Jumaat, 26 Februari 2010

Dr Mahmood Zuhdi Tokoh Maulidur Rasul 2010

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamdunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431H/2010 bagi tahun ini.

Dr. Mahmood Zuhdi memulakan pendidikan rendah dan menengah di Madrasah Majidiyah, Kg Kayu Rendang, Melor dan Ma’ahad Muhammadiah di Kota Bharu, Kelantan sebelum menyambung pengajian di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan dalam bidang Sarjana Muda Syariah pada tahun 1966.

Tokoh yang dilahirkan pada 12 Jun 1947 itu turut menimba ilmu di Universiti al-Azhar, Kahirah pada tahun 1970 dalam bidang Syariah selain dianugerahkan Doktor Falsafah pada tahun 1990 di Universiti Malaya.

Beliau juga merupakan penasihat dipelbagai jabatan dan agensi seperti Anggota Majlis Penasihat Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah MS 1900: 2005 Sirim.

Sehingga kini, beliau merupakan Profesor, di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliah Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan, di UIAM.

Anak kelahiran Kelantan itu menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Sultan Badlishah di Masjid Putra pagi tadi.

Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah pelajar cemerlang, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel dan Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Madihah yang juga berasal dari Kelantan merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila memperoleh 20 A pada tahun 2008.

Manakala Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz ialah adik kepada kepada Datuk Harun Din yang juga Timbalan Mursyidul Am Pairti Islam SeMalaysia (PAS). Lain-lain penerima anugerah termasuklah, Presiden Malaysian Relief Agency, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; Pengarah Urusan Faza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Tamm Swee Lian dan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putera Malaysia (UPM), Prof Dr Yaakob Che Man.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA