Sabtu, 13 Februari 2010

Apa beza lawatan BN berbanding PR ?

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Jika ada yang bertanya kepada anda, apakah perbezaan lawatan antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), berikut mungkin jawapannya.

Baru-baru ini, pimpinan PR di Sabah mengadakan lawatan mengejut hampir di setiap tempat tumpuan rakyat di daerah Keningau, iaitu kawasan Timbalan Ketua Menteri (TKM) Sabah merangkap Ahli Parlimen Keningau, Pairin Kitingan.

Lawatan yang bermula 9 pagi itu berakhir jam 2 petang turut disertai Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffery Kitingan, bersama Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishamuddin Sulaiman, pimpinan DAP dan pimpinan PR dari kawasan Keningau kira-kira 25 orang.

Hishamuddin berkata, antara kawasan yang dilawati ialah beberapa deretan kedai yang memperlihatkan peniaga di kawasan Keningau mengadu kepada pimpinan PR yang datang menjenguk mereka.

"Peniaga Cina itu mengadu kepada kami bahawa berpuluh tahun beliau berniaga di situ, masalah longkang pun BN sukar selesaikan dan berharap kehadiran PR pada hari itu mampu menyelesaikan masalah mereka yang tertangguh sekian lama," katanya ketika dihubungi erapakatan.com

Menurut Hishammuddin, walaupun lawatan pimpinan PR itu hanya beberapa jam, namun dua hari selepas itu peniaga di kawasan terbabit mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan PR kerana masalah mereka sudah pun selesai.

Hishammuddin menjelaskan, dua hari selepas lawatan mereka Majlis Daerah Keningau (MDK) telah turun padang sekali gus menyelesaikan masalah peniaga di kawasan itu yang tertangguh sekian lama walaupun BN merampas Sabah sejak 15 tahun lalu melalui wakil rakyatnya yang beramai-ramai masuk BN.

"Kehadiran kita cukup memberi kesan seolah-olah peniaga itu memberikan autoriti cukup bermakna kepada kita sebagai bakal 'pemerintah kerajaan negeri' dan inilah antara perbezaan lawatan pimpinan PR berbanding BN.

"Kita melawat beberapa jam, masalah selesai dalam dua hari, BN melawat bertahun-tahun, masalah tidak selesai dan bertambah parah," katanya yang juga Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Keningau.

Beliau memberitahu, PR negeri juga cukup terharu dengan sokongan yang kian membesar khasnya masayarakat Cina kepada PAS apabila malam sebelum lawatan itu, salah seorang pemimpin masyarakat Cina memberikan sokongan terbuka kepada PAS dan PR di Sabah.

Mengulas lanjut, katanya, pemimpin Cina itu dalam ceramah bersama pimpinan PR mengungkapkan kata-kata berikut.

"Kita harus membantu segenap upaya kita untuk memenangkan Pakatan Rakyat di Sabah dan setiap satu undi bukan untuk BN dan bukan juga untuk calon bebas, tetapi hanya untuk calon PR," jelas beliau.

Sehubungan itu, Hishammuddin menyeru setiap ahli dan penyokong PR di Sabah melipatgandakan usaha ke arah menawan Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekali gus menyambut baik isyarat rakyat pada malam itu.