Selasa, 29 September 2009

Senarai calon BN lebih satu nama



PUTRAJAYA 28 Sept. - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan terdapat lebih daripada satu nama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti akan memutuskan nama calon BN bagi pilihan raya kecil itu hari ini atau esok.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai senarai nama calon BN itu.
''Nama-nama (calon) kita sudah terima dan Presiden parti lebih awal terima daripada saya dan ini akan diputuskan hari ini atau esok sebelum saya mengumumkannya di Bagan Pinang pada pukul 4.30 petang esok.
''Apa-apa pandangan kita terima dengan hati terbuka tetapi apa-apa pun, seperti biasa dalam parti, kita buat keputusan bahawa apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti, ahli parti BN akan terima secara baik," kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelajaran di sini hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang akan diadakan pada 11 Oktober ini berikutan kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor pada awal September lalu di Hospital Pakar Seremban (SSH) kerana jangkitan dalam darah.
Azman yang mewakili BN memperoleh 6,430 undi dan menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu dengan kelebihan 2,333 undi.
Kawasan DUN Bagan Pinang mempunyai 13,664 pengundi iaitu 62.77 peratus merupakan pengundi Melayu, 20.74 peratus pengundi kaum India, 10.96 peratus pengundi Cina dan 5.54 peratus kaum lain.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, usaha mempercepatkan proses pembaharuan yang diharapkan oleh rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) adalah lebih penting berbanding memikirkan soal calon parti pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, proses transformasi di peringkat parti komponen berjalan agak lambat berbanding dalam kerajaan yang kini sudah dilihat kesannya.
Menurutnya, langkah mempercepatkan transformasi itu penting supaya rakyat tidak hilang keyakinan terhadap usaha pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan.
''Agenda paling utama adalah bagaimana kita dapat dilihat bersedia melalui proses perubahan yang diharapkan berlaku dalam parti selepas kita menghadapi pilihan raya umum lalu, baik dalam UMNO, MCA, MIC atau lain-lain parti komponen BN.
''Jadi yang mustahak bagi saya ialah untuk dilihat secara jelas apa-apa pembaharuan atau perubahan yang mahu kita bawa," katanya.

Pusing kanan, pusing kiri, nama Isa juga yang disebut sebagai calon




TELOK KEMANG: Walaupun di selubungi kontroversi di sebalik karier politiknya tetapi Barisan Nasional (BN) dijangka akan meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Pemilihan Isa sebagai calon dilihat dapat memenuhi kehendak pengundi DUN Bagan Pinang yang masih mahukan beliau berkhidmat kepada penduduk setempat berdasarkan perkhidmatannya sebelum ini sebagai menteri besar dan juga wakil rakyat di kawasan itu.
Berdasarkan rekod pengalamannya, Isa pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi selama enam penggal, termasuk sepenggal sebagai Ahli Parlimen Jempol.
Menurut sumber, Umno Telok Kemang yakin kepimpinan Umno Pusat di bawah Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan membuat pilihan yang tepat berdasarkan kemampuan dan penerimaan seseorang itu di kalangan pengundi.
"Kita yakin (Umno) Pusat akan memilih Tan Sri Isa sebagai calon kerana beliau memang dikenali dan masih diterima oleh penduduk di sini.
"Dan BN perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya kerana faktor calon itu sendiri bakal menjadi penentu untuk BN mengekalkan penguasaan di Bagan Pinang," kata sumber tersebut kepada mStar Online.
Malah penerimaan Isa di DUN Bagan Pinang juga dilihat bersesuaian kerana beliau merupakan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang di samping mempunyai rantaian sanak saudara dan keluarga yang ramai di situ.
Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR).
Satu lagi kerusi iaitu DUN Linggi dimenangi BN.
Sokongan dan penerimaan penduduk setempat terhadap Isa juga dapat dilihat berdasarkan cadangan pada peringkat awal oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang yang hanya menyenaraikan nama beliau sebagai calon.
Kerusi Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, pada 4 September lepas. Azman adalah ADUN daripada BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 3 Oktober ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian adalah pada 11 Oktober.
Dalam pada itu Bernama melaporkan, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa BN telah menerima lebih daripada satu nama yang dicadangkan sebagai calon di DUN Bagan Pinang.
Muhyiddin turut berkata beliau yakin calon yang akan diumumkan BN pada petang esok tidak akan mendapat bantahan malah akan diterima oleh semua ahli parti dan parti-parti komponennya.
Kenyataan Muhyiddin itu mungkin sedikit sebanyak dapat memberi petunjuk kepada kemungkinan Isa akan dipilih sebagai calon untuk mewakili BN.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon yang paling layak untuk mewakili parti itu.
"Saya serah kepada pucuk pimpinan, saya sendiri pun tak tahu siapa yang akan dipilih, kita tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat oleh Timbalan Presiden esok," katanya.
Diminta mengulas sama ada BN akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang di DUN Bagan Pinang jika meletakkan calon berpengalaman seperti Isa, beliau berkata: "Saya enggan komen mengenai perkara ini, ini semua hanya spekulasi, saya yakin dengan keputusan kepimpinan peringkat pusat."

Makkal Sakhti tidak jejas MIC, kata Subramaniam


Kemunculan parti baru Makkal Sakhti yang menjadi parti alternatif untuk kaum India, tidak akan menjejaskan MIC, kata Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam.


Beliau berkata MIC masih mendapat sokongan majoriti kaum India di negara ini dan anggotanya tidak akan menyertai parti politik baru itu.

"Masyarakat India sedar dan tahu bahawa hanya MIC parti yang telah memajukan kaum India di negara ini," katanya kepada pemberita di Sungai Petani malam tadi, lapor Bernama.

Parti Makkal Sakthi yang diketuai R S Thanenthiran dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober ini.

Parti itu mendakwa telah mempunyai lebih 50,000 ahli dan akan disertai ramai ahli dan bekas pemimpin MIC.

Calon Bagan Pinang: Pemimpin Umno 'tutup mulut'



Beberapa pemimpin Umno bahagian Teluk Kemang kini "menutup mulut' berhubung isu pemilihan calon BN yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan 11 Oktober ini.

Mereka berkata, terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang layak mewakili BN dalam pilihanraya kecil tersebut, yang akan diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

Setakat hari ini, isu siapa calon BN masih menjadi misteri walaupun Umno Teluk Kemang sebulat suara mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Muhyiddin sebelum ini meminta bahagian tersebut menyerahkan beberapa nama lagi untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, dilaporkan Pergerakan Wanita dan Pemuda Teluk Kemang masih menyokong Isa sebagai calon BN bertanding dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.

Turut dilaporkan mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad dan ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Umno supaya tidak memilih Isa tetapi memilih calon yang bersih dan tidak dikaitkan dengan pelbagi isu, termasuk rasuah politik.

Ketika dihubungi Malaysiakini, timbalan ketua bahagian Ismail Taib berkata, Isa yang juga ketua bahagian Teluk Kemang pernah berkata bahawa bahagian tersebut akan menyokong sesiapa sahaja yang diputuskan oleh pucuk pimpinan bertanding di kerusi tersebut.

Tunggu esok


Beliau bagaimanapun juga enggan mengulas sekiranya ada calon-calon lain yang dicalonkan untuk bertanding dalam pilihraya tersebut.

"Kita sudah buat keputusan, serah kepada Tan Sri Isa untuk buat keputusan (untuk tentukan calon). Dia pun tak pernah beritahu saya, saya pun tak pernah tanya. Tunggu pengumuman calon akan dibuat esok," katanya.

Menurut Ismail lagi, Muhyddin yang juga timbalan presiden Umno akan mengumumkan calon BN di pusat bilik gerakan BN di Bagan Pinang pada jam 4.30 petang esok.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa Umno cawangan Bagan Pinang "enggan mengulas" tentang calon yang akan diumumkan esok.

Bagaimanapun, beliau yang enggan namanya disebut berkata, akar umbi di situ masih berharap Isa yang juga bekas menteri besar dicalonkan mewakili BN dalam pilihanraya kecil itu..

Ditanya mengenai kesan yang akan timbul sekiranya Isa tidak dipilih, beliau percaya pengundi akan tetap mengundi BN.

'Turun jumpa pengundi'

Manakala sumber yang dekat dengan Isa pula berkata, kecenderungan akar umbi mahukan bekas naib presiden Umno itu bertanding dalam pilihanraya tersebut.

"Kalau nak diikutkan, pengundi Bagan Pinang cenderung kepada beliau untuk dijadikan calon.

"Turunlah sendiri berjumpa dengan pengundi, tanya siapa yang mereka nak," katanya sambil menambah, jentera pilihan raya BN kini bersemangat untuk berkempen.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Ramli yang juga yang dipertua PAS kawasan tersebut, adalah antara tiga calon PAS yang disebut-sebut akan dipilih bertanding dalam pillihan raya kecil tersebut.

Gobalakrisnan Ditahan Polis

   
Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan ditahan polis pagi tadi apabila beliau tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk sebutan kes beliau menghalang polis menjalankan tugas pada hari penamaan calon DUN Permatang Pasir hujung Ogos lalu.

Adalah difahamkan Gobala dibawa ke Balai Polis Perda. Polis belum memberi sebarang penjelasan kenapa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu ditahan.

Gobala sebelum ini dikasari oleh polis sewaktu penamaan calon Permatang Pasir.  Beliau mendakwa polis memijak bahu dan belakang badan sebelum seluarnya dilondehkan dan tangannya digari.

Polis pula mendakwa Gobala menghalang anggotanya daripada menjalankan tugas dan sebutan kes atas pertuduhn itu di tetapkan hari ini di mahkamah.    

Masih belum dikenal pasti samada penangkapan Gobala mempunyai hubung kait dengan cubaan untuk mengekang beliau daripada berkempen pada pilihanraya kecil Bgan Pinang di Negeri Sembilan. Penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober dan hari mengundi 11 Oktober.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi berdaftar dengan 2,834 orang merangkumi pengundi kaum India.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor dari Barisan Nasional .

SPR Ada Kuasa Hapus Borang 2

   
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menghapuskan Borang 2 dan Sampu 1 dan Sampul 2 seperti yang didesak Pakatan Rakyat untuk menjamin ketelusan undi pos.

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub berkata SPR mengakui pihaknya boleh membuat perubahan berkenaan tanpa perlu meminda mana-mana akta.

Menurutnya dalam pertemuan yang diadakan dengan SPR, suruhanjaya berkenaan memerlukan masa bagi merealisasikan desakan itu dan kemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober ini.

“Pihak SPR mengakui perkara itu adalah merupakan peraturan-peraturan yang boleh mereka ubah tanpa meminda mana-mana akta. Itu kuasa-kuasa yang kata SPR mereka boleh ubah.

“Dan kalau mengikut maklum balas dari perbahasan tadi SPR boleh bersetuju dengan pandanga-pandangan kami tetapi memerlukan masa untuk mengubah dan membuat perubahan. Mereka membuat alasan terlalu banyak sangat piliha raya kecil dan kematian,” katanya pada sidang medianya petang tadi.

Salahuddin bersama 15 wakil Pas Pusat mengadakan pertemuan dengan SPR yang diketuai oleh Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama 15 pegawainya.

Salahuddin berkata dalam pertemuan berkenaan pihaknya mengemukakan beberapa cadangan kepada SPR iaitu meminta supaya Borang 2 dihapuskan kerana ia merupakan faktor ketakutan kepada pengundi pos.

Katanya pemilih mesti dibersihkan daripada sebarang faktor ketakutan yang boleh menggugat niat mereka untuk mengundi.

“Faktor ramai undi pos di bagan pingan ini atau sediakit tidak menjadi isu yang kita perjuangkan ketulusan dan pembersihan daripada segala usur ketakutan. Ini yang kita minta.

“Dalam penghujahan kami perkara itu satu faktor ketakutan yang boleh menggangugugat anggota keselamatan kita. Kita telah menyatakan kepada SPR bahawa semua pihak dalam perkara ini khusunya SPR mestilah menghormati dan menyanjung tinggi anggota keselamatan kita dan jasa mereka kepada negara,” katanya.

Menurutnya Pas turut mendesak SPR untuk menghapuskan Sampul 1 dan 2 untuk menghidupkan suasana kondusif ketika membuang undi kerana peraturan berkenaan dilihat menyebabkan tiada kerahsiaan kepada pengundi pos.

Pas turut mencadangkan kepada SPR supaya undi pos dijalankan hampir dengan waktu pilihanraya dan mendesak supaya karung undi berkenaan tidak disimpan di kem tentera atau balai polis.

“Cadangan kedua kita cadangkan hampirkan dengan hari mengundi dan bila selesai pembuangan undi pos terus dikira seperti undi awam supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan di mana lamanya tempoh masa karung-karung undi itu disimpan.

“Pihak Tan Sri (Abdul Aziz) dan SPR mereka mendengar dengan baik dan mereka berjanji untuk membuat perubahan-perubahan kearah pembaikan SPR pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu Salahuddin tidak menolak kemungkinan pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan SPR pada masa akan datang sekiranya tiada sebarang perubahan dilakukan SPR.

Beliau berkata Pas akan mengambil pendekatan untuk masuk ke kem-kem bagi menyampaikan maklumat kepada pengundi pos sekiranya pihak Umno Barisan Nasional berbuat demikian.

“Jangan mereka katakan pembangkang tidak boleh masuk tetapi mereka masuk. Saya telah membuat kenyataan dua hari lepas terdapat maklumat bahawa Datuk Seri Zahid Hamidi dan Syarizat Jalil akan membawa jentera wanita Umno dan Umno sendiri kedalam kem untuk meraih undi.

“Ini sangat tidak demokratik, kalau ini berlaku maknanya Pas tidak ada pilihan melainkan mengambil pendekatan untuk kita masuk atau kita membuat pendekatan untuk menyampaikan maklumat kita kepada pengundi-pengundi pos ini,” katanya.

Apa Hak Ibrahim Ali? - Salahuddin

   
Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub membidas tindakan Ahli Parlimen Pasir MAs Ibrahim Ali mencabar Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya Ibrahim tidak mempunyai sebarang asas untuk membuat kenyataan sedemikian dan kenyataan berkenaan jelas memperlihatkan kecenderungannya untuk kembali kepada Umno.

“Apa hak Ibrahim Ali? Dia dulu diberikan kerusi di Pasir Mas kemudian dia jadikan dirinya sebagai calon bebas dan mungkin kecenderungan kembali kepada Umno.  Itu saya rasa Ibrahim Ali tidak ade asas untuk bercakap mengani perkara itu,” katanya.

Cabaran berkenaan dibuat susulan desakan Menteri Besar Kelantan itu supaya Ibrahim melepaskan jawatannya ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Pada pilihanraya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket Pas.

Terbaru Ibrahim mengeluarkan 10 hujah mengapa Nik Aziz perlu mengosongkan jawatan yang disandangnya sejak 1990. Antaranya beliau menyifatkan Nik Aziz sebagai ‘barang lama’ kerana terlalu lama bergelar wakil rakyat dan Menteri Besar.

Mengulas mengenai perkara ini Salahuddin berkata tidak ada isu untuk Nik Aziz mengundurkan diri apatah lagi melihat kepada prestasinya sehingga ke hari ini.

“Sekarang beliau tidak ada masalah kesihatan dan persembahan dia baik, tidak ada isu untuk beliau mengundurkan diri pada tahap yang ada pada hari ini,” katanya.

Live Dari Bagan Pinang: Tandas awam yang penuh Kontroversi !!! Mungkinkah KORUPSI ???!!!




Inilah gambar tandas awam yang dikatakan bernilai RM200,000.00 tetapi sampai sekarang tdk boleh digunakan. Siapa yg patut dipersalahkan. Pada nilaian seorg kontraktor adakah projek tandas awam ini boleh dikategorikan nilainya RM200,000.00 fikirlah sendiri

Mengapa tandas yg bernilai terlalu mahal yg telah lama siap tidak boleh digunakan sampai skrg? Pertanyaan ini telah diajukan ke MPPD oleh masyakat setempat dan pelancong2 yg hendak bersihkan diri selepas mandi laut tetapi pihak majlis diam seribu bahasa.

Untuk pengetahuan masyarakat Malaysia tandas awam ini terletak di KM.3 Kg. Bagan Pinang. sempena PRK ini den timbulkan lagi masalah ini utk masyarakt menilai hasil kerja2 kerajaan yg memerintah UMNO BN.

Yg musykilkan lagi den tandas awam ini bagaimana bentuk pembuangan sisa kumbahan cuba tengok dalam gambar di atas belum pakai lagi, air tersumbat hitam legam. Agaknya macamana pengguna2 guna tandas ini. Lu pikirlah sendiri..........

Diharap dengan pendedahan ini pada masa berkempen PRK Bagan Pinang diharap pemimpin Pakatan agar mendedahkan masalah tandas awam ini utarakan siapakah yg dapat tender ini dan nilaikan berapa harga sebenar tandas ini.