Sabtu, 16 Januari 2010

Subsidi Minyak Masak Dimansuhkan? Lagi 1Malaysia Punya Hadiah...

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkemungkinan akan menurunkan atau memansuhkan subsidi minyak masak selepas perbincangan kementerian itu bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sejak akhir tahun lalu.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, berkata kerajaan sedang menyemak kadar subsidi minyak masak yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1 bilion setahun.

"Kita sudah memulakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengenai subsidi minyak masak ini sejak akhir tahun lalu," katanya yang enggan mengulas sama ada subsidi minyak masak akan mengalami perubahan.

Harga minyak masak bergantung kepada harga komoditi itu di pasaran antarabangsa yang mencatatkan purata RM2,500 satu tan berbanding RM2,800 satu tan tahun lalu tetapi tahun ini, penganalisis pasaran meramalkan peningkatan sehingga RM2,600 satu tan.

Terdahulu, pemansuhan subsidi roti dan gula mengakibatkan harga barangan keperluan itu melambung selain sesetengah barang yang berkaitan turut sama meningkat.