Isnin, 11 Januari 2010

PKR anjur Dialog Antara Agama (DAA)

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganjurkan Dailog Antara Agama (DAA) bagi meredakan kemelut isu penyalahgunaan nama Allah sehingga menyaksikan pelbagai demonstrasi besar-besaran selain munculnya pengebom gereja di beberapa buah negeri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BPPA) parti itu, Dr Muhd Nur Manuty berkata, konflik ketegangan yang melanda negara ketika ini adalah petanda jelas bahawa perhubungan dan persefahaman masyarakat majmuk berada di tahap membimbangkan dan ia memerlukan penyelesaian segera.

Menurutnya, antara perjuangan utama PKR ialah untuk menjamin kedamaian hidup beragama berasaskan nilai-nilai keadilan sejagat dan perlembagaan negara.

Bagi mencapai tujuan itu, kata beliau, PKR melalui BPPA memutuskan untuk menganjurkan Dialog Antara Agama (DAA) dalam masa terdekat yang akan disertai wakil-wakil daripada pelbagai pertubuhan agama di Malaysia.

Beliau yang juga mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memberitahu, antara objektif DAA ialah menyuburkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan budaya dialog antara masyarakat berbilang kaum ke arah kewujudan Malaysia yang aman dan makmur.

“Ia juga bermatlamat untuk menyediakan medan sesuai yang bersifat interaktif agar para peserta saling mengenali. Ia adalah asas komunikasi positif dan bermanfaat untuk masyarakat pelbagai agama.

"Selain mengumpul pandangan secara objektif berkaitan keresahan dan kebimbangan sebenar dalam masyarakat pelbagai agama di Malaysia, kita mengusahakan jalan penyelesaian terbaik oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kesempatan yang sama, beliau turut merakamkan kekesalan berhubung pencerobohan gereja oleh kumpulan yang tidak dikenali dengan menyifatkan tindakan itu sebagai bertentangan dengan prinsip Islam.

Beliau memetik firman Allah s.w.t seperti mana yang terkandung di dalam Al-Quran yang bermaksud:-

“Orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar, melainkan hanya kerana mereka berkata, "Tuhan kami adalah Allah.

"Jika Allah tidak membangkitkan sebahagian manusia menolak (kezaliman) sebahagian yang lain, nescaya telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak di sebutkan nama Allah.

Sesungguhnya, Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamaNya, Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al-Hajj: 40)

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak bertenang dan berfikiran rasional dalam menghadapi isu ini kerana tindakan yang bersifat provokasi hanya akan memburukkan keadaan.

“Kami berpandangan, bahawa insiden ini boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan mengancam keselamatan negara," tambah Dr Muhd Nur Manutu yang memiliki kelulusan dalam bidang Usuluddin dan Falsafah.

Oleh yang demikian, kata beliau, pihaknya menuntut pihak berkuasa supaya bertindak segera dan tegas untuk memastikan mana-mana individu yang bertanggungjawab melakukan jenayah serangan ke atas gereja sebelum ini diadili dengan sewajarnya.

Keterangan lanjut berhubung DAA boleh menghubungi Sharipuddin Muis di talian 012-267-1199 atau melalui email sharipuddin@gmail.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA