Takdir menentukan Ahli Dewan Undangan Negeri PAS kawasan Galas ,Che Hashim Sulaima, 48 meninggal dunia di Hospital Pakar Kampung Baru,Kuala Lumpur akibat kanser usus yang lama dihidapinya petang Isnin.

Galas,sebuah kawasan terpencil di daerah Gua Musang,Kelantan bakal menjadi ‘nama besar’ menjelang pilihanraya kecil yang perlu diadakan bila-bila masa dalam tempoh 60 hari dari sekarang.

Bukan setakat Galas,perhatian langsung akan bertumpu kepada otai arena politik negara yang sekian lama bertapa sebagai Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan Ahli Parlimen kawasan itu Tengku Razaleigh Hamzah.

Mampukah beliau kembalikan kedudukan kepada 3-0 di kawasan naungannya itu setelah Galas ‘bocor’ pada pilihanraya umum Mac 2008 dengan hanya 646 majoriti apabila orang kanan bekas Menteri Kewangan itu,Saufi Deraman tewas kepada Allahyarham Che Hashim.
Pada pilihanraya umum 2004 Tengku Razaleigh berjaya memimpin kawasannya dengan menyapu bersih ketiga-tiga DUN - Galas,Paloh dan Nenggeri serta Parlimen Gua Musang.

Malah dalam politik...Gua Musang memang sudah sinonim dengan Tengku Razaleigh.

Mengambil kira persaingan sengit masa pilihanraya kecil Manek Urai di derah Machang pada 14 Julai 2009 lalu di mana BN hanya tewas 65 undi di tangan PAS…Galas pasti menjanjikan rematch yang mendebarkan.

Jumlah pengundi di Galas yang merupakan salah satu antara DUN yang mempunyai keluasan yang besar di antara 44 DUN di Kelantan cuma 10,330 sahaja.

Masa PRU ke 11 tahun 2004 Saufi menewaskan Allahyarham Che Hashim dengan majoriti 1,729.Saufi dapat 4,184 undi manakala Che Hashim 2,455.

Pada PRU ke 12 Saufi tewas apabila Allahyarham dapat 4,399 berbandingnya 3,753 undi.

Di Kelantan kini PAS tinggal jauh BN dari segi kerusi 38 vs 6 manakala 1 PKR.

Kemampuan BN untuk merampas balik 1 kerusi tidak akan jadi kudis pada PAS Kelantan.

Namun dalam senario politik nasional siapa yang kena ‘ galas’ Galas tahu ia adalah satu tugas amat berat.

BN yang lebih banyak tewas dalam 11 pilihanraya kecil sejak PRU ke 12 pasti nak tebus semangat di Galas.

Ini lebih-lebih lagi kejayaan besarnya di Bagan Pinang,Hulu Selangor dan Batang Air dirosakkan oleh kekalahan di Sibu.
Sebelum itu BN kalah di Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan lima lagi pada tahun 2009 - Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau (7 April), DUN Penanti (31 Mei), DUN Manek Urai (14 Julai) dan DUN Permatang Pasir (25 Ogos).
PAS pun tahu lawannya di sini bukan sekadar Galas...kerana yang menunggu di gelanggang untuk berentap ialah Tengku Razaleigh.-
AD.