Sabtu, 19 Jun 2010

Sikap Najib Menghakis Kepercayaan Antarabangsa

Ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil tempoh beberapa tahun sebelum beliau 'dianugerah' gelaran pemimpin yang berdolak-dalik atau tiada pendirian tetap  dan sentiasa mengubah keputus-annya. Gambar beliau tertidur semasa majlis-majlis tertentu yang disebarkan meluas di Internet, hanya memperkuatkan imej Pak Lah itu.
Namun, pengganti beliau, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu menunggu tempoh sebegitu lama untuk dinobatkan dengan gelaran  sama.  Rentetan tindakan  beliau setelah diangkat menjadi Perdana Menteri pada April 2009 sudah cukup melayakan Najib sebagai Perdana Menteri berdolak dalih yang membahayakan Umno dan menjejaskan jangka hayat Barisan Nasional (BN) sendiri sebagai parti pemerintah. 
Kita melihat meskipun ciri peribadi yang lemah itu mungkin dilihat sebagai 'menguntungkan' Pakatan Rakyat (Pakatan)secara politik,  kesan lebih besar ialah ia menghakis kepercayaan masyarakat antarabangsa dan pelabur terhadap Malaysia.
Dalam tempoh setahun, Najib membuat pelbagai  keputusan dan kemudian menangguh atau membatalkannya terus.  Kerap kali alasan yang diberi  ialah kerajaan masih mengumpul maklum balas daripada rakyat. Contohnya perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),  Model Ekonomi Baru (MEB), penarikan subsidi, dakwaan Malaysia akan menjadi muflis dan yang terbaru, pengeluaran lesen judi sukan.
Bagaimanakah jentera Umno hendak menjelaskan kepada akar umbi penafian Najib kononnya beliau tidak mengeluarkan lesen itu apabila Berjaya Corporation mengesahkan  kepada Bursa Kuala Lumpur, ia telah memperolehi surat rasmi kelulusan daripada Najib merangkap Menteri Kewangan. 
Hakikatnya ialah pembohongan jelas berlaku – cuma Perdana Menteri setakat ini belum  mejelaskan hal sebenarnya dan terus bersikap berdolak-dalik dalam menangani kecaman masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap pengeluaran lesen judi terbaru itu.
Bagi masyarakat antarabangsa dan dunia koporat, apa yang sedang berlaku sekarang hanya menghakis kepercayaan terhadap kewibawaan kerajaan pimpinan Najib. Umno-BN  dilihat sebagai sebuah kerajaan yang tidak berupaya membuat keputusan dengan mengambil kira segala faktor dan kemudiannya bingkas mengambil  pendirian berubah-ubah  untuk disesuaikan dengan agenda politik semasa parti.
Rakyat juga telah melihat bagaimana Najib menjanjikan MEB  untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang sama dan adil untuk semua kaum, tetapi pendirian itu kemudiannya diubah begitu sahaja setelah badan-badan seperti Pertubuhan Peribumi Perkasa Perkasa) melancarkan bantahan besar-besaran.
Dalam sekelip mata, Najib berkata  dasar-dasar pro-bumiputera akan terus dipelihara dan MEB yang dijaja beliau sehingga ke Amerika Syarikat sebenarnya belum siap dan masih boleh diubah!
Justeru, ketika membentangkan  Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), Najib terus mengatakan asas-asas Dasar Ekonomi Baru (DEB) termasuk peruntukan 30 peratus saham untuk Bumiputera masih terus dilaksanakan. Lantaran kenyataan itu, Najib  menerima tepukan syabas daripada Ibrahim Ali, Presiden Perkasa.
Ibrahim tentunya bertepuk lebih kuat apabila Najib mengumumkan dasar penswastaan yang mendedahkan Malaysia kepada ketirisan, kronisme dan rasuah yang teruk, akan diperhebatkan di bawah RMK-10.
Selain itu dasar-dasar untuk menarik balik subsidi dan memperkenalkan cukai-cukai baru seperti GST turut diluluskan dan kemudian ditangguh untuk membendung  kemarahan rakyat  bagi memastikan BN tidak hilang sokongan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Yang jelas ialah Najib dan Umno bercakap kepada rakyat dengan lidah bercabang.
Apabila berlaku pilihan raya kecil (PRK), maka ekonomi dan pengurusan kewangan negara serta  aliran pelaburan di negara ini di gembar-gemburkan sebagai terbaik di rantau ini.
Namun dalam keadaan 'biasa' rakyat yang sebelum ini dijanjikan Malaysia akan menjadi negara maju pada 2020, tiba-tiba diberitahu subsidi minyak, tol, makanan dan keperluan lain terpaksa di tarik balik, jika tidak negara akan muflis pada 2019. Mana satu yang betul?
Mungkin bagi Najib dan pemimpin-pemimpin sealirannya, kata-kata adalah murah dan tidak berharga. Namun ia mencerminkan kepimpinan yang lemah, berdolak -dalih dan tidak berprinsip. Ia juga mencerminkan sebuah kerajaan lembap yang membuat keputusan tanpa mengambil kira sentimen atau pandangan akar umbi dan rakyat, tetapi lebih untuk melayan hawa nafsu kroni-kroni tertentu.
Yang baiknya ialah kebangkitan rakyat dan asakan yang disusun oleh Pakatan di dalam dan luar parlimen memberi  tekanan kepada Najib untuk menangguh dasar-dasar yang tidak mesra rakyat.
Tetapi selagi Umno-BN berkuasa di Putrajaya, dasar-dasar ini terus 'hidup' dan menunggu masa sahaja untuk dilaksanakan. Sikap berdolak-dalih Najib juga bererti pihak-pihak yang berkepentingan juga berpeluang mempengaruhi beliau, sesuatu yang menyumbang kepada kehakisan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA