Jumaat, 30 April 2010

Nelayan tuntut jeti, sindir slogan 1Malaysia?

 Oleh Masdar Wahid 
KUALA LUMPUR : Kesal dengan kegagalan kerajaan negeri Sarawak membangunkan kawasan mereka, nelayan di perkampungan Telaga Air, di Kuching Sarawak bangkit menuntut agar jeti baru dibina untuk mereka.
Ketua Biro Kebajikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telaga Air, Ramili Mohamad, 55, berkata, sekurang-kurangnya dua jeti diperlukan untuk kemudahan nelayan di kawasa itu.
Menurutnya, di kampung tersebut terdapat kira-kira 170 bot kecil dan hampir 30 bot besar nelayan menggunakan beberapa jeti termasuklah jeti tradisi sedia ada.
''Sekurang-kurangnya kerajaan perlu membina dua jeti dan sebuah limbungan kecil yang boleh digunakan oleh para nelayan di sini sama ada untuk membaiki atau mengecat bot nelayan mereka," katanya.
Sehubungan itu, Ramli yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pemantauan Pemutihan Kemiskinan (JPPK) Telaga Air turut menuntut agar sebatang anak sungai di kawasan kampung itu dijadikan tapak limbungan kerana kawasannya yang sesuai dan terlindung daripada cuaca buruk ketika musim tengkujuh.
Bagi Safri Spawi, 34, pula memberitahu, kawasan itu memerlukan beberapa jeti yang baik dan sesuai, namun, berharap ia tidak dibina terlalu jauh dengan tapak sedia ada.
''Masalah yang dihadapi kita (nelayan) di sini ialah kawasan untuk meletakkan bot masing-masing bagi memastikan keadaannya sentiasa selamat dan tersusun elok.
''Jika bot serta perahu nelayan berselerak, maka ia akan mencacatkan pemandangan indah di Tebingan Kampung Telaga Air ini sedangkan ia satu tarikan pelancongan ke sini," ujarnya.
Mengulas isu sama, Spawi Wen, 61, mendesak pihak berwajib agar membina dua buah jeti di bahagian hulu dan satu lagi di sebelah hilir tebingan berkenaan.
Tambahnya, bukan hanya nelayan dari Kampung Telaga Air dapat menggunakan kemudahan jeti itu kelak bahkan nelayan dari kampung seperti Sibu Laut, Sungai Aur dan Merasan turut sama ke kawasan itu.
''Ketiadaan kawasan meletakkan bot atau perahu nelayan akan menyukarkan kami untuk melakukan kerja-kerja harian termasuk membaiki dan mengecat bot masing-masing.
''Bot atau perahu nelayan pula perlu dicat dalam tempoh tiga hingga enam bulan sekali supaya mampu bertahan lama dan tidak mudah rosak," ujarnya. berkaitan di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA