Selasa, 17 Ogos 2010

Edisi Keenam - Metro Keadilan Kini Di Pasaran

SHAH ALAM 16 Ogos - Akhbar tidak berkala siri keenam berjudul Metro Keadilan menemui ahli KEADILAN dengan memaparkan "Akibat Tipu Peneroka Felda Disaman RM200 Juta" sebagai tajuk utama yang menghiasi muka depan akhbar tersebut.
Metro Keadilan yang mula diedarkan keseluruh negara mulai hari ini melaporkan mengenai tindakan lebih 700 peneroka daripada dua tanah rancangan di Negeri Sembilan yang mengemukakan saman sebanyak RM200 juta terhadap Felda kerana mendakwa ditipu berhubung isu perahan buah sawit.
Isu Felda juga masih panas diperkatakan dengan pendedahan pendapatan bersih peneroka hanya berjumlah RM772 sebulan selepas dibuat pelbagai potongan.
Metro Keadilan juga mendedahkan usaha Umno-Barisan Nasional mengaut wang rakyat sebagai petunjuk Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir.
Turut mendapat ruang di muka depan akhbar itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didakwa mengamal politik munafik apabila membuat kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Di muka belakang, Metro Keadilan pula mendedahkan Malaysia menjadi negara yang membayar yuran perkhidmatan yang tinggi di dunia kepada Apco Worldwide sebanyak RM77 juta.
Liputan bergambar pula memuatkan majlis Sambutan Orang Asal Sedunia di Pantai Bagan Lalang dan Himpunan Orang Asal Bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain itu, turut diselitkan gambar Misi Konvoi Ramadan Di Gaza Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelancaran Kempen Penerangan Kenaikan Harga Barang di, Lembah Pantai.
Metro Keadilan menyusul selepas lima terbitan tidak berkala - Keadilan, Obor Keadilan, Sinar Keadilan, Utusan Keadilan dan Berita Keadilan.
Siri tidak berkala ini bagi mengganti lidah rasmi parti, Suara Keadilan yang digantung permit penerbitannya sejak 30 Jun lalu apabila tempoh sahlakunya tamat.
Sehingga kini Kementerian Dalam Negeri mengambil sikap membisu termasuk Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung sama ada pihak kementerian akan memperbaharuinya atau terus menggantung permit penerbitannya.
Akhbar 24 mukasurat itu dijual pada harga RM2 senaskah di Semenanjung dan RM3 di Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA