Sabtu, 19 Disember 2009

Kisah Benar:Selama ini aku silap menilai PAS.....


Entry ini adalah kesinambungan daripada post yang terdahulu Penyakit UMNGOK dikalangan orang Melayu.. Berikutnya adalah sebuah testimoni seorang bekas pesakit wabak kronik UMNGOK yang telah pulih sepenuhnya setelah menjadi Ahli PAS.

"Aku dilahirkan di sebuah negeri selatan Malaysia, bapa aku seorang bekas ketua bahagian UMNO di kawasan kami pada tahun 1987 hingga 1993. Dia merupakan seorang penyokong kuat kepada bekas TPM Tun Ghafar.

Selepas Tun Ghafar tidak disokong untuk menduduki TPM dia tidak mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Bahagian tetapi masih memegang jawatan sebagai Ketua Cawangan. pada tahun tersebut bapa aku telah pergi menunaikan fardu haji. Semasa bapa aku menunaikan fardu haji dia telah berjumpa dengan beberapa orang ustaz yang berasal dari utara tanahair.

Pada tahun 1994 setelah tamat pengajian aku di sebuah institusi pengajian tinggi, aku telah mendapat tawaran untuk berkhidmat dengan kerajaan dan di tempat di utara tanahair. Pada mulanya aku berkhidmat di sana aku rasa cukup bosan maklumlah sebelum ini aku berada di sebuah negeri yang dianggap maju dengan dipenuhi tempat-tempat maksiat untuk melepaskan kebosanan. Di sini aku cuma berhadapan dengan orang-orang kampung dan juga dengan masjid-masjid. aku mula berkawan dengan penduduk-penduduk di sekitar taman yang aku tinggal, mula-mula tu aku agak kekok kerana sebelum ini aku akan ke masjid hanya bila solat Jumaat dan kalau ada kenduri. Tetapi bila di sini aku mula mendekati masjid setiap hari dan mula mendengar kuliah-kuliah agama.

Sebelum ini aku yang terdedah dengan UMNO dan BN hanya anggap PAS dan ustaz-ustaz yang memakai serban di kepala itu sebagai faham sesat. Dari kecil aku telah ditanamkan perasaan benci kepada golongan PAS. Aku masih ingat lagi peristiwa Mamali di Baling dan dalam masa yang sama di TV1 satu ketika itu telah menayang satu drama bertajuk 'Guru Yahya' perkara-perkara ini telah tertanam dalam jiwa aku. Dari situ aku menjadi orang yang membencikan PAS, aku pernah membentangkan satu tessi masa pengajiaan dulu berkaitan kebencian aku tetrhadap PAS ketika itu yang aku anggap sebagai pelampau dan sesat.

Setelah hampir setahun aku berkhidmat di utara tanahair, bapa aku kerap mengunjung aku di sini. Aku pula sudah mula rasa selesa dan tidak kekok dengan keadaan sekitar. Bila keluarga aku dari kampung datang mengunjung aku, aku akan bawa keluarga aku untuk mendengar kuliah-kuliah agama yang jarang kami dengar di tempat kami. Di tempat kami kuliah-kuliah agama banyak menekankan tentang perkara-perkara Fekah sahaja, manakala ilmu-ilmu lain dalam Islam tidak pernah kami dengar. walaupun aku yang belajar di sekolah agama hingga kedarjah 4 Senawi, banyak lagi ilmu-ilmu agama yang tidak didedahkan. Bapa aku yang merupakan seorang perjuang UMNO dulu cukup benci kepada ustaz-ustaz yang berserban telah mula berminat untuk mendengar kuliah-kuliah di sini. pada masa yang sama bapa aku telah berjumpa dengan kawan-kawannya yang sama menunaikan haji dulu.

Aku mula-mula mendekati PAS apabila aku diajak oleh seorang kawan aku untuk mendengar ceramah oleh Haji Mohamad Sabu. dari situ aku mula berminat untuk mendengar dan aku cuba mengkaji dan mendalami apa yang diperjuangkan PAS sebenarnya. Bapa aku yang sering mengunjungi aku juga telah aku bawa untuk mendengar ceramah-ceramah PAS. Aku mula membeli Harakah yang ketika itu dikeluarkan 2 kali seminggu. Bapa aku juga dah mula berminat dan memahami PAS. Pada tahun berikutnya dalam pemilihan UMNO bapa aku tidak langsung mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cawanagan UMNO, dia juga tidak dalam pemilihan tersebut.

Pada tahun 1997 aku yang telah beberapa tahun mengenali PAS dan mendalami prinsip-prinsip perjuangan PAS telah mendaftar sebagi ahli PAS. Walaupun sebelum ini aku memang seorang ahli UMNO, tetapi setelah aku sedar didalam PAS tidak ada semangat Kebangsaan sebagai landasan seperti UMNO. Di dalam PAS bangsa dan kaum adalah tempat ke 2 selepas Islam didahului. Bapa aku yang dulu perjuang UMNO sekarang sudah mula condong dan mendekati PAS, apabila UMNO menghadapi krisis pada 1998, bapa aku yang sekadar ahli biasa ketika itu telah keluar beramai-ramai dan mendaftar sebagai ahli PAS. Aku juga terkejut di kampung aku yang selama ini tidak pernah ada cawangan PAS, bapa aku dan orang-orang kampung telah berjaya menubuhkan cawangan PAS pertama di kampung. Walaupun bapa aku tidak memegang apa-apa jawatan dalam cawangan tersebut, dia rela dan bersemangat untuk terus menyumbang idea. Pengalaman sebagai ketua bahagian UMNO digunakan oleh bapa aku untu menyumbang kepada pengerakan PAS di kampung. Hampir sepuluh tahun cawangan PAS di kampung aku ditubuhka, akhirnya kawasan itu telah berjaya diwakili oleh seorang DR dari PAS.

Setelah 11 tahun aku menyertai PAS aku tidak pernah berasa jemu untuk terus berjuang dan memberitau kepada orang ramai bahawa PAS ialah sebuah parti yang sentiasa mengutama Islam. Aku juga bersyukur kerana Allah s.w.t. membukakan hati aku dan keluarga untuk bersama-sama dalam perjuang jihad ini. Memang banyak dugaan yang aku alami, aku pernah ditahan kenaikan pangkat, aku juga pernah dihantar perkhidmat di seberang laut tetapi dengan kuasa Allah s.w.t, aku harunginya. Sekarang aku sebagai seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di negeri yang dipimpin oleh seorang Ustaz.

Aku amat bersyukur, walaupun banyak perkara yang dulunya aku benci kepada PAS. Tapi Allah s.w.t. membukakan hati ini, aku amat sayangkan perjuangan ini. Bapa aku juga sebelum ini sangat bencikan PAS telah sama-sama berjuang dalam jihad ini. Aku cukup berbangga menjadi anak kepada bapa dan keluarga aku kerana mereka sedar dari kesilapan dulu.

Pesanan bapa aku ' Biar kita berjuang lewat tetapi kita ikhlas dan sentiasa menyerahkan jiwa kita kepada Allah s.w.t.'. jadi marilah semua umat Islam bersama-sama kita dlam perjuang jihad untuk menegakkan daulat Islam di negara ini.

Semoga kisah ini boleh dijadikan pengajaran kepada yang masih UMNGOK......

Dokumen Bersama PR Martabat Demokrasi, Manusia dan Hak

Anwar4 Dalam satu suara kesepakatan, gagasan kerajaan alternatif Pakatan Rakyat memulakan persidangan dengan ucapan perdana dari tiga pemimpinertinggi Pakatan Rakyat.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim menyorot perhatian perwakilan kepada misi utama pembentukan gagasan ini – meleburkan dasar perkauman yang membelit kesedaran rakyat Malaysia.
“Kali pertama dalam sejarah politik negara, dasar pakatan rakyat adalah dasar yang cukup jelas. Prinsip kita ialah meleburkan dasar perkauman yang sempit,” tegas Anwar.

“Dengan kepercayaan yang diberikan, kita harus memartabatkan demokrasi dari kepimpinan yang tertinggi hingga ke peringkat akar umbi,” tambahnya lagi disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Mantan Timbalan Perdana Menteri ini menambah bahawa membasmi indoktrinasi 50 tahun pemerintah Umno-BN melalui dasar pecah dan perintah bukanlah satu tugas yang mudah.
Ia memerlukan pengorbanan, ketegasan prinsip, dan yang lebih utama kematangan yang tinggi dari semua komponen masyarakat, bukan sekadar menuntut majoriti mengalah kepada tuntutan demokrasi.
“Saya ingin mengesyorkan supaya kaum-kaum Cina, India atau Iban supaya meleburkan sikap perkauman yang ada dalam diri,” katanya.
“Maka dengan inilah, keyakinan dari semua bangsa dan agama di negara dapat diraih seraya menjadikan dasar bersama Pakatan Rakyat suatu realiti,” tegas Anwar.
Beliau berkata demikian di hadapan 1,500 perwakilan serata negara hari ini. Persidangan hari ini dijangka meluluskan Dokumen Bersama pembentukan Pakatan Rakyat sebagai satu gagasan rasmi.
Dokumen ini memuatkan dasar-dasar umum yang dikongsi PKR, Pas dan DAP sebagai tujahan melawan cengkaman Umno-BN.
Perkara utama yang dituntut Dokumen Bersama ini adalah penerapan demokrasi telus dan tulen dalam proses politik tanahair.
Pakatan Rakyat berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan melestarikan demokrasi dan hak asasi setiap warganegara. limguaneng_pic
Pakatan Rakyat juga komited mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi kebebasan beragama untuk masyarakat bukan Islam, serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau.
Titik-bengit pertelagahan politik hari ini seringkali berbangkit dari isu keistimewaan Melayu dan Bumiputera. Dalam isu ini, Pakatan Rakyat berjanji bahawa kedudukan ini tidak akan dipertikaikan, bahkan dipertahan selaras dengan tuntutan Perlembagaan.
“Jangan percaya pada 1Malaysia, tetapi percayalah pada kemampuan Pakatan Rakyat untuk mempertahankan hak semua bangsa dan agama di negara ini,” tegas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata perhimpunan ini berbeza dari retorik Umno-BN, Pakatan Rakyat membuktikan komitmen yang jitu.
hadi awang “Kita harus rapatkan barisan dan kekal utuh, dan dengan itu rakyat akan percaya pada perjuangan kita,” tambah beliau.
Amanat Presiden Pas Abdul Hadi Awang kepada 1,500 delegasi menyimpulkan sejauh mana komitmen dan tolak-ansur semua komponen Pakatan Rakyat.
“Pertimbangan hari ini adalah memetakan laluan menuju kejayaan. Keutamaan harus diberikan pada perkara-perkara yang telah kita persetujui. Isu-isu berbangkit yang lain boleh ditangani kemudian,” kata Hadi.

Tuntutan perkauman sempit gagal tewaskan politik perkauman sempit

Ketiga-tiga orang pemimpin tertinggi parti komponen Pakatan Rakyat menjadikan politik perkauman sempit sebagai sasaran serangan dalam ucapan perdana, ketika merasmikan Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, hari ini.
PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, selama ini dihujani dengan tuduhan "pengkhianat bangsa" daripada musuh politiknya, Barisan Nasional yang didominasi UMNO.  Dasar Ekonomi Baru, institusi Raja, Negara Islam antara isu yang digunakan untuk menyerang pakatan politik yang terbentuk selepas tsunami politik 8 Mac 2008.
Hadi Awang: Rakan kita bukan pendatang
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengaku kenyataan bahawa Malaysia dibentuk di atas masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini.
"Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada, sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang, bukan penduduk asal," katanya sambil disambung tepukan daripada perwakilan, "...kerana kita semua tidak berasa asing di sini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara."
Malah, Abdul Hadi Awang (gambar kanan) menyusul dengan pengalamannya yang singgah di lapangan kapal terbang luar negeri, ketika menziarahi Anwar Ibrahim yang menjalani pembedahan di Munich.
"Kami nak sembahyang, tak tahu kiblat, tak tahu timur barat.  Saudara Gobalakrishnan pergi tanya mana kiblat," katanya menggelakkan satu dewan, sebelum menyambung dengan "walaupun dia tak sembahyang".
Guan Eng: Anak Malaysia berhak menikmati keadilan
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar bawah) juga menzahirkan rasa terharunya ketika mengungkit pengalamannya dipenjarakan kerana membantu sebuah keluarga Melayu lebih 10 tahun yang lalu.  Beliau berkata, "saya dinasihatkan, 'mengapa buat macam ni?  You bantu keluarga Melayu dapat apa?  Hilang semua (kehilangan segala-galanya) orang Melayu pun tak akan mengenang budi.'"
"Itu 10 tahun lepas.  Bila hanya seorang dua yang memperjuangkan ke-Malaysia-an.  Saya masih ingat pada masa itu, saya jawab, kalau kita anak Malaysia, semua anak Malaysia berhak untuk menikmati keadilan dan keluhuran undang-undang," kata-katanya menerima tepukan daripada perwakilan.
Beliau menyambung, "Masa itu saya seorang dua memperjuangkan konsep berbilang kaum ke-Malaysia-an.  Sebelas, dua belas tahun kemudian, saya amat terharu.  Sekarang bukan sekadar seorang dua, tapi kita boleh lihat beribu-ribu, berpuluh-puluh ribu, beratus-ratus ribu malah berjuta-juta menyokong konsep ke-Malaysia-an."
Anwar Ibrahim: Lawan perkauman dengan keadilan
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pula memetik pemimpin gerakan kaum berkulit hitam di Amerika Syarikat, Martin Luther King, "A nation where its people will not be measured by the color of their skin but by the content of thier character" untuk menyeru agar rakyat keluar dari kepompong perkauman yang dibikin oleh ahli-ahli politik yang berfikiran kecil dan sempit, setelah 50 tahun merdeka.
"Maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang kita bentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat.  Ini bukan gimik politik.  Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua," sambungnya.
Anwar (gambar kiri) menegaskan, "kita berpegang kepada prinsip moral kerana rakyat mahu ahli-ahli politik meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud.  Inilah falsafah kebangsaan yang kita maksudkan, satu kebangsaan yang inklusif, adil, tanpa diskriminasi."
Malah, beliau memetik ayat Surah al Hujurat ayat 13, untuk menyeru agar rakyat keluar dari belenggu perkauman sempit. 
"Wahai umat manusia!  Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."
"Prinsip karamah insaniah dan litaarafu inilah yang menggembeling keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras," katanya.
"Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu.  Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu, ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga."
Beliau mengingatkan, "Jika ini berlaku, maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman.  Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap."
"Dengan muafakat yang kita perolehi, bangsa Malaysia boleh bergerak ke hadapan mengharungi abad ke-21 dengan penuh keyakinan, bangsa Melayu punyai keyakinan, bangsa Cina perolehi keyakinan, bangsa India perolehi keyakinan, bangsa Iban perolehi keyakinan dan bangsa Kadazan perolehi keyakinan.  Kita tidak membina satu muafakat dengan rasa ketakutan atau rasa tidak selamat," simpulnya.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.  Laporan dari Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor.

Dasar Pakatan Rakyat

1. Demokrasi Telus dan Tulen

A - Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
B - Pemisahan Kuasa
C - Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil

2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil

A - Ekonomi Kemahiran Tinggi
B - Ekonomi Demokratik dan Telus
C - Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
D - Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
E - Tenaga Kerja
F - Jaringan Perlindungan Sosial
G- Perumahan
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
I- Alam Sekitar
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan

A - Perpaduan dan Keadilan Sosial
B - Agama
C - Pendidikan
D - Wanita dan Institusi Keluarga
E - Golongan Muda
F - Keselamatan
G - Kesihatan
H - Kebudayaan
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

A - Sistem Persekutuan
B - Sabah dan Sarawak
C - Dasar Luar Negara

MUAFAKAT RAKYAT  
Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.
Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan "demokrasi otoritarian". Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.
Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.
Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.
Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.
Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan.  Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.
1. Demokrasi Telus dan Tulen
A - Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
Perlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan: 
i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153
ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
iii.  Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
iv.  Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.
v.  Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
vi.  Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.
B - Pemisahan Kuasa
Keberkesanan amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif.
Pakatan Rakyat akan:
i. Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.
ii.  Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.
iii.  Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.
iv.  Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.
v.  Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).
vi.  Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.
vii.  Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.
viii.  Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.
ix.  Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.
C - Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
Kewibawaan sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan.  Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan pilihanraya.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.
ii.  Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan dakwat kekal.

iii.  Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.
iv.  Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.
v.  Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.
vi.  Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.
Merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.
Pakatan Rakyat beriltizam untuk ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidak seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.
A - Ekonomi Kemahiran Tinggi
Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketerampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:
i. Menjamin peluan pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.
ii. Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti..
iii. Menggalakkan warga neraga yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan suasana kerja yang professional dan menarik.
B - Ekonomi Demokratik dan Telus  
Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.
Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mapan serta menghakis daya sain negara.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.
ii.  Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil kepada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.
iii Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.

C –Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
Selaras dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan,  keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.
Desentralisasi mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi  lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:

i. Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
ii. Mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.
iii. Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang
iv. Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.
D - Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan Rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
ii. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.
iii.  Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.
iv.  Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.
v.  Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.
vi.  Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi kemiskinan

E- Tenaga Kerja
Tenaga kerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dipelihara.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.

ii.  Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.

iii.  Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.

iv.  Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.

v.  Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.

vi.  Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

vii. Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.
F - Jaringan Perlindungan Sosial
Setiap rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.
ii.  Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.
iii. Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat.
G - Perumahan
Rumah merupakan keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka Pakatan Rakyat akan:
i.  Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah.
ii Mengatasi masalah "setinggan/peneroka bandar" sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah mereka.
iii. Menyelaraskan sistem perundingan antara "setinggan/peneroka bandar", pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah;
iv.  Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;
v.  Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.
vi.  Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.
vii. Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang memerlukannya.
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
Penyediaan dan penyenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.
ii.  Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.
iii.  Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan wakil masyarakat.
iv.  Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan awam.
v.  Menyemak semula pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.
vi.  Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.
I- Alam Sekitar
Alam sekitar merupakan khazanah negara yang wajib dipelihara untuk kelestarian hidup generasi masa depan. Mendepani krisis perubahan iklim, Pakatan Rakyat beriltizam:
i. Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.
ii. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.
iii.  Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.
iv.  Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.
v.  Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
A - Perpaduan dan Keadilan Sosial
Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama. Pakatan Rakyat berjanji membina semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang padu, di mana kaum-kaum yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.
Pakatan Rakyat akan:
i.Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.
ii. Mengembeling tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan sikap baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang memang telah begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
iii. Menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.
iv. Pakatan Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat supaya berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang oleh sebuah masyarakat yang terbuka
v. Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.
vi. Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra unggul yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia. Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini dengan mengambil kira sejarah dan evolusi negara ini.
vii. Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.
B - Agama
Agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat.  Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan agama.  Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti sistem demokrasi di mana agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai agama persekutuan sementara hak agama-agama lain dijamin.
Pakatan Rakyat berikrar:
i. Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia.
ii. Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.
iii. Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.
iv.  Memperkukuhkan pengurusan institusi Islam seperti Baitul Mal dan Tabung Haji bagi memastikan ia dikendalikan dengan berkesan, cekap dan memenuhi matlamat.
 
v.  Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.
C - Pendidikan
Pendidikan seharusnya bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasad dan intelek. Melalui sistem pendidikan negara, Pakatan Rakyat bertekad untuk menyediakan sebuah sistem pendidikan yang mapan, bermutu dan menjamin peluang yang saksama kepada rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk meningkatkan taraf pendidikan negara.
ii.  Mengimbangi penekanan kepada sistem peperiksaan dengan sistem pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan matlamat mencari kebenaran.
iii.  Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar belakang.
iv.  Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan setanding dengan negara-negara maju.
v.  Memastikan perlantikan naib canselor, rektor, dan lain-lain penjawat tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan kelulusan Majlis Senat.
vi.  Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak;
vii. Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.
viii. Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras dengan masa.
ix. Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.
x. Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari kawasan luar bandar dan pedalaman.
xi. Menekankan betapa mustahaknya pelajar menguasai pelbagai bahasa  termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Cina sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa ibunda.
xii. Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.
xiii. Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima termasuklah sijil UEC dan Diploma Muadalah(diploma berkembar).
D - Wanita Dan Institusi Keluarga
Pakatan Rakyat meyakini bahawa dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan, pengiktirafan dan pemahaman terhadap status dan potensi wanita dapat menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.  Hakikat ini kerana wanita mewakili separuh dari penduduk negara, justeru penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara tidak boleh diabaikan.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan  yang adil dalam segala bidang.
ii.  Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
iii.  Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
iv.  Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
v.  Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.
vi.  Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.
vii. Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.
viii. Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
ix. Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.
E - Golongan Muda
Hala tuju dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada bahu golongan muda sebagai generasi pelapis. Justeru adalah penting agar golongan muda diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya agar dapat memenuhi peranan mereka kelak.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Menjamin peluang dan hak sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan masyarakat bagi merealisasikan potensi diri.
ii.  Memastikan supaya tiada seorang belia akan dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa peluang memperolehi kelayakan atau latihan yang secukupnya untuk menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi negara.
iii.  Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh golongan muda melalui perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan belia, khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala tuju negara.
F - Keselamatan
Terdapat peningkatan jenayah dan rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya berhak merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa. Pakatan Rakyat bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan dikawalselia dengan lebih baik untuk menjadikan mereka lebih fokus tentang tanggungjawab utama yakni menentukan setiap kawasan dan rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Menjadikan polis bebas dan profesional serta mengembalikannya kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam
ii. Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.
iii.  Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.
iv.  Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.
v.  Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.
vi.  Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.
vii. Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.

G - Kesihatan
Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian, perkhidmatan kesihatan awam sewajarnya diperkasakan secara tuntas, sekaligus menjamin perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.

ii.  Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.

iii.  Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.

iv. Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.
H. Kebudayaan
Kepelbagaian adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan wilayah-wilayah.  Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil bertanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok budaya yang lain.  Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat Kebudayaan Baru lanjutan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971). Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:
i. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.
ii. Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri dan sosial mereka.
iii. Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

A - Sistem Persekutuan
Hak negeri-negeri untuk membuat pilihan mengikut kesesuaian sendiri mengenai strategi pembangunan negeri mesti dihormati. Teras kepada hak ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya kepada negeri-negeri berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.
ii. Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.
iii. Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.
B - Sabah dan Sarawak
Semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.  Di samping memulihkan imbangan kuasa
yang memihak kepada kerajaan pusat sebelah, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.
Pakatan Rakyat akan:
i.  Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka.    
ii.  Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.
iii.  Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.
iv.  Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.
C - Dasar Luar Negara
Kepimpinan Malaysia di kalangan negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah menjadi matlamat kita untuk merangka satu dasar luar yang berasaskan prinsip keadilan sejagat, penyelesaian melalui perundingan, dialog antara peradaban demi keselamatan, keamanan dan kemakmuran.
Pakatan Rakyat akan:
i. Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian, pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan nilai-nilai keadilan.
ii. Aktif menjadi pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.
iii. Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan rakan-rakan serantau terutamanya anggota-anggota Asean.
iv. Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.
*Dasar Pakatan Rakyat yang dibentangkan di Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama, 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor.

Pemimpin PAS, tolonglah jangan cakap bohong!



Saya melaporkan pertemuan antara Tengku Razaleigh Hamzah dan dua pemimpin tertinggi PAS dalam posting bertajuk "Anwar pun tak boleh pertahan TGNA?". Dua pemimpin kanan PAS itu ialah Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Haji Mustapha Ali.

Saya tidak persoalkan motif pertemuan itu. Saya juga tidak tuduh bahawa itu satu perbuatan berkendak politik dalam gelap.

Yang saya rasa tak seronok ialah komen salah seorang dari mereka terhadap Tuan Guru Mursyidul Am. Bukan sangat kerana saya nak mempertahankan Tok Guru Nik Abdul Aziz. Saya dah fedup dah buat kerja bodoh tu.

Tetapi, cakap-cakap seperti itu boleh memberikan impression yang tidak baik kepada orang tentang mutu kepimpinan PAS. Orang boleh kata, sama-sama dia pun dia belasah. Ia boleh melahirkan pelbagai tanggapan atau persepsi.

Meskipun begitu, saya tak panjangkan isu itu kerana cakap-cakap tersebut mungkin slip of tongue, mungkin dibuat secara berjenaka atau sambil berjenaka, apa-apalah.

Tetapi, ia menjadi isu besar pada sesetengah kawan yang menelefon saya. Mereka mempersoalkan, kenapa Cik Gu Pa menafikan pertemuan itu? (Lihat Berita Harian Khamis lalu, 17/12/09, muka surat 20. Tajuknya saya tak ingat tetapi bermula dengan perkataan "Hadi dipersoal...")

Kalau siapa-siapa yang ada naskah Berita Harian Khamis lalu dan anda pula rajin, tolong tulis perenggan yang melaporkan penafian Cik Gu Pa itu.

Kata kawan yang menelefon saya itu, akhbar yang sama semalam melaporkan bahawa salah seorang Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui berlakunya pertemuan itu. Malah, menurut kawan yang menelefon saya itu, Tengku Razaleigh sendiri mengakui berlakunya pertemuan itu dalam sidang akhbar di kediamannya di Kota Bharu, Palm Manor, semalam.

Kata Ku Li, pertemuan itu ialah mengenai kaukus tentang royalti minyak.

Jika benar laporan Berita Harian mengenai penafian Cik Gu Pa itu, ia juga mengakibatkan persepsi yang buruk kepada mutu kepimpinan PAS. Orang boleh kata, pemimpin PAS cakap bohong. Di pihak ahli dan penyokong PAS pula, macam mana mereka nak menafikan kata-kata itu bila bukti di depan mata?

Satu-satunya cara yang boleh dibuat untuk menyelamatkan PAS dari persepsi buruk (walaupun bertaraf damage control yang sangat lekeh) ialah menuduh akhbar salah petik.

Yang bernasib baik ialah mereka yang tidak beriman kepada persepsi. Saya tak bernasib baik kerana saya sangat mengambil berat tentang persepsi.

Kita jangan lupa persepsi masyarakat jahiliyyah di Mekah terhadap Nabi Muhammad s.'a.w.w. Dengan imej Al-Amin atau orang boleh dipercayai, persepsi terhadap Nabi sangat baik di kalangan mereka.

Yang jahat memang menolak dasar perjuangan Nabi dan dakwahnya. Tetapi mereka tetap tidak dapat menghapuskan persepsi masyarakat ketika itu bahawa Nabi adalah seorang yang sangat dipercayai.

Saya dah tulis, persepsi negatif yang berpunca dari dasar perjuangan PAS akhirnya boleh menjadi lunak jika orang-orang PAS tampil dengan kelaku yang menyenangkan rakyat. Tetapi, persepsi yang diakibatkan oleh buruk kelaku pemimpin atau ahli PAS, ia hampir-hampir tak ada ubat!

Reformasi Tanpa Anwar 17


Oleh: Amin Ahmad
Maka hari ini bertemulah tiga buah parti politik dalam satu upacara bersejarah dalam negara. Ia dinamakan Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di mana tokoh dari tiap parti politik akan mengungkapkan pandangan mereka di samping wakil parti akan membahaskannya.
Pendokong UMNO-BN acapkali mengungkapkan perbezaan yang diakui oleh semua bahawa Pakatan Rakyat didirikan oleh tiga buah parti yang berbeza haluan selama ini. PAS dengan agenda Negara Islam-nya, DAP dengan Malaysian Malaysia-nya dan PKR dengan Negara Madani-nya.
Inilah yang menjadikan konvensyen Pakatan Rakyat sangat unik. Di sebalik dakwa perbezaan yang ada, ketiga-tiga parti ini terus berusaha untuk mencari jalan bagi membolehkan kerjasama yang ada menemui kaedah konkrit.
Benarkah tiga agenda ini berbeza dan tidak ada titik temu?
Ada dua pandangan yang saya sifatkan signifikan untuk kita gariskan iaitu:
Mereka yang melihat potensi Pakatan Rakyat tidak akan berjaya bertumpu kepada persoalan “apa itu Pakatan Rakyat” justeru menjawab “ia terdiri daripada tiga parti dengan haluan berbeza” dan natijahnya ialah kegagalan.
Sementara mereka yang melihat potensi Pakatan Rakyat akan berjaya bertumpu kepada persoalan “apa Pakatan Rakyat boleh lakukan” justeru menjawab “membina masyarakat majmuk yang dapat saling hormat atas dasar keadilan, persamaan di mata hukum dan dasar, kebajikan kepada semua yang memerlukan, melawan rasuah dan salah guna kuasa, mendokong meritokrasi” dan natijahnya ialah usaha berterusan untuk bekerjasama.
Hal ini pernah diungkap dengan baik oleh Prof. Madya Dr. Azmi Sharom dalam satu ucapannya di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) (boleh dirujuk di: http://www.youtube.com/watch?v=YWNU_NTv3Pc).
“The future depends on not what a man or a woman is, but what a man or a woman does” (Masa depan bukan bergantung kepada siapa seseorang itu tetapi apa yang seseorang itu lakukan).
Dr. Azmi dalam kata lain menekankan bahawa kita sebagai bangsa Malaysia adalah lebih baik daripada apa yang dimomokkan oleh UMNO-BN saat mereka mahu rakyat terus membicarakan soal perbezaan ini dan melupakan peluang untuk menemukan penyelesaian lebih baik berbanding apa yang ada.
UMNO-BN menganggap Perlembagaan sebagai satu ketetapan sedangkan Prof. Shad Saleem Faruqi, pakar undang-undang di Malaysia sendiri menegaskan bahawa Perlembagaan kita telah melalui pelbagai perubahan sejak merdeka di mana ia tidak mewakili semangat asalnya secara keseluruhan.
Itulah hakikat Perlembagaan. Ia dirangka dan boleh diubah. Itulah semangat kewujudan institusi Parlimen.
Kita sebagai rakyat wajar melihat Konvensyen Pakatan Rakyat sebagai satu lonjakan penting. Pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa ia hanya sekadar simbol dan memerlukan usaha keras dalam diri kita sendiri untuk membetulkan apa yang perlu dibetulkan di samping mengajak orang lain untuk turut sama membawa obor reformasi dalam diri, keluarga, rakan-rakan, masyarakat, negara dan seluruh dunia.
Kita harus mengakui bahawa usaha ini bukan usaha baru sebaliknya usaha yang terus menerus dilakukan dari masa ke masa kerana sebelum ini kita telah diajar oleh UMNO-BN untuk tidak menyentuh mana-mana isu yang disifatkan sensitif hinggakan kita tidak tahu keluasan isu yang ada dan tidak tahu apa penyelesaian terbaik boleh ditawarkan.
Kita harus berani bertekad bahawa isu apa pun boleh muncul di depan kita selagi jalan kekerasan tidak diambil. Kita harus bertekad untuk menyelesaikan segala isu yang ada sebaik mungkin dengan pertimbangan nilai keadilan, kebebasan dan persamaan kita sebagai cucu-cicit nabi Adam a.s. di mana ketika Allah s.w.t. turunkan kita ke muka bumi dengan hasrat menjadikan kita khalifah dan malaikat sendiri tahu bahawa kita berpotensi untuk melakukan kerosakan. Tetapi Allah s.w.t. menjawab bahawa Dia yang Maha Mengetahui. Allah s.w.t. jugalah yang menjadikan kita berbeza dan menekankan perbezaan kita hanya dinilai di sisi-nya dalam erti taqwa. Dan taqwa, justeru merujuk kepada nilai.
Kita harus bertekad bahawa kita semua sedia untuk menyelesaikannya dengan cara yang baik dan akur dengan janji setia yang dicapai. Dan kita juga wajar mengingatkan diri akan keterbatasan kita menemukan apa yang terbaik, justeru apa juga kata putus yang dicapai, ia tetap ada ruang toleransi bagi kes-kes yang boleh dibincangkan.
Sesungguhnya, undang-undang bukan hadir sebagai ketetapan yang rigid sebaliknya ia hadir atas semangat agihan hak. Frederic Bastiat pernah mengungkapkan bahawa “Life, liberty, and property do not exist because men have made laws. On the contrary, it was the fact that life, liberty, and property existed beforehand that caused men to make laws in the first place.” (nyawa, kebebasan dan harta tidak wujud selepas manusia membuat undang-undang sebaliknya ia adalah kenyataan bahawa hidup, kebebasan dan harta wujud sebelum manusia membuat undang-undang).
Sebab itu saya menulis sebuah artikel bertajuk Malaysia Merdeka! (boleh dicapai di http://aminahmad.com/?p=126) dan sering mengingatkan kenyataan Reinhold Neihbuhr yang diambil sebagai sebahagian ungkapan dalam Perisytiharan Permatang Pauh “keinginan kepada keadilan memungkinkan demokrasi terjadi tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi perlu”.
Pupuklah nilai yang baik dalam diri, insyaAllah ia akan membantu mengatasi sentimen buta dan benih buruk dalam diri kita. Selamat berkonvensyen!

UMNO Pengkhianat - TuanGuru Nik Aziz

Mursyidul Am PAS TuanGuru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah turut serta di Konvensyen Pakatan Rakyat dan ketibaannya mendapat tepukan gemuruh daripada 1,500 perwakilan yang hadir.

"Saya orang yang menyokong kuat satu masa dulu dalam gabungan dengan umno dulu, sebagai orang Melayu Islam saya ada perasaan itu, tapi umno khianat," demikian antara ucapan Nik Aziz.

"Rampasan kuasa di Perak, cara Islam pun tak betul, cara demokrasi pun jauh sekali, maka betapa jijiknya UMNO," tambahnya.

"Saya jadi MB kelantan semua rakyat, Melayu, Cina, India adalah rakyat saya. Berapa kali saya pergi kuil dan tokong dan mereka datang cari saya.

Saya tengok dengan mata saya sendiri terasa serupa dengan berada dalam dunia baru sesuai dengan ilmu dan pengajian saya." katanya sebelum mengakhiri ucapannya.

Menyentuh tentang Karpal Singh, Nik Aziz Nik Mat menyifatkan 'di dada Karpal Singh ada bulan', merujuk kepada lambang PAS adalah bulan.

Sebelum Nik Aziz, Karpal telah memberikan ucapan dengan berkata, dia bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz hari ini tetapi di antara Nik Aziz dan 'Tok Guru Abdul Hadi'.

Karpal berkata demikian ketika menceritakan bahawa pihak sekretariat konvensyen yang bimbang bila beliau (Karpal) akan memberikan ucapan penutup.

"Jika Karpal beri ucapan penutup, bermakna dia akan duduk di sebelah Tok Guru Nik Aziz... apa salahnya... saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini," kata Karpal yang mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan.

Pakatan Rakyat tekad makmurkan negara


Kesungguhan Pakatan Rakyat (PR) terserlah bilamana berjaya mengungkapkan keazaman memakmurkan bumi negara ini dengan melaksanakan kebenaran dan memberikan hak kepada mereka yang berhak.
Pengulas ucaptama, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inilah kesepakatan yang telah dicapai bersama untuk diketengahkan kepada masyarakat dan rakyat dalam negara ini.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, perkara ini telah lama disebutkan di dalam kitab suci Al-Quran yang kini menjadi dasar persetujuan bersama antara komponen semua parti dalam PR.

Antara maksud ayat yang dibacakannya adalah "Apabila kamu menghukum di antara manusia hendaklah lakukannya dengan adil."

Beliau berhujah demikian ketika mengulas dasar yang diketengahkan oleh pimpinan PR dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Auditorium MBSA, dekat sini, hari ini.

Kehadiran ribuan peserta melibatkan 500 orang dari setiap parti dan orang ramai berminat dari seluruh pelusuk negara telah menyemarakkan lagi semangat PR pada hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, selama BN memerintah negara, mereka telah mengkesampingkan perkara utama ini menjadikan rakyat seluruhnya merasai kezaliman BN dalam berbagai perkara.

Sehinggalah, mereka melakukan satu bentuk perubahan di dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 lalu di mana tumbang lima kerajaan negeri kepada PR dengan penambahan jumlah kerusi di Parlimen.

"Saya yakin perubahan ini akan mampu dilakukan dengan lebih baik jika bentuk pengurusan parti masing-masing dapat dipertingkatkan dalam semua pilihan raya sebelum ini termasuk yang ke 13 akan datang.

"Sebarang bentuk permintaan hendaklah berdasarkan kekuatan parti, benyaknya cawangan, ahli dan petugas," tegasnya.

Pakatan sedang terjemahkan dasar kebajikan rakyat

Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP) hari ini sedang menterjamahkan usaha mereka untuk mewujudkan negara yang demokrasi dan mendahulukan kebajikan rakyat melalui konvensyen yang sedang berlangsung.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sewaktu berucap dalam pidato dasar Pakatan Rakyat pagi tadi menegaskan tujuh perkara melibatkan urus tadbir negara mesti diubah dan diperbaharui.

Antaranya ialah mempertingkat integriti Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) dengan meletakkkan badan itu di bawah kuasa parlimen.

Beliau juga menyarankan agar pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah SPRM dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

"SPRM harus dipantau oleh Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen secara bipartisan. Pengerusi dan ahli lembaga pengarah SPRM mesti dillantik oleh Yang Dipertua Agong selepas calon yang ditawarkan itu selesai menjalani sesi soal jawab dan soal selidik oleh Ahli jawatankuasa Khas Parimen.

"Tugas Perdana Menteri hanya mencadangkan nama-nama mereka," katanya.

Menurut Salahuddin juga, terdapat kelemahan dalam penggunaan kuasa eksekutif di negara ini yang menyebabkan penindasan terhadap rakyat.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Jabatan Hisbah ditubuhkan di peringkat pusat dan negeri.

"Selain daripada parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mahkamah, perlu diwujudkan ruang untuk rakyat menuntut keadilan.

"Tujuh perkara mesti kita urustadbir dengan baik. InsyaAllah jika Pakatan diberi peluang mentadbir negara ini, kita akan mentadbir dengan adil dan saksama kepada semua kaum di Malaysia," katanya disambut tepukan gemuruh.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua pula berpandangan, masih banyak cara yang boleh digunakan kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara selain mengenakan pelbagai jenis cukai kepada rakyat.

Beliau yang memfokuskan mengenai ekonomi dalam pidatonya merujuk kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan pada tahun hadapan.

Beliau menegaskan, cukai berkenaan ternyata akan membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah meskipun kerajaan mengatakan ianya tidak akan membebankan rakyat.

"Ekonomi Malaysia kian merosot. BN yang membazirkan wang rakyat kini telah kehabisan wang. Sekarang mereka hendak kenakan cukai baru yang menambah bebanan rakyat.

"Pakatan akan menubuhkan model ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan," tegasnya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dalam pidatonya yang menyentuh mengenai keadian sosial dan pembangunan insan berkata, Pakatan akan memberi tumpuan kepada usaha membaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.

Pakatan, katanya akan menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta mengelakkan diskriminasi kaum.

"BN telah memecahkan perpaduan kaum di negara kita melalui tindakan-tindakan mereka yang mewujudkan kemarahan orang Islam dan orang bukan Islam. Pakatan akan mengembalikan perpaduan kaum dengan mewujudkan sikap baik sangka antara kaum," katanya.

Pidato dasar pakatan Rakyat pagi tadi dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khaid Ibrahim.

Di dada Karpal Singh ada 'bulan' - Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan 'di dada Karpal Singh ada bulan', merujuk kepada lambang PAS adalah bulan.

Nik Aziz berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup konvensyen pertama Pakatan Rakyat hari ini.

Sebelum Nik Aziz, Karpal telah memberikan ucapan dengan berkata, dia bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz hari ini tetapi di antara Nik Aziz dan 'Tok Guru Abdul Hadi'.

Karpal berkata demikian ketika menceritakan bahawa pihak sekretariat konvensyen yang bimbang bila beliau (Karpal) akan memberikan ucapan penutup.

"Jika Karpal beri ucapan penutup, bermakna dia akan duduk di sebelah Tok Guru Nik Aziz...apa salahnya...saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini," kata Karpal yang mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan.

Kedua-dua mereka mempunyai sejarah perhubungan tersendiri dan konvensyen hari ini mencatat satu sejarah baru politik negara.

Konvensyen lulus Dasar Pakatan Rakyat

Tepat jam 5.30 petang 19 Disember, bertempat di Auditorium MBSA, Dasar Pakatan Rakyat diluluskan sebulat suara dalam konvensyen pertamanya.

Ia diluluskan apabila semua perwakilan berdiri dan mengangkat tangan tanda setuju apabila ditanya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan cadangan Lim Kit Siang.
(Gambar: Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat menandatangani dokumen Dasar Pakatan Rakyat selepas diluluskan konvensyen)

Dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh tiga pemimpin utama Pakatan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dasar Pakatan Rakyat berupa dokumen yang dipersetujui bersama di kalangan pimpinannya dan diluluskan sebulat suara dalam konvensyen hari ini.

Ia mengandungi empat perkara asas iaitu demokrasi yang telus dan tulin, memacu ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial dan pembangunan insan dan hubungan persekutuan - negeri dan dasar luar negara.

AMK gesa Pakatan lancar gelombang oren hadapi PRU-13



SHAH ALAM, Dis 19 – Angkatan Muda Keadilan (AMK), pergerakan pemuda Parti Keadilan Rakyat mahu Pakatan Rakyat menggunakan “gelombang oren” bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
“Revolusi oren di Ukraine meruntuhkan rejim yang zalim.
“Justeru, semangat revolusi oren diterjemahkan dengan warna konvensyen pada hari ini sebagai permulaan kepada perjuangan rakyat menentang rejim zalim BN,” kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika membahaskan Dasar Pakatan Rakyat pada konvensyen berlangsung di sini.
Kata beliau Pakatan Rakyat juga seharusnya menggunakan warna oren sebagai rasmi ikatan itu.
Konvensyen Pakatan Rakyat sulung yang berlangsung hari ini menyediakan kain rentang, logo dan buku cenderamata dengan berlatarbelakangkan warna oren.
Beliau juga mahu agar Pakatan Rakyat menggerakkan usaha untuk mendaftarkan pengundi di kalangan orang muda menjelang pilihan raya umum akan datang.

Hannah Yeoh: Adakan pilihan raya PBT dengan ‘opinion poll’



SHAH ALAM, Dis 19 - Wakil rakyat muda Hannah Yeoh dari DAP Selangor menggesa empat kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dengan cara tersendiri tanpa menunggu lampu hijau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya ini mengesyorkan agar kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat menggunakan “opinion polls” di kalangan pembayar cukai untuk mendapatkan input orang ramai tentang calon ahli majlis yang sesuai.
Dengan menggunakan cara sedemikian kata beliau, kerajaan-kerajaan negeri boleh memilih ahli majlis bagi sesuatu PBT daripada kalangan mereka yang popular.
“Ini salah satu cara boleh kita pertimbangkan dan kita laksanakan,” kata wakil rakyat penggal pertama itu.
“Kita tidak perlu menanti SPR. Ia akan mengambil masa yang lama, oleh itu saya cadangkan agar kita gunakan cara ‘public opinion polls’ bagi memilih calon cadangan daripada orang ramai,” kata beliau ketika membahaskan Dasar Pakatan Rakyat di sini hari ini.
Pendekatan ini boleh digunakan di kalangan mereka yang membuat bayaran cukai di PBT masing-masing.
Beliau membangkitkan pandangan itu ketika timbul percanggahan pandangan antara DAP dan PAS berhubung idea mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Percanggahan itu menyebabkan perkara tersebut tidak disebutkan secara langsung dalam Dasar Pakatan Rakyat yang diluluskan hari ini.
Percanggahan pendapat itu turut diakui oleh Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh dan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.
Yeoh yang juga Bendahari DAP Selangor memberitahu parti-parti komponen Pakatan Rakyat tidak harus bimbang untuk menghadapi pilihan raya kerajaan tempatan.
“Calon yang terbaik akan menang,” kata beliau sambil menambah rakyat harus diberikan peluang undi ketiga.
“Orang sudah tidak takut untuk memilih, mengundi,” kata beliau lagi.
Menjawab kebimbangan Yeoh itu, Anwar ketika menyampaikan ucapan penggulungan berkata: “Hannah, jangan risau.”
Katanya, pembaharuan akan terus dilakukan dan ruang untuk membuat demikian diserahkan kepada pemimpin generasi muda untuk melaksanakan.

Tolak Prinsip Perkauman Sempit - Anwar




SHAH ALAM: Semua kaum diseru supaya menolak amalan prinsip perkauman yang dianggap sempit bagi memastikan kesepakatan amalan sosial di negara ini.
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua kaum perlu keluar dari kepompong perkauman yang gemar mempertahankan kuasa berdasarkan keturunan dan warna kulit.
"Kita kena keluar dari kepompong perkauman yang direka oleh orang-orang berfikiran sempit. Inilah yang dikatakan prinsip moral dan menjadi landasan prinsip perjuangan kita dalam Pakatan Rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan perdana pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di sini hari ini.
Beliau berkata, masyarakat Melayu dan kaum bumiputera perlu membanteras sikap perkauman serta mengetepikan dasar meminggirkan golongan lain atas dasar bertimbang rasa.
Justeru katanya, jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu.
"Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu, ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga," katanya.
Jelasnya, jika amalan perkauman terus diamalkan, perjuangan menentang prinsipnya akan menjadi sia-sia.
"Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.
"Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai sumber moral, khazanah akhlak yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua serta menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah," katanya.
Selain itu, Ketua Pembangkang di Parlimen itu mengakui kemenangan besar PKR, PAS dan DAP pada pilihan raya umum 2008 lalu bukan kerana kekuatan jentera parti mereka.
Namun menurutnya, kepercayaan yang diberikan olah rakyat tidak seharusnya dicemarkan.
"Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula jentera pilihanraya Umno dan Barisan Nasional (BN), semuanya adalah mustahil untuk kita meraih kemenangan yang begitu besar.
"Tetapi Rakyat telah memberikan kita sedikit kepercayaan, rakyat memberikan dokongan kepada gagasan PKR, DAP dan PAS.
"Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti, tapi kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung," katanya.
Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini menyaksikan kehadiran lebih 1,500 orang perwakilan dengan setiap komponennya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP diwakili oleh 500 perwakilan.

Karpal Nekad Bela Anwar




SHAH ALAM: Pengerusi DAP, Karpal Singh nekad menggunakan segala kepakarannya dalam bidang perundangan untuk membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
"Saya akan menggunakan kebolehan saya agar beliau dilepaskan daripada tuduhan yang tidak berasas. Saya akan memastikan beliau tidak disabitkan dan dipenjarakan sekali lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi rumusan tiga pemimpin di Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Pertama yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.
Turut memberi rumusan ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Karpal, kes perbicaraan Anwar dijadualkan pada 25 Januari hingga 25 Februari depan.
"Pihak pendakwaan akan menggunakan setiap cara atau peluang untuk membuat pendakwaan terhadap Anwar.
"Kami bersedia untuk berlawan dengan mereka kerana tiada sebab rasional untuk dakwaan tersebut dibuat di peringkat awal lagi," katanya.
Karpal mendakwa, ini adalah kali kedua pihak tertentu cuba menamatkan kerjaya politik Anwar.
Anwar pernah dipenjarakan pada tahun 1999 selama 6 tahun atas kesalahan rasuah.
Sementara itu, Karpal menggesa PR 'membersihkan' institusi kehakiman apabila berjaya menawan Putrajaya kelak.