Esok, tanggal 2 Februari 2010 maka bermulalah satu lagi episod baru dalam perbicaraan kes fitnah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur. Hakim Zabidin dijangka memutuskan sama ada kes tersebut akan diteruskan atau ditangguhkan seperti yang dipohon oleh peguam Anwar. Malam ini satu majlis solat hajat diimamkan oleh Ustaz Ramlang Porigi dan ceramah berhubung dengan isu ini di Temerloh Pahang. Semua mata sudah pasti akan tertumpu ke Mahkamah Tinggi esok. Seperti biasa pihak polis sekali lagi mengeluarkan arahan agar penyokong Anwar tidak hadir beramai-ramai ke mahkamah esok. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok, jam 9 pagi. Katanya, pihak polis akan ambil tindakan tegas jika mereka tetap mengadakan perhimpunan haram itu. Inilah dia kerja Polis Di Raja Malaysia, tanpa menghiraukan khalimah "Muhammad" dan "Allah" yang terletak diatas kepala mereka maka mudah sahaja mengeluarkan arahan tersebut. Perhimpunan haram masih terus dijadikan alasan bagi menidakkan rakyat berkumpul secara aman. Anehnya, bila perhimpunan-perhimpunan yang dilakukan oleh puak-puak UMNO dan BN pihak polis tidak pula mengatakan perhimpunan itu haram biarpun tidak mempunyai permit. Lihat sahaja apa yang berlaku dalam demonstrasi dalam isu "khalimah Allah" di Masjid Negara baru-baru ini. Polis bukan sahaja tidak menyuraikan perhimpunan tersebut, malah mereka siap pula berkawal supaya tidak ada tindakan provokasi daripada pihak-pihak tertentu. Jika beginilah caranya polis melaksanakan tugas, maka memang benarlah telahan kita selama ini bahawa mereka mengamalkan sikap "Double Standard" terhadap rakyat Malaysia.[Jika perhimpunan memberi kelebihan kepada kerajaan UMNO BN, maka dibiarkan. Sebaliknya jika memudaratkan mereka maka ia akan dihalang atas nama perhimpunan haram. Rakyat yang tidak berdosa sudah pasti akan diperlakukan sesuka hati seperti binatang oleh mereka. Kami difahamkan, pihak polis akan menempatkan seramai mungkin anggota mereka di jalan-jalan sekitar masuk ke Mahkamah Tinggi esok. Malah, seperti biasa kenderaan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) juga akan dapat dilihat di sana-sini. Soalnya sekarang, beranikah rakyat bangkit untuk mempertahankan keadilan buat Anwar esok. Ramai yang dijangka hadir untuk memberikan sokongan kepada mantan TPM itu khabarnya].