAN

Rabu, 1 September 2010

Sasterawan Dan Budayawan Mesti serius Memperkaya Budaya Sendiri, Ujar A Samad Said

31 Ogos - Tokoh sasterawan tanahair, A Samad Said menyatakan harapannya agar berlaku pertukaran kerajaan baru yang menghargai, mengerti dan mempunyai iltizam untuk melestarikan bahasa Melayu.
Beliau bimbang bahasa Melayu akan pupus atau sekadar berlegar sebagai lidah pasar akibat sikap tidak prihatin kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gagal memartabatkan bahasa Melayu dalam keghairahan negara mengejar nama dan status.
Tubuh tua A Samad Said, bersama ribuan pejuang-pejuang bahasa Melayu dikasari, digas dan tidak dipedulikan pemerintah ketika mereka berarak mempertahankan bahasa Melayu pada 7 Mac 2009.
Mereka antara rakyat Melayu, Cina, India dan berbilang bangsa yang berhimpun di Masjid Negara, dalam usaha mendesak kerajaan untuk tidak mengenepikan bahasa ibunda dan menggantikan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI).
Samad Said bertegas bahawa mereka berhimpun hari itu bukan untuk menidakkan kewajiban anak-anak Malaysia menguasai bahasa Inggeris sebaliknya, mereka sudi menghadap gas berbisa dan hayunan belantan itu rentetan dari sikap kerajaan Malaysia yang tidak menunjukkan komitmen dan iltizam yang sama kepada bahasa etnik semasa memartabatkan lidah Inggeris berkenaan.
“Saya fikir semua sasterawan dan budayawan mesti seriuslah dalam tindak tanduk memperkaya bahasanya sendiri” kata beliau.
Samad Said melahirkan kesedihan di atas penguasaan bahasa Melayu yang lemah di kalangan pemimpin politik hari ini. Bagi beliau, kita sebagai masyarakat Malaysia amnya dan melayu khususnya harus menyuburkan bahasa kita sendiri walaupun kerajaan sekarang tidak memberi insentif dan galakan yang munasabah.
“Saya harap ada pertukaran kerajaan di mana kerajaan baru akan lebih bersimpati dan akan lebih mengerti serta mengembalikan bahasa Melayu kepada tempatnya yang sebenar” ujar beliau lagi.
Beliau tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara sejagat, seperti yang ditegaskan berulang-kali oleh penyokong-penyokong sistem pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik itu, apa yang beliau dikesali beliau adalah kerajaan enggan mengiktiraf kekuatan Bahasa Melayu sebagai lingua franca 200 juta  pengguna di nusantara.
“Kalau kita lihat di Malaysia, memang kita tidak yakin, tetapi bahasa Melayu itukan bukan di Malaysia sahaja, bahasa Melayu itu ada juga di Indonesia walaupun dipanggil bahasa Indonesia dan bahasa itu digunakan oleh 200 juta insan di sini. Cuma 20 juta sahaja mungkin di sini akan gagal tetapi ia tidak bererti Bahasa Melayu akan gagal di Nusantara” kata Samad Said.
“Saya fikir seharusnya dimartabatkan semula bahasa melayu itu berasaskan Perlembagaan yang merestui bahasa itu sebagai Bahasa Kebangsaan dan memberikan nilai ekonomi dan rangsangan yang sepatutnya kepada yang menggunakannya” kata beliau lagi.
“Kalau tak ambil berat ertinya bahasa Melayu ini sendiri akan menjadi bahasa yang terpinggir, menjadi bahasa yang tidak berfungsi dan bahasa Inggeris akan duduk di takhta, dan segala-galanya akan bermula dengan Bahasa Melayu menjadi bahasa rakyat biasa sahajalah yang kali berguna ketika orang berkempen untuk pilihanraya itu sahaja.” ujar beliau mengakhiri bicara.-Mohd Ezli Mashut

0 comments:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA