KUALA LUMPUR, 1 April — Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno, 33, yang hukuman sebatan kesalahan meminum arak yang ditangguhkan Ogos lalu, telah diampunkan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.Sebaliknya, Kartika (gambar) akan menjalani kerja-kerja khidmat sosial selama tiga minggu.
Peguam Kartika, Adham Jamalullail memberitahu AP bahawa beliau menerima surat memaklumkan Sultan Pahang telah memutuskan untuk menggugurkan hukuman sebatan, sebaliknya mengarahkan Kartika “menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama tiga minggu.”
Bagi membolehkan pelaksanaan hukuman itu, Kartika akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang untuk tindakan susulan, esok.
Soal penyerahan turut disahkan oleh bapa Kartika Shukarnor Abdul Mutalib dan bapa saudaranya Amlir Ayat kepada The Malaysian Insider awal pagi ini.
Kartika menerima arahan supaya hadir di Jabatan Agama Islam Pahang, semalam, kata Amlir.
Bagaimanapun kedua-dua mereka enggan menyebut sama ada Kartika sudah diampunkan ataupun sebaliknya.
“Saya tidak pasti, tunggu sehingga esok...,” katanya ketika dihubungi tengah hari tadi.
Arahan ini merupakan perkembangan terbaru selepas awal bulan lalu Kartika mengadakan pertemuan dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Pekan.
Kata beliau, Sultan Pahang mempunyai kuasa untuk mengampunkan Kartika.
Titah Tengku Abdullah, Kartika Sari Dewi telah menyuarakan tekanan perasaan yang dihadapinya berikutan kes berkenaan ditangguhkan.
Justeru titah baginda, kes itu akan diselesaikan secepat mungkin.
Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.
Hukuman sebatan ke atasnya sepatutnya dijalankan Ogos lalu tetapi ditangguhkan ekoran polemik dan kontroversi dari pelbagai sudut.
Baru-baru ini Kartika telah menghantar surat memohon menghadap Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pahang, berhubung pelaksanaan hukuman merotan.
Pada Februari lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Manan Abdul Rahman memberitahu bahawa pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika akan diputuskan selepas bekas model sambilan itu menghadap Tengku Abdullah.
Sebelum ini Kartika berkata tiada langsung hasrat untuk merayu malah tidak pernah terlintas di fikiran untuk dia melarikan diri daripada menerima “hukuman dunia” atas ketelanjurannya dua tahun lalu itu.
Malah dia lebih menyatakan kesediaan agar hukuman ke atasnya dijalankan termasuk di khalayak ramai.
Jika menjalani hukuman itu, Kartika bakal wanita Islam pertama dihukum sebat di bawah Seksyen 136, Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
Kartika telah melunaskan bayaran denda RM5,000.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan hukuman merotan digugurkan, Amlir hanya berkata, “ada kemungkinan.”
Sukarno pula memberitahu, pihaknya tidak tahu sama ada diampunkan ataupun sebaliknya.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, Kartika akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang untuk menjalani hukuman di bawah undang-undang negeri. Kami akan menyerahkan Kartika kepada Jabatan Agama Islam Pahang di Kuantan pukul 8.30 pagi esok.
“Saya hanya dapat memberitahu maklumat ini setakat ini. Perkara-perkara lain hanya akan diketahui selepas kami berada di Jabatan Agama Islam Pahang pagi esok,” kata Sukarno dalam kenyataan awal pagi kepada The Malaysian Insider.
Kata Sukarno, beliau difahamkan Kartika akan diletakkan di bawah pemerhatian Jabatan Agama Islam Pahang selama 21 hari sebelum pelaksanaan hukuman.
Dalam komen awal pagi Amlir memberitahu, prosedurnya hampir sama seperti yang dilalui Ogos lalu sebelum hukuman ditangguhkan saat-saat terakhir.
The Malaysian Insider difahamkan hukuman akan dilaksanakan dalam tempoh kira-kira sebulan selepas keputusan akhir dicapai oleh Jabatan Agama Islam Pahang.
Amlir tidak dapat menyatakan bila dan di mana hukuman itu akan dilaksanakan.
Malah The Malaysian Insider juga difahamkan berdasarkan persiapan sebelum ini Kartika akan menjalani hukuman itu di Penjara Kajang memandangkan laporan media beberapa bulan yang lalu menyebut kemudahan pelaksanaan hukuman sebatan sudah dilakukan di premis itu.
“Cuma, semalam kami diminta supaya hadir di Jabatan Agama Islam pagi esok,” kata Amlir lagi.
0 comments:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA