Rabu, 24 Februari 2010

Mengenali Politik Sarawak Bahagian 1

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Walaupun negeri Sarawak adalah salah sebuah negeri yang berada di dalam Persekutuan Malaysia, tetapi tidak semua khalayak umum tahu struktur politiknya apatah lagi dengan kepelbagaian kaum yang rencam kewujudannya di negeri terbesar di negara ini.

Seringkali orang politik termasuk mereka yang bergelar wakil rakyat tidak tahu keadaan politik dan suku kaum di Sarawak.
Itulah senario keadaan negara 1Malaysia ini yang kini sedang menuju kemerdekaan kali ke-53 pada Ogos depan.

Tapi, jika diimbas kembali sejarah dan dunia pendidikan negara, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika berlaku keadaan itu. Dasar pendidikan yang selama ini diterapkan BN adalah antara punca kenapa perkara itu berlaku.

Gagasan 1Malaysia umpamanya bercanggah dengan amalan parti kerana parti-parti komponen dalam BN kekal dengan semangat perkaumannya manakala setiap kaum di negara ini pecah-pecahkan seperti Melayu untuk Umno, Cina untuk MCA dan Gerakan manakala MIC dan PPP untuk kaum India.

Keadaan politik BN di Sarawak

Kembali kepada politik Sarawak, terdapat empat sekutu BN di negeri itu, masing-masing ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Ramai yang melihat Sarawak adalah antara kubu BN terutamanya apabila negeri itu menjadi penyumbang terbesar undi BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Namun, keadaan kini berbeza apabila lanskap politik negara berubah sejurus tarikh keramat 8 Mac 2008 melanda Malaysia yang kini terus menyerap di bumi Kenyalang.

Walaupun Pengerusi BN, Najib Razak menolak andaian itu, namun sesuatu yang pasti, keempat-empat sekutu BN di Sarawak kini sedang dilanda krisis dalaman yang kronik. Hanya, perkara ini tidak dihebohkan kerana media arus perdana telah menutup isu ini.

Nantikan bahagian kedua analisis ini yang akan menghuraikan satu demi satu krisis sekutu-sekutu BN di Bumi Kenyalang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA