Sabtu, 12 September 2009

DUN BAGAN PINANG - Apa Respon BN Jika PAS Menang..??

OLEH : JAMALUDIN MD.ISA (Penulis Bebas)

UMNO berpendapat keputusan pilihan raya kecil yang memberikan kemenangan 8-1 kepada parti Pakatan Rakyat, dakwa mereka bukan faktor sebagai ukuran menentukan Pembangkang akan menguasai Malaysia selepas PRU ke 13 akan datang.

Mereka tetap optimis BN akan terus kekal memerintah negara dengan hujah bahawa Pembangkang cuma baru menang satu kerusi iaitu di Kuala Terengganu. Lain-lain kawasan yang dimenangi mereka dalam siri-siri pilihan raya kecil dikatakan adalah kawasan Pembangkang. Kemenangan itu tidak menghairankan UMNO-BN. Itu adalah analisis dari pihak UMNO yang saya fikir mereka ini mencipta keseronok sendiri

Saya melihat momentum perubahan pemikiran politik rakyat, terutama sekali orang-orang Cina dan India. Kalau 50 tahun dahulu orang-orang Cina dan India amat sukar untuk memberikan undi mereka kepada mana-mana parti oposisi. Namun, perubahan politik baru di kalangan masyarakat bukan Islam bagitu amat ketara sekali apabila mereka sudah tidak bagitu yakin lagi dengan pendekatan politik Barisan Nasional yang diterajui UMNO dewasa ini. Inilah pada perkiraan saya politik Malaysia akan datang lebih memihak kepada parti Pakatan Rakyat. Dan bagi saya sekiranya sistem dwi parti ini dapat dikekalkan hingga ke pilihan raya ke-13, alamat UMNO-BN akan terimalah nasib mereka yang amat buruk sekali

Kalau 50 tahun dahulu penguasaan politik Barisan Nasionol tetap unggul kerana orang-orang Cina dan India teguh di belakang mereka. Tetapi, senario baru politik Malaysia mutakhir adalah disebaliknya. Faktur ini pada perkiraan saya pasti turut mencetuskan momentum besar yang akan merubah landskap politik negara dapat kita saksikan selepas pilihan raya umum ke 13 akan datang. Sejarah politik negara kita tidak pernah memperlihatkan UMNO-BN mengalami kekalahan teruk sesudah pilihan raya ke-13 lalu dan lanjutannya berterusan dalam lapan siri pilihan raya kecil. Dan sepanjang saya mengikuti perkembangan politik negara serta di waktu-waktu saya aktif menulis isu-isu politik negara dalam akhbar WATAN, di mana bila berlangsungnya sesatunya pilihan raya kecil parti Pembangkang ketika itu PAS dan DAP sukar untuk mencatat apa-apa kemenangan dalam pilihan raya yang mereka turut serta Sekalipun pilihan raya itu berlaku di kubu kuat PAS ataupun DAP, UMNO-BN tetap menserakah kemenangan besar. Iklim politik diawal tahun 1950an hingga ke tarikh pilihan raya ke-13 memang politik UMNO-BN disituasi cukup kondusif. Tetapi, mutakhir ini UMNO harus memperakui rakyat tidak lagi bersama mereka dan menunggu masa buat rakyat menghukum UMNO-BN sekaligus akan menamatkan "talian-hayatnya" apabila berlakunya "swing vote" kuasa undi yang akan ditentukan oleh seluruh rakyat di negara ini dalam pilihan raya ke-13 akan datang.

Justeru itu, saya mahu mengingatkan ahli-ahli dan pemimpin politik tertinggi UMNO, terutama sekali Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mahyudin Mohamad Yasin agar tidak terlalu yakin dan gairah sekiranya UMNO berjaya mempertahankan DUN Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil di negeri Sembilan tidak berapa lama lagi. Jangan melatah, lantaran menepuk dada bahawa UMNO sudah kembali pulih dan mendapat sokongan semula di kalangan orang-orang Melayu di negara ini. Dalam ramalan saya ada kemungkinan besar UMNO dapat mengekalkan DUN Bagan Pinang berasaskan mojoriti undi yang diperolihi calun UMNO dalam PRU lalu agak besar berjumlah 2,333 undi. Hal ini tidak memeranjat kita kerana, di DUN tersebut terdapat sejumlah 4,925 pengudi pos.

Namun dalam jangkaan saya berasaskan perkembangan politik Malaysia mutakhir dan kesan daripada hasil penolakan orang-orang Cina dan India terhadap parti komponen BN, saya juga sekali lagi cuba mengukur dan meramalkan PAS juga ada peluang untuk menang di Bagan Pinang. Asas ukuran saya DUN Bagan Pinang diketegorikan dalam kawasan bercampur. Melayu 66%, Cina 10.5%, India 19,9% dan lain-lain 3.5%. Mantic saya sekiranya seluruh undi Cina dan India itu diberikan kepada PAS dan 20% daripada undi Melayu juga berpihak kepada PAS, tiada mustahil kenapa kali ini PAS tidak boleh menang di Bagan Pinang? Tetapi yang mengelirukan kita undi Pos yang bilangannya terlalu besar menjadikan faktur berhantu sukar untuk kita memberikan harapan sedikit lebih menyakinkan untuk PAS menang mudah di Bagan Pinang.

Saya akaui di Bangan Pinang sukar sedikit untuk meramalkan Pakatan Rakyat akan menang. Sekalipun kelebihan itu memihak kepada UMNO-BN. Namun, jika seluruh undi-undi orang Cina dan India berpihak kepada PAS. Dan jika ramalan ini benar-benar terjadi, saya kira satu"kejutan" kepada UMNO dan juga PAS. Akhirnya saya letakan harapan berasas penyelidikan yang dikemukakan ini UMNO-PAS adalah 50-50. UMNO jangan terlalu over confiden dan PAS hendaklah bijaksana memujuk hati-hati setiap pengundi Cina dan India kalau mereka mahu mencipta sejarah di Bagan Pinang. Selamat mengundi kepada seluruh penduduk DUN Bagan Pinang.

Ad-dhalal dan Al-ghadhab ; Penyakit bawaan syaitan laknatullah

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه


Ad-dhalal dan Al-ghadhab ; Penyakit bawaan syaitan laknatullah


Setiap hati sentiasa dihinggapi penyakit. Dalam diam penyakit-penyakit ini menghapuskan segala rasa takjub dengan kekuasaan ALLAH SWT Yang Maha Mulia. Penyakit-penyakit ini jualah yang menyebabkan hamba hilang pertimbangan dalam segala usahanya. Tanpa berasa mahu menyerahkan segala urusan selepas usaha kepada ALLAH SWT sebagai Maha Pencipta Segala Daya.

Penyakit kalbu yang dinyatakan adalah sangat berbahaya kepada jiwa. Penyakit yang pertama dinamai ia dengan ad-dhalal (kesesatan) dan al-ghadhab (keangkara-murkaan).

Penyakit ad-dhalal timbul disebabkan kurangnya keilmuan, manakala timbulnya penyakit al-ghadhab adalah kerana tidak menjumpai tujuan hidup.

Inilah dua penyakit induk kepada hati yang tidak dibajai dengan hidayah Shiraathal Mustaqim yakni Al-Quran. Pohonlah hidayah kepada ALLAH SWT Yang Maha Mulia dalam menjauhi penyakit kesesatan. Sesat dalam ibadah, malah paling parah ialah sesat dalam akidah kepada ALLAH SWT.

Sesungguhnya hidayah yang dipohon sering hadir ke dalam hati-hati kita setiap detik dan ketika. Lihat sahaja kepada laungan azan yang didengari saban lima kali sehari. Itulah antara hidayah yang dicampakkan ke dalam hati manusia. Namun amat sedikit yang menyambutnya, untuk menunduk sujud kepada Keesaan serta Kemuliaan ALLAH SWT.

Begitu juga dengan hidayah yang dicampakkan oleh ALLAH SWT, ketika kita melihat penyakit tidak berubat seperti usia di kalangan warga tua. Ketika itulah fikiran perlu dialih agar memikirkan bahawa kita juga akan melalui penyakit tua tersebut. Lalu bagi yang menyambut hidayah daripada ALLAH SWT, maka lorongkan diri agar menyambut hidayah dengan segala persediaan sebelum usia mencapai tua.

Bagi tujuan mengubati penyakit rosak tujuan atau mendapat kemurkaan adalah dengan merenungi pengertian kepada Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin. Melalui perenungan kepada maksud tujuan hidup bahawa hanya ALLAH SWT adalah tujuan kepada segala amalan di dunia pinjaman. Pemikiran kepada titik noktah hidup adalah antara syurga atau neraka serta azab ALLAH SWT kepada pemuka dosa, maka seharusnya hati yang hidup rasa bertuhan pasti tahu jalan yang harus dipilihnya.

Tuan-tuan yang dimuliakan oleh ALLAH SWT.

Musuh yang nyata dalam kehidupan insan. Itulah syaitan dan iblis laknatullah. “merekalah” digelar mal’un (yang dilaknat). Dadah, arak, merosak gadis-gadis atau katakan sahaja segala hal dosa, puncanya ialah daripada kedua makhluk ALLAH SWT tersebut.

Bagaikan seorang yang akan ditentang di gelanggang iman, sudah pasti dia akan melakukan segala persediaan bagi menghadapi si penentang. Diteliti dan dikaji segala segi bakal lawanya. Begitulah apabila berdepan dengan syaitan dan iblis laknatullah. Namun di alam realiti, walaupun umum mengetahui bahawa syaitan dan iblis laknatullah itu adalah musuh abadi kepada manusia. Namun, perihal musuh ini tidak diambil peduli.

Kelemahan tanpa kekuatan musuh-musuh ini tidak dikaji dalam mempertingkatkan persediaan iman. Malah, manusia yang mengakui punya akal serta IQ tertinggi masih tewas dalam perjuangan melawan dorongan nafsu yang diperkuatkan oleh syaian dan iblis laknatullah.

Tujuh cara tipuan syaitan


Dalam mencapai kecintaan tidak berbelah bahagi kepada ALLAH SWT, adalah menjadi kewajiban kepada setiap jiwa yang mengaku Muslim dan beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya untuk memperdalamkan ilmu dengan segala daya tenaga.

Di dalam perjalanan untuk mencari ilmu yang asrar yakni tinggi tahap fahamnya serta pelbagai kemuliaan yang khatir, maka bersedialah dalam mengorbankan tenaga serta memerah usaha kepada guru-guru yang mursyid dalam memahami tingkatan tipuan syaitan.

Pelbagai daya syaitan dan iblis dalam meminggirkan usaha mukmin daripada ibadah kepada ALLAH SWT;

1. Syaitan dengan berterusan melarang manusia daripada taat kepada ALLAH.

Sedangkan kepada orang-orang yang sentiasa patuh kepada ALLAH SWT pasti menolak ajakan syaitan dengan berkata “aku mengharapkan pahala daripada ALLAH SWT. Untuk itu, hanya bekalan di dunia ini mampu membawaku kepada akhirat yang kekal”.

2. Dalam ibadat juga syaitan akan memujuk manusia meninggalkan taat kepada ALLAH SWT. Kata syaitan laknatullah ; “lakukan ibadatmu di waktu tua, masa masih muda”.

Bagi hamba ALLAH SWT yang terpelihara pasti menyatakan “Kematianku bukan terletak ditanganmu wahai syaitan dan iblis laknatullah. Sekiranya aku menundakan beramal pada hari ini untuk hari esokku, dapatkah aku beramal pada masa yang akan datang? Sedangkan mati itu sahaja tidak tahu bila bakal menjemputku. Apakah yang akan ku jawab didepan Tuhanku?”

3. Sifat tergesa-gesa adalah sifat syaitan.

Maka syaitan akan mengesa manusia mempercepatkan amalan. Contohnya solat tanpa tomakninah, bagaikan ayam yang mematum-matuk makanan. Syaitan laknatullah akan mengatakan ; “cepatlah engkau beramal, perihal dunia yang lebih penting menantimu”

Manakala, bagi orang-orang yang selamat amalnya, pasti berkata ; “Amal yang baik tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna”

4. Kemudian, syaitan laknatullah akan meneruskan usahanya dengan tahapan lebih tinggi dengan menyuruh orang-orang yang soleh dan mukhlish beramal agar melaksanakan amal ibadat dengan sempurna agar tidak dicela orang lain.

Kepada orang-orang yang ikhlas amalnya pasti berkata ; “Cukuplah hanya ALLAH SWT sebagai penilai kepada segala amalanku, bukan kerana manusia aku ini beramal”

5. Tusukan hasutan syaitan diteruskan dengan membisikan pujian kepada orang yang beramal ; “hebat dan tersusun ibadatmu hingga engkaun kelihatan mempunyain darjat yang tertinggi berbanding orang lain”


Apabila mendengar lintasan itu, orang-orang soleh yang celik kehambaannya kepada ALLAH SWT akan berkata segala keaggungan dan pujian itu adalah dikembalikan kepada pemiliknya iaitu ALLAH SWT Yang Maha Jamil lagi Kamil. Bukanlah kekuatan itu miliku. ALLAH SWT adalah pemberi redha NYA hingga aku beramal sebagaimana diredhai NYA. Tanpa kurnia NYA Yang Esa, apalah yang dapatku harapkan daripada amalku yang tidak setanding dengan banyaknya dosaku.

6. Apabila mengetahui kegagalan usaha syaitan laknatullah, diteruskannya pula menghasut sesat manusia dengan cara yang lebih hebat. Caranya dengan membisikkan kepada manusia ; “bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sirr, jangan sampai diketahui amalmu itu oleh orang. Sesungguhnya hanya ALLAH akan mengkhabarkan kebaikan serta keikhlasanmu kepada orang lain”

Melihatkannya, menampakkan kebaikkan yang dilakukan pasti mendapat tempat di sisi ALLAH SWT Yang Maha Mulia. Namun, kepada Ahlul Haq pasti menyedari itu adalah usaha syaitan laknatullah meletakkan penyakit riya di hati.

Berkatalah Ahlul Haq dengan kebesaran ALLAH SWT ;
“hai syaitan laknatullah, tiada guna segala usahamu menyesatkan ku. Engkau berpura-pura memperbaiki amalanku, sedangkan engkau menginginkan kerosakkan amalku. Aku adalah hamba ALLAH SWT, aku tertakluk kepada kekuasaan NYA. Jika DIA berkehendak, ALLAH akan melahirkan atau menyembunyikan amalanku. DIA lah yang akan menentukan duduk letak mulia atau hina amalanku. Tiadalah kekhuatiran kepadaku andai amalanku dinampakkan atau tidak di kalangan manusia, kerana itu bukan urusan makhluk setarafku”


7. Seterusnya, syaitan laknatullah dengan segala usaha akan mengoda manusia dengan membisikkan ; “hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sekiranya ALLAH telah menetapkanmu sebagai orang yang berbahagia pada hari ‘azali kelak, maka meninggalkan ibadah tidak akan memudaratkan dirimu. Dan jika ALLAH menetapkan dirimu sebagai orang yang celaka, tiada gunanya engkau beribadah, kerana engkau akan tetap celaka ”

Ketika inilah lahirnya golongan jabariah, qadariyyah (perbuatan mereka bukan daripada ALLAH, tetapi terhasil daripada diri sendiri), bahkan mujjassimmah dengan meletakkan ketentuan berdasarkan akal. Pada rupa luarnya seakan berlainan, namun jauh tersimpang dari manhaj Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Berhati-hatilah kalian dalam menghadapi tipu daya syaitan laknatullah.

Bagi orang-orang yang dipelihara oleh ALLAH akan hatinya pasti segera menolak ajakan itu dengan berkata ;
“Aku hanyalah hamba ALLAH. Wajib bagi diriku mengikuti segala perintah NYA. ALLAH Maha Mengetahui. Menetapkan dengan kehendakNYA, dan berbuat apa sahaja mengikut kehendakNYA.”


“Walau bagaimana keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika ditetapkan untuk aku menjadi orang yang berbahagia, akan ku tetap beribadah sebagai jalan mendapat pahala. Dan sekiranya ditetapkan untukku sebagai orang yang celaka, aku pasti tetap beribadah, agar tidak menjadi penyesalan buatku”

Tambah orang bertaqwa lagi ;
“Sekiranya aku masuk neraka, pada ketika aku adalah orang yang taat, itu lebih ku sukai daripada aku masuk neraka kerana aku berbuat maksiat.”

“Tetapi tidak begitu kenyataannya, kerana janji ALLAH itu janjiNYA pasti terbukti, segala firmanNYA adalah benar. ALLAH SWT telah menjanjikan pahala kepada sesiapa yang taat kepadaNYA”

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan beriman dan taat kepada ALLAH tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurga tempatnya.”

Justeru, wahai syaitan laknatullah, ketahuilah segala pujukanmu adalah gagal keatasku. Itulah tanda kasih ALLAH SWT. Bahawa DIA Yang Maha Mulia tidak sesekali mempersiakan hambaNYA yang ikhlas beribadah kerana NYA semata-mata. Masuknya hamba ke dalam syurga, bukanlah kerana amalanya, walau dikumpul tidak mampu menandingi nikmat serta rahmat ALLAH SWT ke atas hambaNYA. Tetapi, masuknya hamba ALLAH ke dalam syurga adalah kerana janji ALLAH Yang Maha Suci.

Begitulah sedikit sebanyak jalan-jalan yang dilalui oleh hamba-hamba yang menuju kepada redha ALLAH ke atas diri-diri mereka. Bahawa musuh yang tidak nampak (syaitan iblis laknatullah) itu adalah lebih payah untuk dikalahkan tanpa ilmu sebagai bekalan. Sedangkan yang kelihatan berilmu dan gah dengan jawatan turut terkubur dengan keasyikan dunia dengan segala kemewahan.

Ayuh! Usah bertangguh menuju jalan yang diredhai. Sudahi hidupmu sebagai safiyullah!


Wallahu’alam


وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم أجمعين،والحمد لله رب العالمين

Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:

Almukminun

http://almukminun.blogspot.com/

Pemuda mahu calon pilihan raya temui pengundi pos



 
KUALA LUMPUR, 12 Sept: Dewan Pemuda PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membenarkan calon PAS yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bertemu dengan pengundi pos di kawasan itu. 
Timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, calon PAS perlu bertemu dengan pengundi pos yang terdiri daripada anggota tentera bagi memastikan mereka mengenali calon yang bertanding.
Katanya lagi, Pakatan Rakyat juga perlu diberi kebenaran untuk berkempen kepada pengundi pos bagi memastikan segala maklumat sampai kepada pengundi pos yang merupakan kumpulan pengundi terbesar di Dun berkenaan.
"Kalau menteri pertahanan dan jabatan kerajaan lain boleh bertemu mereka, mengapa kami dari Pakatan Rakyat tak boleh bertemu dengan mereka?" soalnya.
Bercakap pada satu sidang media selepas mesyuarat exco pemuda tengahari tadi, Azman berkata, Pemuda akan menghantar tuntutan kepada SPR agar memansuhkan Borang Lampiran 2 yang memuatkan butiran peribadi pengundi pos.
"Borang yang tulis maklumat peribadi pengundi pos itu sendiri yang mungkin menyebabkan mereka takut kedudukan mereka terjejas kalau undi Pakatan Rakyat," tegasnya.
Pada sidang media yang sama, Azman juga memaklumkan Pemuda sedang menyediakan satu cadangan untuk diserahkan kepada negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat berkaitan dengan penjualan arak.
Pemuda dalam masa terdekat ujarnya akan mengadakan seminar atau perbincangan meja bulat untuk membincang dan mengemukakan cadangan berhubung isu berkenaan.
"Pemuda berpandangan isu ini sangat penting bukan sahaja kepada negeri Selangor tetapi juga negeri-negeri Pakatan lain termasuk Perak yang kita anggap masih di bawah Pakatan Rakyat," katanya.
Jelasnya, Pemuda akan menyediakna garis panduan bekenaan penjualan arak di negeri Pakatan, bukan mengharamkannya secara total seperti yang disalaherti oleh banyak pihak.
"Kita akan beri garis panduan dan pandangan daripada Pemuda PAS. Bukan haram secara total kerana orang bukan Islam ada hak untuk minum (arak)."
Selain itu, DPP juga menyokong usaha sayap pemuda anggota Pakatan Rakyat untuk menubuhkan satu sekretariat pemuda Pakatan untuk menyelesaikan segala isu yang timbul secara bersama tanpa berlakunya salah faham.
"Pemuda Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengadakan mesyuarat setiap bulan untuk menangani isu-isu yang berlaku dalam negara kerana kita rasa perjumpaan yang kerap paling kurang sekali sebulan dapat menyelesaikan banyak masalah yg berlaku."Katanya.
Pada masa yang sama, pemuda Pakatan Rakyat sedang merancang untuk mengadakan konvesyen pemuda Pakatan Rakyat di seluruh negara untuk menghimpunkan seluruh Pakatan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

PAS Desak Borang 2 Pilihanraya Dihapuskan


   
Dewan Pemuda Pas Pusat bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang dan telah mengarahkan jenteranya menakluk kubu kuat BN itu. Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat Pas Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Pemuda, Azman Shapawi Abdul Rani berkata keutamaan awal adalah mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan proses undi pos secara telus.
"Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengerahkan tenaga semaksima mungkin bagi merampas kerusi BN. Secara kebetulannya PAS akan bertanding dalam pilihanraa kecil yang terdekat ini. Dalam masa yang sama, kami Pemuda PAS pusat akan mendesak dan menghantar tuntutan kepada SPR, pertama mengenai undi pos supaya ianya lebih telus dalam pilihanraya kecil akan datang" katanya.
Lantaran itu, Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar memorandum kepada SPR Malaysia dalam masa terdekat. Ustaz Azman Shapawi menambah, beberapa sudut teknikal akan dibangkitkan dalam memorandum kerana sayap parti aliran Islam ini bimbang dengan penipuan pilihanraya. " Kita minta dari sudut teknikal seperti borang 2, borang yang menulis maklumat-maklumat pengundi pos itu sendiri yang mungkin mengakibatkan rasa takut, bimbang terjejas kedudukan mereka untuk mengundi pembangkang dalam pilihanraya akan datang minta dihapuskan".
Ujarnya lagi, Pemansuhan borang 2 sangat mustahak dalam memastikan ketelusan. Beliau juga harap SPR memberikan kelonggaran kepada calon dari PAS yang akan bertanding pada pilihanraya kecil Bagan Pinang untuk memasuki kem-kem tentera di kawasan DUN berkenaan bagi tujuan kempen.
" Kita rasa pilihanraya kecil kali ini, perkara ini boleh dilakukan kalau SPR benar kepada kita dan saya rasa isu keselamatan tidak timbul kerana semua tumpu kepada pilihanraya kecil dan kalau orang lain boleh masuk ke dalam kem, jual sayur, konsert pun boleh buat dalam kem, tak kan calon nak bertemu dengan pengundi, berkempen, nak cerita menifesto pengundi pun tidak boleh. saya rasa wajar diberi kebenaran kepada kita" tambahnya. Sementara itu, Sekretariat BERSIH, Faizal Mustaffa berkata, BERSIH sejak sekian lama berpendirian, bahawa undi pos perlu dihapuskan kerana wujud pelbagai isu yang meragukan.
Dalam situasi di Bagan Pinang, Faizal berkata sebahagian besar dari pengundi pos yang akan terbabit sebenarnya sudah tidak layak mengundi berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan mereka yang telah tamat tahun lepas.
" Pengambilan anggota tentera yang bermula dengan angka pendaftaran 1068 sehingga 1070 adalah rekrut pengambilan November 1986 di Port Dickson, jika pengambilan itu rekrut tersebut dikira tamat tempoh perkhidmatan mereka selama 21 tahun atau pun 22 tahun, bermakna mereka akan berpencen pada November 2007 atau November 2008".
Malah ujarnya lagi, fakta ini merupakan sesuatu yang serius dan ianya wajar dipantau bagi mengelakkan wujudnya pengundi hantu pada pilihanraya kecil Bagan Pinang.
" Kalau kita lihat kepada pada spr.gov.my angka-angka pendaftaran ini masih wujud dalam sistem. Maknanya, saya ingin mengatakan di sini bahawa mereka seramai 1, 970 orang ini, yang sepatutnya tidak boleh berdaftar atau ertinya tidak ada kelayakan untuk mengundi di Port Dickson masih boleh mengundi di Bagan Pinang pada pilihanraya kecil."

MIC akan berkecai jika berundur sekarang, kata Samy Vellu

Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, parti itu akan 'berkecai' jika beliau meninggalkan parti itu sekarang, selepas berakhirnya pemilihan jawatan Timbalan Presiden hari ini.

"Saya sudah pun mengatakan yang ini akan menjadi penggal terakhir tetapi saya tidak mahu mengatakan yang saya akan tinggalkan pagi esok, petang esok sebab anda kena ingat apabila saja saya mengatakan yang saya akan tinggalkan dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang, MIC sudah 50 peratus musnah.

"Saya boleh tinggalkan jawatan Presiden esok... tapi parti akan menjadi tidak stabil. Sekarang pun sudah ada kumpulan samseng, beribu-ribu samseng sudah masuk ke bangunan ini (PWTC hari ini)," kata beliau ketika ditemui wartawan di pusat media di PWTC pada hari pertama Perhimpunan Agung MIC Ke-63 petang ini. Samy Vellu yang mempertahankan jawatan Presiden buat penggal ke-11 April lalu berkata, beliau boleh memberikan laluan kepada Datuk G. Palanivel jika menang agar menerajui MIC selama enam bulan.

"Saya boleh beri Palanivel tempoh enam bulan menerajui parti jika menang, biar tengok apa yang boleh lakukan oleh beliau (Palanivel), saya boleh lakukannya," kata Samy Vellu yang menyokong Palanivel supaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden MIC.

Samy Vellu juga menambah, jikapun beliau meminta barisan baru yang terpilih sama ada bersedia mengambil alih pucuk kepimpinan berkuat kuasa esok, mereka akan mengatakan tidak harus berbuat demikian.

"Saya boleh tanya mereka di depan anda, saya akan tanya mereka pagi esok bahawa saya akan meletakkan jawatan, adakah anda boleh mengambil alih parti, mereka akan kata tidak, tidak," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan membuat pengumuman mengejutkan bahawa akan menyerahkan pucuk kepimpinan esok, Samy Vellu berkata, "tidak."

"Tidak. Tidak ada perkara sedemikian," kata beliau lagi.

"Saya akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai," katanya lagi.

Dalam pada itu, Samy Vellu memberitahu. prestasi Barisan Nasional (BN) pada hari ini bukan disebabkan masyarakat India membenci MIC, tetapi kerana perasaan benci masyarakat India terhadap perikatan tersebut.

"Saya tidak takut untuk mengatakan perkara ini, saya berani untuk bercakap... saya berani berhadapan dengan sesiapa untuk bercakap ini," kata bekas Menteri Kerja Raya ini.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini ada pandangan mengatakan prestasi buruk BN pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008 disebabkan perasaan benci masyarakat India terhadap MIC.

Malah kata beliau, ada pihak termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa MIC tidak mengemukakan apa-apa tuntutan berkaitan kepentingan masyarakat India kepada kerajaan semasa kepimpinannya.

"Saya ada bukti segala syor, resolusi yang dikemukakan kepada kerajaan. Saya ada banyak dokumen, saya boleh buat pameran tentang dokumen-dokumen ini," katanya.

Berhubung syor Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razal pagi tadi, Samy Vellu berkata, parti itu akan mengambil ikhtibar amanat beliau.

"Ucapan beliau pada peringkat kelihatan tak begitu OK, tapi kandungan peringkat akhir OK... saya akan dengar apa yang dikatakan oleh beliau (Najib) kerana beliau pemimpin kita," katanya. Sebagai permulaan, kata beliau, MIC akan memulakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) parti itu di peringkat negeri bagi mengukuhkan serta menguatkan sokongan akar umbi terhadap BN. Najib yang juga Pengerusi BN pada majlis perasmian itu turut mengingatkan semua pemimpin parti komponen BN bahawa tidak guna menjadi popular di kalangan anggota parti sahaja tetapi tidak popular di kalangan rakyat sehingga menyebabkan kehilangan sokongan pada Mac 2008.

Najib berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, suara keramat ialah suara rakyat dan kuasa mutlak adalah di tangan rakyat dan mereka yang akan menentukan nasib BN dalam setiap pilahan raya umum.

Kelemahan MIC disebabkan Samy Velu

Pembaharuan penting bagi survival Umno - Pemerhati Politik


PETALING JAYA: Beberapa penganalisis politik melihat keputusan Majlis Tertinggi Umno yang pada dasarnya bersetuju untuk menghapuskan sistem kuota serta memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan untuk memilih pemimpin sebagai tindakan yang memenuhi selera masyarakat.
Tindakan itu juga dilihat akan mendapat sokongan semua pihak bukan sahaja di kalangan ahli Umno malah juga penyokong parti itu.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein, ketika dihubungi berkata, beliau percaya tindakan memansuhkan sistem kuota dalam Umno akan dapat mengembalikan sokongan ahli Umno itu sendiri.
"Umno semakin ditinggalkan oleh ahlinya sendiri...oleh itu keyakinan ahli perlu dipulihkan bagi mengembalikan sokongan mereka terhadap Umno.
"Jadi bagi saya tindakan memansuhkan sistem kuota dan memberi peluang yang lebih luas kepada ahli akar umbi untuk memilih pemimpin mereka hingga ke peringkat atasan adalah langkah terbaik.
"Dengan cara ini ahli Umno akan kembali menyokong Umno dan tidak mustahil juga orang luar yang bukan ahli juga akan tertarik dengan Umno," katanya kepada mStar Online.
Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, keputusan memansuhkan sistem kuota berkenaan juga bertujuan membanteras politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik selain menunjukkan Umno benar-benar parti yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat.
Jelas Ahmad Atory, tindakan menghapuskan sistem kuota ini juga adalah penting bagi survival Umno.
"Banyak lagi usaha yang perlu dipertingkatkan oleh pemimpin-pemimpin Umno bagi memastikan parti itu terus kekal relevan.
"Umno perlu yakinkan masyarakat khususnya ahlinya sendiri bahawa Umno adalah sebuah parti yang mahu berubah.
"Tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul bersama dalam Umno ialah untuk yakinkan ahlinya supaya mereka tidak beralih selera menyokong pihak lain," katanya.
Ahmad Atory juga berkata dengan pemansuhan sistem kuota, Umno dapat mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam memilih pemimpin.
Katanya, apabila syarat kelayakan untuk bertanding dipermudahkan, sudah pasti ia akan membuka lebih banyak ruang kepada ahli peringkat akar umbi yang mempunyai bakat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam parti itu.
"Ahli Umno sendiri terdiri daripada pelbagai jenis golongan termasuk cerdik pandai, ahli korporat dan sebagainya."Bila semuanya menjadi mudah (proses pencalonan), maka tidak mustahil golongan ini terutamanya generasi muda merasakan mereka juga mampu memberi sumbangan kepada parti.
"Tidaklah mereka perlu memperolehi kuota tertentu baru layak untuk bertanding, cukup sekadar jadi ahli untuk tempoh waktu tertetu... mereka sudah layak," katanya.
Walaubagaimanapun Ahmad Atory berkata, Umno perlu menyediakan satu mekanisme atau garis panduan bagi memastikan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding benar-benar mempunyai kelayakan.
"Harus diingat bila kuota dah tak ada, sesiapa sahaja boleh bertanding.
"Jadi Umno perlu perhalusi kaedah pelaksanaannya sama ada untuk menyediakan syarat minimum kepada calon yang ingin bertanding bagi memastikan kualitinya tidak terjejas," katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, tindakan menghapuskan sistem kuota dan usaha untuk melibatkan lebih ramai ahli memilih pemimpin dapat mencegah amalan politik wang.
Katanya dengan melibatkan lebih ramai ahli sebagai perwakilan, sukar bagi seseorang calon itu untuk menawarkan apa-apa ganjaran supaya memberi undi kepadanya.
"Kalau sekarang ini hanya kira-kira 2,500 perwakilan yang akan buat pilihan, tapi nanti apabila sistem pemilihan sudah dirombak dengan memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan yang mungkin mencecah sehingga 100,000 orang... sudah pasti amalan politik wang dapat dibanteras.
"Jumlah (perwakilan) sikit mungkin boleh 'dibeli', tapi bila jumlahnya ditambah hingga ratusan ribu... mampukah mereka nak 'beli' perwakilan seperti yang didakwa banyak pihak," katanya.
Ditanya sama ada dengan memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan dalam Umno akan melahirkan pemimpin-pemimpin yang tidak berkualiti serta diragui kredibilitinya sebagai pemimpin, Ahmad Nizamuddin berkata Umno perlu memperkenal satu kaedah untuk mengatasinya.
Walaubagaimanapun jelasnya, beliau yakin ahli-ahli Umno sendiri bijak untuk menilai dan memilih siapakah pemimpin yang akan menerajui parti mereka.
"Ahli-ahli Umno sudah pasti tidak melulu untuk memilih pemimpin, mereka pasti akan mengkaji dahulu latarbelakang dari segi pengalaman dan sumbangan seseorang calon itu sebelum mereka membuat pilihan.
"Memilih pemimpin bukan soal main-main, saya yakin ahli Umno ada pertimbangan mereka dalam soal ini," katanya.

Susahnya Jadi Perempuan, Payahnya Jadi Lelaki

http://2.bp.blogspot.com/_wKqEutTvI1A/SoamlQhAhnI/AAAAAAAABO0/-D7bJISqtDY/s400/tolakumno.jpg


Ada orang mengatakan alangkah susahnya menjadi perempuan. Banyak benar kekangan, sedari kecil tidak boleh hidup bebas. Pergerakannya diperhatikan orang tua. Gerak gerinya menjadi bualan. Hinggalah ada juga yang memberontak jiwanya, ingin keluar dari kepompong sehinggalah dibuang sifat-sifat kewanitaannya untuk menyamai lelaki. Yang jauh dari itu mempersoalkan taqdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Lalu ia melanggar naluri dan fitrah seorang wanita.

Wanita perlu pula menutup auratnya dengan sempurna. Maklumlah aurat yang rata-rata difahami hanya sekadar menutup rambut sudah memadai katanya sedangkan ia jauh dari itu. Tutur katanya juga perlulah dijaga agar tidak timbul perasaan jahat di hati lelaki. Hinggalah terbit dari hati "Wahai, sukarnya menjadi seorang wanita"

Rupanya apabila Islam telah menyebarkan sinarnya pada zaman Jahiliyyah yang menzalimi wanita dan anak-anak perempuan maka tinggilah martabat kemuliaan wanita. Sehinggalah di dalam al Quran terdapat surah An Nisa' iaitu surah wanita dan Islam amat menjaga wanita serta ditunjukkan hak-hak yang perlu diberi kepada kaum hawa ini.

Wahai wanita, janganlah hendaknya dirimu dibiarkan rosak oleh kaum Adam yang jahat perangainya, dipergunakan untuk mendapatkan keuntungan. Lihat sahajalah di setiap iklan di dalam media massa, bukan barangan yang menjadi tontonan. Tetapi di sebaliknya wanita yang berada di sisinya, maka larislah barangan disebabkan wanita dipergunakan setiap mahkota yang ada padanya. Alangkah harubirunya dunia ini apabila pemudinya rosak akhlaknya. Bila tiada kekuatan aqidah dan pendidikan agama, walau seorang profesional sekalipun tidaklah lepas dari jatuh ke lembah kehinaan jika tiada cinta kepada ALlah.

Wanita Kebanggaan Islam

Wanita jika yang dibentuk dirinya dengan acuan yang betul, lahirlah serikandi Islam sebagaimana Aisyah radiyaLlahu 'anha, lahirlah anak yang taat kepada ibu dan ayahnya sebagaimana Asma' binti Abu Bakar yang digelar zatun nitaqoin membawa bekal, memanjat sehingga ke pintu gua untuk memberi bekalan kepada 2 orang kekasih ALLah iaitu ayahnya sendiri Saidina Abu Bakar As Siddiq dan junjungan besar Nabi Muhammad SallaLLahu 'alaihi wasallam. Alangkah bahagianya apabila ada pendorong di dalam hidup, pendokong ketika dalam kesusahan dan kesedihan, menjadi teman seperjalanan menemani hayat sebagaimana Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tentunya menjadi ibu kebanggaan para pencinta Islam sebagaimana Ummu Habibah (gelaran bagi Ramlah binti Abu Sufyan), walau ditimpa ujian bertalu-talu, dipaksa untuk murtad oleh ayahnya ketika ia memeluk Islam. Ditambahi pula dengan karenah suaminya yang telah berpaling dari Islam dengan memeluk agama Kristian, beliau rela berpisah kerana cintanya kepada ALlah melebihi segala-galanya dan tinggilah darjatnya apabila dilamar oleh RasuluLlah untuk menjadi teman hidupnya. Balasan untuk orang yang sabar dan gigih di dalam agama ALlah.

Jika diselusuri sejarah, ramainya tokoh-tokoh wanita Muslimah yang memberi sumbangan besar di dalam dunia Islam. Fatimah binti Sa'ad al Khair al Ansari al Andalusi, lahirnya di China pada tahun 522 Hijrah. Mengajar di Kaherah dan Damsyiq dan ramai tokoh yang mengambil hadith darinya seperti al Hafiz al Munziri. Siti Zubaidah, isteri Khalifah Harun al Rasyid telah membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk memperkuatkan kubu pertahanan dan kawasan sempadan. Jasanya dalam menampungi saluran air yang dibina dari Baghdad hinggalah ke Mekah untuk jemaah haji sehinggalah saluran air ini dikenali sebagai "Ain Zubaidah" (Mata Air Zubaidah). Lihatlah perkataannya - apabila dibentangkan kepadanya kos perbelanjaan saluran itu, beliau telah mencampakkan bil perbelanjaan itu ke dalam sungai sambil berkata : "Kami tinggalkan hitungannya untuk Hari Perhitungan". ALLahu... ALlah..

Kitalah Lelaki Itu

Ada orang mengatakan payahnya menjadi lelaki. Besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk meneruskan kehidupan. Maklumlah di zaman ini, besarlah cabaran bagi seorang lelaki yang dipenuhi dengan tribulasinya. Kita diuji dengan penglihatan yang menggoda iman, patutlah ALlah menyuruh kita di dalam firmanNya yang bererti :

" Katakanlah kepada orang2 beriman laki2 agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."
( An-Nur : 30-31 )


Berapa ramai yang telah kalah di dalam menjaga pandangan dan kemaluannya ?...

Suami diuji dengan isteri, harta, anak-anak. Orang lelaki perlu bekerja mencari rezeki dan bukannya duduk goyang kaki. Orang lelaki perlu kuat pegangan agamanya, tahu menjadi imam, mempunyai daya kepimpinan, membuat keputusan yang betul. Kita tetaplah lelaki untuk meneruskan perjalanan di bumi ALLah ini, tidak mudah mengalah, berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik dan memperbaiki diri. Begitulah, hidup orang yang beriman, kesusahan itu sebenarnya adalah hiburan, ujian itu menambahkan cinta kepada ALlah. Kita selusuri kembali dari kacamata sirah siapakah lelaki sejati yang menjadi tauladan umat ini.

Lelaki Sejati Perlu Mencontohi Mereka

Agungnya akhlaqmu ya RasuluLLah menjadi suri tauladan sepanjang zaman. Tarbiah dan didikanmu kepada para sahabat melahirkan Abu Bakar yang sikapnya lemah lembut tetapi tegas di dalam menjalankan hukum ALLah. Menjadikan Saidina Umar berani di hadapan para kafir Musyrikin serta besar jasa-jasanya dalam menyebarkan dakwah Islam dan diteruskan kegemilangannya oleh Saidina Uthman dan Saidina Ali radiyaLlahu 'anhum. Begitulah seorang dari seorang sahabat yang amat memusuhi Islam akhirnya menjadi panglima Islam yang berani sebagaimana Khalid bin Al Walid. Adakah kesusahan, kesulitan menjadikan mereka cengeng dan berundur dari melaksanakan tugas sebagai hamba ALlah?

Siapakah yang tidak kenal seorang hamba yang berkulit gelap berbangsa Habsyi yang upahnya setiap hari adalah dua genggam kurma. Tetapi putih bersih hatinya, kebal imannya dari dicarik dan dirosakkan oleh ketulan batu yang menghempap dirinya. Beliaulah muazzin ar Rasul (tukang azan RasuluLlah), pelopor kebebasan peribadi walaupun zahirnya diikat sebagai hamba kepada Muawiyah bin Khalaf, namun jiwanya bebas hanya untuk menyembah ALlah sehinggalah ia benar-benar bebas dimerdekakan oleh sahabat yang mulia hatinya iaitu Saidina Abu Bakar radiyaLLahu 'anhu. Lelaki sejati inilah yang berjuang di barisan hadapan di dalam siri-siri peperangan ketika bersama RasuluLLah dan berjaya membunuh Umaiyah bin Khalaf semasa peperangan Badar al Kubra.

Kentalnya jiwa Urwah bin Zubair seorang ahli fiqh yang terbesar. Menurut ceritanya sebelah kakinya mendapat penyakit yang menyebabkan para doktor memutuskan ia perlu dipotong agar tidak merebak sehingga ke betis dan seluruh tubuhnya. Lalu beliau disuruh untuk meminum satu minuman yang boleh menghilangkan kewarasan akalnya supaya dia tidak merasa sakit. Lalu beliau berkata
"Aku tidak mengira, bahawa seorang yang beriman kepada ALlah akan mahu minum sesuatu yang dapat menghilangkan akalnya, sehingga dia tidak mengenal dan ingat la akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini dipotong"
Lalu dipotong pada lututnya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa dan tidak mengeluh atau merintih barang sedikitpun.

Selanjutnya qadar ALlah telah pun tertulis, untuk menguji iman lelaki sejati ini. Di malam hari kakinya dipotong itu terjatuh pula putera kesayangannya dari tingkat atas rumah lalu meninggal ketika itu juga. Kawan-kawannya pun datang mengucapkan takziah (menyatakan turut rasa duka cita). Urwah bin Zubair mengucapkan :
"Ya ALlah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan tinggal enam orang. Kaki tanganku ada empat, lalu Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga. Kalau Engkau yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan (menyembuhkan)"
ALLahu...ALlah...

Tugas Kita Sebagai HambaNya

Di antara rasa susah dan payahnya menjadi perempuan dan lelaki. Maka perlu bertanya juga di dalam hati, sudahkah kita mensyukuri nikmat yang ALlah telah beri selama menjadi perempuan dan lelaki? Wanita dan lelaki yang beriman tetaplah perlu bergandingan bantu membantu di dalam perjuangan diri, keluarga dan masyarakat ke jalan ALlah. Mengajak ke arah kebaikan, menegur kemungkaran bukan tugas 'seseorang'. Lupakah kita firmanNya yang bererti :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah at Taubah : Ayat 71)

Ya saudaraku sekalian, bukan bergandingan bahu membuat maksiat atau penzinaan tetapi bahu membahu di dalam meninggalkan larangan dan mengerjakan taat kepada ALlah..

Sumber rujukan :

1. Muhammad al Ghazali, Warisan Pemikiran Islam Menurut Syara' dan Rasional, 2003, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Malaysia
2. Dr Yusuf al Qardawi, Iman Dan Kehidupan, 1985, Dewan Pustaka Fajar, Selangor
3. Pendidikan Akhlaq Darjah Enam, 1998, Jabatan Agama Johor, Synergymate

Penulis : IbnuNafis

BN Tewas Pada PRU13 Nanti - Mahathir


Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir meramalkan yang BN akan tewas dalam pilihanraya umum akan datang jika masalah dalaman komponen seperti MCA, MIC, UMNO dan lain-lain lagi tidak diselesaikan dengan segera.

MIC sebagai contoh, bekas presiden Umno itu berkata, masyarakat India tidak lagi menyokong MIC kerana bosan dengan kepimpinan Samy yang mahu menguasai parti itu – beliau menguasai parti ketiga terbesar dalam BN selama 29 tahun.

“Sekarang orang India sudah terbahagi kepada lapan parti. Kalau dulu semuanya sokong MIC, sekarang ini, tidak ramai yang sokong MIC. Dan mereka beri alasan yang sama, iaitu mereka dah bosan dengan Samy Vellu yang hendak kuasai MIC,” jelas Dr Mahathir.

Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini hari ini, bekas menteri kerja raya itu berkata, Dr Mahathir sendiri seorang pakar dalam seni “memusnahkan timbalannya” sendiri.

“Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.

“Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.

“Adakah pilihan raya yang akan datang akan menyaksikan fenomena yang sama seperti di Jepun? Ia tidak mustahil sama sekali,” kata bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.

MCA kini tidak berkesempatan untuk membuat postmortem kekalahan BN di Permatang Pasir dan meningkatnya undi kaum Cina kepada Pas kerana mereka sibuk dengan pertelingkahan. Masalah yang melanda Presiden dan Timbalan Presiden menyebabkan parti ini seperti kehilangan nakhoda.

Tiada siapa yang nampak Tee Keat mampu bertahan lama dalam politik. Walaupun beliau sedang berusaha keras untuk mempertahankan kedudukannya, dalam masa yang sama, mereka yang berada di bawahnya sudah membayangkan MCA akan kehilangan Tee Keat selain Soi Lek.

Betul kata pepatah Melayu, yang menang akan jadi arang dan yang kalah akan jadi abu. Tiada siapa yang untung dalam pertelingkahan ini. Malahan, sedikit sebanyak, kesan yang paling teruk terkena ialah parti MCA sendiri kerana, ketika rakyat semakin sangsi dengan perjuangan mereka, pemimpin-pemimpin mereka terpalit dengan skandal pula

Apa yang pasti Pakatan Rakyat seharusnya menggunakan peluang terbuka ini untuk membuktikan kepada rakyat yang mereka lebih berupaya untuk mengambil alih tapuk pemerintahan negara demi kebaikan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Reformasi Tanpa Anwar 10



By :Amin Ahmad,
Reformasi 3.0c
Saya tidak sedar kini sudah masuk siri ke-10 Reformasi Tanpa Anwar. Saya yakin dalam proses menulis spontan ini, dan hanya bersandarkan fikiran dan mood saya tanpa kerangka awal, tentu ada hal-hal yang saya tertinggal misalnya perhimpunan penting 100,000 rakyat yang menjadi lambang kemampuan gerakan reformasi menongkah arus kesedaran rakyat tatkala DS Anwar di penjara.
Saya akan menyambung tulisan berkaitan kepimpinan DS Abdullah Ahmad Badawi dan masa-masa DS Anwar di Munich dalam siri ke -11. Dalam siri ini, saya mahu memberi komentar-komentar lain yang saya fikir penting untuk difikirkan bersama – sama ada bersetuju atau tidak.
Saya kira ada kewajaran untuk kita pejuang reformasi atau siapa saja yang mahu mengaitkan diri kea rah Malaysia yang lebih baik untuk mengucap salut kepada barisan peguam yang telah berkhidmat secara pro-bono untuk maruah perundangan negara.
Saya masih ingat setiap kali tatkala membaca transkrip mahkamah yang melibatkan peguam arwah Aris Rizal Christopher Fernando bangun menyoal, ia memberi nafas dan keyakinan bahawa ada yang tidak kena dengan sistem perundangan negara. Ini termasuk saudara Zainur Zakaria, Gurbachan Singh, Pawancheek Merican, Raja Aziz Addruse dan lain-lain (maaf kerana tidak ingat semua peguam yang berdedikasi menumpahkan masa, tenaga dan wang mereka untuk sebuah perjuangan). Dari sana juga, rakyat mula mengenali Zulkefli Nordin yang kini menjadi YB Kulim.
Kita mungkin ada rasa tidak setuju dengan sikap dan pandangan sebahagian mereka dalam isu-isu politik tertentu, namun kita harus mampu membezakan garis perjuangan dan sentimen peribadi terhadap mana-mana individu termasuk Ezam Mohd Nor. Bahagian-bahagian perjuangan di mana nama mereka ada, maka kredit patut diberi. Jiwa besar kita harus berani menemukan fakta sejarah, meski akhirnya ia tidak menjadi bahagian yang kita gemar untuk ulangi. Kita jangan jadi sama seperti UMNO-BN yang mahu memaksa satu bentuk tunggal faham sejarah. Penafian UMNO-BN terhadap sumbangan mereka yang lain dalam perjuangan kemerdekaan adalah ciri komunis yang sebati.
Dalam proses panjang reformasi, saya harap kita semua dapat membezakan 1) garis prinsip yang luhur dengan garis perjuangan parti yang kadangkala ada kepentingan serta 2) konteks prinsip yang luhur tadi dengan konteks penindasan berterusan UMNO-BN.
Saya membaca tulisan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin yang seakan menyindir bahawa kononnya parti hanya mampu menyediakan “kemudaratan yang lebih ringan” berbanding yang lain. Kaedah Usul Fiqh ini mungkin absah, namun kita harus lekas berani mengakui bahawa sikap menurunkan piawai untuk melayani kelemahan kita bukanlah pilihan yang bagus. Pada masa yang sama, aktivis parti dan tidak berparti, dan mendokong gerakan reformasi tidaklah harus melihat ia sebagai kritikan yang melemahkan sebaliknya ia satu penghargaan kepada keberanian untuk bergelut dalam ruang kepentingan parti yang begitu tajam berbanding menjadi suara luar yang tidak benar-benar berani menyentuh isu secara langsung dan sebaliknya hanya menyebut bentuk-bentuk umum. Pada masa yang sama, saya amat menantikan komentar politik yang lebih dalam dan tajam daripada Dr. Asri untuk menggariskan prinsip yang menidakkan mudarat sebagaimana yang cuba digambarkan dan di mana pembolehubah yang boleh diambil dalam realiti di Malaysia untuk bergerak. Saya masih ingat Dr. Asri pernah menggesa Majlis Fatwa membuat keputusan fatwa tentang ISA yang belum kedengaran, dan tentu tidak sukar untuk Dr. Asri sendiri menyatakan sikapnya secara terbuka.
Berlindung di sebalik hujah menegur pemimpin di belakang tabir secara baik harus mengambil kira jenis kerosakan yang dibuat mereka. Perasaan cukup menegur pemimpin di belakang tabir untuk saya hanyalah satu bentuk “menghalalkan kezaliman” atas nama ketaatan sedangkan yang menjadi mangsanya bukan hanya musuh politik kepada pemimpin semasa. Rasuah, salah guna kuasa dan kerosakan institusi negara adalah jauh lebih merosakkan negara berbanding suara protes rakyat secara aman. Evolusi bentuk dan sistem kenegaraan jangan dikesampingkan dalam membentuk konteks penghujahan. Dr. Asri sendiri hadir dalam protes isu Palestin di UK dan sepatutnya protes aman begitu boleh berlaku di Malaysia sebagai satu kenyataan sikap yang jelas. Malah, untuk saya, jika kita percaya kepada hujah menegur pemimpin dengan baik, kita juga harus berani mencontohi sikap Nabi s.a.w. yang mahu menyatakan sikap secara jelas tatkala Baginda s.a.w. merujuk kepada Perjanjian Fudhul. Dan sikap ini bukan hanya untuk kerajaan Barisan Nasional (BN), malah juga kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sebagai satu garis prinsip kenegaraan yang membezakannya dengan isu kepartian.
Ya, saya mungkin hanya kebetulan mengambil contoh Dr. Asri yang saya hormati dan berterima kasih untuk peranannya yang signifikan sepanjang bertugas sebagai mufti di negeri saya, Perlis. Persoalan bersetuju atau tidak bersetuju untuk saya adalah soal kemudian. Satu sikap DS Anwar yang saya suka adalah kesediaan untuk merundingi semua perkara di mana menunjukkan perbezaan pandangan dan beliau akan menggunakan saluran rundingan ini untuk menyatakan sikapnya. Ya, tentu saja ada yang mahu menangguk di air yang keruh bahawa rundingan politik juga harus dibenarkan. Saya bersetuju sambil mengingatkan konteks-konteks yang belum terlerai dan kewujudan undang-undang yang memberi keabsahan untuk parti politik bersaing dan bersuara, meski dalam konteks Malaysia batasannya terhad. DS Anwar bukan baru menonjolkan sikap ini, ia dicatat jelas dalam the Asian Renaissance yang diterjemahkan dalam Gelombang Kebangkitan Asia berkaitan persoalan convivencia.
Apa yang saya mahu ketengahkan dalam merujuk kepada perihal kritikan membina Dr. Asri kepada corak dan budaya politik di Malaysia ialah bagaimana wujud kesenjangan di antara intelektual-pemikir dengan masyarakat. Suara pensyarah di kampus dibungkam. Jika ada yang bersuara, ia tidak lebih daripada mengampu dan memuji-puja kerajaan semasa sambil mencari-cari kelemahan parti lawan untuk ditonjolkan sebagai sebab status quo harus dibenarkan. Jika ada yang punya sikap, mereka lebih selesa berdiam diri atau hanya membuat kerja-kerja yang disifatkan Ortega y Gasset sebagai kedurjanaan pengkhususan disiplin akademik (the barbarism of specialization) dan Julien Benda sebagai pengkhianatan kaum intelektual (La Trahison des clercs). Sebab itu di Malaysia, rakyat lebih menghargai mereka yang berani, meski tanpa gelar Profesor atau Doktor. Rakyat dambakan intelektual-pemikir yang mampu memberi dorongan dalam mereka merumus pandangan dan sikap awam berdasarkan hujah-hujah yang boleh disandar. Rakyat tidak memerlukan Profesor dan Doktor untuk menjadi pembesar suara kepada kecamukan dasar dan sikap kerajaan, tidak kira kerajaan mana sekalipun.

Ada Peniaga Yang Doakan Toh Mati ???


Setelah sebulan saya tidak pulang ke Kuala Terengganu, beberapa para peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diberi notis arahan keluar dari premis perniagaan mereka tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dan berbincang.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita10/mb-kata-usang-kena-roboh.jpg

Urusan di Kuala Lumpur pun tidak dapat dielakkan juga. Sebagai koordinator Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol**, terasa juga semacam tidak adil kerana terlalu lama tidak bersama mereka berbincangan pelan tindakan untuk merayu kepada kerajaan. Walaubagaimanapun hubungan telefon jarak jauh tetap dikekalkan.

Dalam kerungsingan mereka yang berniaga, beberapa orang dari mereka kerap menelefon menceritakan rungsing dan tidak lena tidur memikirkan masa depan mereka yang tidak menentu. Walaupun selepas luput tarikh notis arahan tersebut MB ada dipetik oleh akhbar sebagai berkata bahawa para peniaga akan dipaksa pindah juga selepas Raya, namun tiada satu surat rasmi pun yang dikeluarkan oleh lembaga yang diamanahkan untuk menjaga warisan negeri.

Ada yang menelefon di awal Ramadan lalu, saya nasihatkan kepada mereka agar kita banyak berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dan saya seru kepada para peniaga agar banyak bersabar, teruskan perniagaan sempena musim perayaan ini dan gandakan ibadat terutamanya di akhir-akhir Ramadan ini. Dan kita panjatkan doa supaya Allah izinkan mereka terus diberi peluang untuk berniaga sehingga suatu tempoh yang sesuai dan wajar.

Dalam perjumpaan ringkas pagi ini bersama beberapa peniaga tersebut, ada yang pantas menyahut seruan saya dengan kata-kata “kita doakan Toh mati!” dan disambut dengan gelak ketawa di kalangan yang mendengar, sambil ada yang mengaminkan. Mungkin itulah satu-satunya cara untuk para peniaga ini mendapat ruang untuk bernafas.

EMPAYAR McMUSA MULA GOYAH?

Oleh: DATUK DR JEFFREY KITINGAN
KETIKA menjadi Pengarah Yayasan Sabah 1984-1994, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah secara mala-fide memfitnah dan membuat tuduhan palsu ke atas saya kononnya terlibat dengan Skandal RM4 Billion, semata-mata untuk ‘membunuh’ Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) kerana ketika itu PBS mendapat sokongan akar umbi dan keluar daripada Gagasan Barisan Nasional.
Mujur niat jahat mereka untuk ‘memusnahkan’ kerjaya saya tidak direstui Tuhan kerana mereka gagal mengemukakan bukti melampaui keraguan munasabah sehingga Mahkamah membebas dan melepaskan saya tanpa syarat, namun agak malang kerana kesannya terhadap PBS masih terasa sehingga kini.
Paling memalukan, mereka menangkap saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama rakan-rakan saya yang tidak berdosa dan kemudiannya membuat pertuduhan palsu ke atas saya sedangkan saya tidak menahu dan tidak melakukan sebagaimana yang didakwa. Mulut saya terkunci kerana tahanan ISA tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan dan hanya di Mahkamah Keadilan baru saya dapat bersuara.
Saya telah membuat laporan polis dan SPRM terhadap Ketua Menteri Sabah dan kroninya melalui 81 Dalil yang lengkap dengan bukti dan keterangan terutama Skandal Wisma Bandaraya dan Konsesi Pembalakan yang dilakukan Musa Aman semasa beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah, Menteri Kabinet dan Ketua Menteri Sabah.
Ironinya, bukan sahaja Musa Aman tidak pernah disiasat atau dipanggil untuk memberi keterangan, malah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dianugerahi pingat Seri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima; Pengarah Siasatan Datuk Jamidan Abdullah dan Pengarah Pendakwaan SPRM Datuk Shukri Abdull dianugerahi Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) serta Bekas Pengarah SPRM Sabah, Puan Hajjah Latifah Md Yatim dianugerahi Pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K).
Masa untuk bercerita tentang pingat telah berlalu, kini tiba masanya untuk menjalankan siasatan berdasarkan dua laporan polis terbaru saya di Balai Polis Penampang PPG/RPT/5914/09 dan PPG/RPT/6019/09 berhubung kes pemalsuan geran dan pemberian konsesi melalui pintu belakang kepada ‘orang yang tidak dikenalinya’, Michael Chia Tien Foh, yang umum tahu terlibat dengan Kes Penggubahan Wang Haram $S 16 juta di Hong Kong.
Jika dulu Malaysia telah dijajah oleh McDonalds, tetapi kini setelah McCurry memenangi kes paten jenama ‘Mc’ di Mahkamah, timbul pula isu ‘McMusa’, satu jenama baru yang kukuh dalam Empayar Perniagaan di Sabah sejak Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah (2003 hingga kini).
 
Walaupun ‘McMusa’ tidak dipatenkan dan tidak terlibat dengan perniagaan ‘Franchise’ Makanan Segera, namun McMusa mendapat ‘Franchise’ konsesi ‘Pembalakan Segera’ dan ‘Kontrak Pengangkutan Segera’ yang menjadi nadi kekuatan memperkasa ‘McMusa’ untuk selamanya, selagi Barisan Nasional berkuasa di Sabah.
Modus Operandi yang dilakukan melalui ‘Timber Laundering’ adalah keterlaluan dengan kerjasama Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan dan Pengurus Besar  Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong iaitu kegiatan ‘memfaraidkan’ hutan simpan kelas I atau kelas II kepada Yayasan Sabah sebelum diberikan Konsesi Pembalakan oleh Rakyat Berjaya Sdn.Bhd iaitu anak syarikat Yayasan Sabah.
Datuk Sam Mannan bukan sahaja ‘merestui’ pemalsuan Pelan Pembalakan, iaitu menjadikan kawasan  tanah tinggi 25 darjah ke atas kepada 10 hingga 24 darjah bagi membolehkan lesen Pembalakan di keluarkan Jabatan Perhutanan.
Pada mulanya saya berbangga dengan Datuk Sam Mannan yang sebelum ini bersusah payah menemui Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad membantah sekeras-kerasnya pengwujudan  Benta Wawasan oleh Pengarah Yayasan Sabah ketika itu, Datuk Musa Haji Aman.
Namun apabila Musa Aman dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah, Datuk Sam Mannan membuat u-turn 360 darjah dengan terlibat secara langsung mengeluarkan kawasan Hutan Simpan untuk dibalak termasuk Segama-Malua sehingga menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ dan mengeluarkan lesen pembalakan di Kawasan Benta Wawasan dibantahnya sebelum ini.
Oleh itu tidak hairan jika beliau merestui pembalakan di kawasan 25 darjah ke atas kerana telah berpengalaman membuat pusingan 360 darjah di tiga konsesi di Hutan Simpan Kelas II Kuamut yang telah saya dedahkan sebelum ini iaitu kepada Danagaya Sdn.Bhd sedangkan kawasan berkenaan tidak langsung boleh dibalak.
Dua daripada konsesi itu iaitu YS 3/07 (6) Seksyen A dan YS 3/07 (6) Seksyen B telah ditangguhkan pembalakannya hasil bantahan saya, namun pembalakan di Konsesi YS 3/07 (5) masih berjalan sedangkan Pelan Kawasan tersebut juga dipalsukan oleh Han Wai Kong di bahagian Remote Sensing Jabatan Perhutanan Sabah, iaitu abang kepada Fran Han Kan Kong, Pengurus Besar Danagaya Sdn.Bhd.
Saya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Zainuddin Hassan yang bukan sahaja telah memfailkan laporan di pejabat SPRM, malah turut menghantar notis meminta penjelasan 14 hari kenapa Jabatan Perhutanan tidak menghentikan kegiatan pembalakan di konsesi YS 3/07 (5) yang sebahagian besarnya adalah tanah tinggi melebihi 25 darjah.
Bukti terbaru yang saya terima ini amat mengejutkan iaitu Sam Mannan dan pegawainya menyediakan laporan pemeriksaan palsu bagi membolehkan lesen dikeluarkan kepada Danagaya Sdn.Bhd atas kapasiti mereka sebagai Pegawai Perhutanan atau atas arahan ‘pihak tertentu’ termasuk Musa Aman.
Surat yang dikemukakan Sam Mannan akan saya dedahkan kemudian kerana saya lebih berminat dengan dua surat yang disediakan masing-masing oleh Othman Matnoh dan Rahmadin Saini daripada Unit GIS (Geography Information System) Jabatan Perhutanan Sabah.
 
 
 
Dua pegawai ini dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menyediakan laporan pemeriksaan lapangan ini sedangkan laporan disediakan di pejabat mereka berasaskan pelan yang disediakan oleh Han Wai Kong atas arahan ‘pihak tertentu’.
Dengan adanya pegawai yang tidak amanah menjalankan tugas dan Pengarah Perhutanan dan Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah yang hanya tahu menurut arahan dan memikirkan keuntungan singkat, maka wujudlah sebuah Empayar Perniagaan yang amat besar di Sabah iaitu ‘McMusa’ hasil gabungan ‘Empayar Mc’ iaitu singkatan bagi Michael Chia dan Chia Nyet Min (bapa Micheal) dan Musa Aman yang pernah mengisytiharkan hartanya kepada Tan Sri Chong Kah Kiat, iaitu pada 2003 sejumlah RM300 juta setelah dilantik Pengarah Yayasan Sabah, pada 1996 oleh Datuk Seri Panglima, Mohd Salleh Tun Said, Ketua Menteri Kedua di bawah sistem ‘Merry Go round’ yang tidak lagi ‘round’ selepas Musa memegang jawatan berkenaan pada 30 Mac 2003.
Mengikut siasatan dan maklumat yang saya terima, sejak Yayasan Sabah mengswastakan tongkang (Scow) mengangkut kayu balak dari log pond ke lokasi terpilih termasuk ke kapal, dua syarikat milik ‘Bapa Angkat Musa Aman’ iaitu Chia Nyet Min, Kini Abadi Sdn.Bhd dan Imej Berlian Sdn.Bhd telah dilantik bagi menjalankan kontrak berkenaan secara ‘Monopoli’ kerana dua syarikat berkenaan milik ‘Empayah Mc’ yang disokong oleh Sabawangsa Sdn.Bhd sebagai sub-kontraktor.
Jika Musa Aman tidak kenal siapa Michael Chia, dia bukan Musa Aman kerana hubungan antara bapa Michael Chia dengan Musa Aman bermula pada 1993 ketika Chia & Sons hanya menjadi agen pengakutan scow dan bukannya pemegang konsesi pengangkutan seperti sekarang.
Kesemua balak milik Yayasan Sabah di Konsesi Sandakan, Tawau dan Lahad Datu melalui 52 syarikat yang beroperasi di dalam Konsesi Yayasan Sabah termasuk Hutan Simpan yang dijadikan ‘Timber Laundering’ kepada Yayasan Sabah diangkut dengan menggunakan scow milik Kini Abadi Sdn.Bhd dan Imej Berlian Sdn.Bhd.  
Kontrak yang dimateri tersebut menghendaki semua balak Yayasan Sabah di angkut daripada Pangkalan Sapi ke Sandakan, daripada Silam Kennedy Bay (Lahad Datu) ke Sandakan dan Tawau ke Sandakan. Walaupun kononnya Jabatan Perhutanan Sabah mengumumkan bahawa sejak 2008 tidak lagi lesen pembalakan dikeluarkan di Lahad Datu, namun pelabuhan Silam Kennedybay yang sebelum ini telah ditutup dijadikan Log Pond untuk semua kayu Yayasan Sabah sedangkan kayu daripada kawasan Tongod semuanya diturunkan di Pangkalan Sapi.
Misteri ‘kehadiran’ banyak kayu balak di Log Pond Silam Kennedy Bay masih belum terjawab kerana SPRM dan Jabatan Audit Negara tidak berminat untuk menjalankan siasatan terutama apabila balak bulat tersebut terus dimuat ke kapal dan bukannya ditarik dengan Scow ke Sandakan. Ke mana destinasi balak tersebut hanya Yayasan Sabah yang tahu!
 
Walaupun terdapat empat syarikat aktif yang mengendali Scow di Sabah namun mereka tidak dapat menyertai sebarang tender pengangkutan Yayasan Sabah kerana dimonopoli oleh ‘Empayar Mc’.
Saya mendapat maklumat serta bukti yang sahih, namun tidak wajar didedahkan sekarang, melainkan jika benar-benar mendesak, bahawa Yayasan Sabah membayar sejumlah RM15.75 bagi setiap meter padu balak yang dikendalikan oleh ‘Empayar Mc’ namun RM3 akan dipotong sebagai pembahagian syer kepada Musa Aman sejak 2003 secara tunai, iaitu Michael Chia akan menghantar sendiri secara peribadi ‘wang tunai’ tersebut kepada Musa Aman setiap bulan.
Manakala bagi kawasan Konsesi Yayasan Sabah, saya mendapati Musa Aman telah meluluskan 150,000 hektar kawasan konsesi pembalakan kepada ‘Empayar Mc’ sejak 2003 kepada Danagaya Sdn.Bhd, Rimba Kita Sdn. Bhd, Sinabumi Sdn.Bhd, Wangsajadi Sdn.Bhd yang kesemuanya milik  Michael Chia yang menggunakan nomineenya, iaitu Gundiknya, Yap Siaw Lin.
 
Mengikut maklumat yang saya perolehi, Michael Chia akan membayar komsiyen sejumlah antara RM3,000 hingga Rm5,000 sehektar konsesi balak kepada Musa Aman melalui akaun Pemegang Amanah di Hong Kong & Shang Hai Bank, Central Hong Kong.
Michael Chia telah beberapa kali ke Hong Kong untuk mendepositkan dan mengeluarkan wang bagi pihak Musa Aman termasuklah Skandal $S16 juta dan saya akan mendedahkan apabila tiba masanya kerana ianya masih dalam siasatan ICAC dan saya tidak mahu mengganggu kelicinan siasatan.
Walaupun tidak ada media melaporkan kes siasatan ICAC terhadap Michael Chia yang dituduh mempunyai hubungan langsung dengan Musa Aman, namun saya mempunyai rekod penerbangan Michael Chia ke Hong Kong setiap bulan untuk disoalsiasat oleh ICAC Hong Kong.
Malangnya, SPRM yang kononnya mempunyai peralatan yang canggih gagal mengesan pergerakan Michael Chia ke Hong Kong, apa tah lagi mahu menyiasat kekayaan luar biasa yang diperolehi Michael Chia yang mengetuai ‘Empayar Mc’ sejak ditangkap ICAC pada 2.35 petang khamis, 14 Ogos 2008 setelah diintip ICAC berada di Bank Hong Kong Shang Hai, Central Hong Kong pada 13 Ogos 2008.
Mengikut rekod bertulis di ICAC Hong Kong, Michael Chia telah hadir di pejabat ICAC Hong Kong pada tarikh berikut, 10 September 2008, 01 Oktober 2008, 9 November 2008, 30 November 2008, 4 januari 2009, 10 Februari 2009, 30 Mac 2009 namun ianya gagal dikesan oleh SPRM.  
Mengikut maklumat dalaman ICAC, mereka sedang peringkat akhir untuk membuat pendakwaan kerana masih memburu seorang lagi ‘agen’ yang terlibat memasukkan wang bagi pihak Michael Chia ke akaun pemegang amanah Musa Aman iaitu seorang peguam di Shelly Yap & Co, Richard Barnes. 
Kedatangan ICAC Hong Kong ke Malaysia untuk menemui Richard Barnes ditemani oleh SPRM Sabah bukan menjadi rahsia lagi dan sewajarnya SPRM Sabah mengetahui kes Michael Chia, namun tidak ada fail dibuka untuk menjalankan siasatan melainkan kes Paluamas Sdn Bhd yang sedang dibicarakan di Mahkamah.
Walaupun ada desas desus bahawa wang USD4 billion yang dirampas daripada akaun pemegang amanan berkenaan sudah dicairkan atas pertolongan Kerajaan Malaysia, namun ianya tidak dapat dipastikan kerana Kes Michael Chia masih di peringkat pendakwaan dan tidak mungkin Kerajaan Hong Kong terpedaya dengan surat palsu daripada Jabatan Perdana Menteri Malaysia yang mengesahkan wang berkenaan Milik Kerajaan Negeri Sabah atau Milik UMNO.
Perkembangan terbaru yang tidak menyenangkan saya ialah khabar angin yang mengatakan bahawa Michael Chia sudah membayar RM1.5 juta kepada seorang  lelaki, Datuk Albert Lim Yu Ming sebagai pendahuluan daripada sejumlah RM3 juta yang dipersetujui untuk menutup kes rasuah yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang dituduh bersama seorang rakan kongsinya, Lo Man Heng.
Sejak Michael Chia tertangkap di Hong Kong, Albert Lim telah menjadi ‘Orang Paling Kanan’ Musa Aman selain seorang lelaki H.Lim yang menjadi penghubung antara Albert Lim dengan SPRM.
 
Memandangkan isu yang saya kemukakan di sini amat serius, maka saya memohon jasa baik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang telah disambung perkhidmatannya selama satu tahun lagi agar menubuhkan unit khas untuk menjalankan siasatan berhubung dengan ‘Skandal Timber Gate’ ini untuk menaikkan imej polis yang tercemar dengan beberapa insiden yang memalukan.
Saya juga memuji Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, kerana walaupun saya membuat laporan polis ketika beliau menerima pingat S.P.D.K daripada Kerajaan Negeri, namun beliau menjalankan siasatan ‘olok-olok’ terhadap Michael Chia namun tidak langsung menyentuh Musa Aman yang menjadi ‘Key Man’ untuk ‘Empayar McMusa’ ini.
Siasatan saya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Kini Abadi Sdn.Bhd (253669-A) yang ditubuhkan pada 9 Disember 1992 dimiliki oleh Chia Nyet Min yang memegang 249,998 saham manakala anak-anaknya, Chia Wai Sim dan Chia Wai Hing masing-masing memiliki satu unit saham setiap seorang. Ketiga mereka menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat berkenaan.
Walaupun syarikat ini mendapat konsesi pengangkutan Yayasan Sabah, namun berdasarkan penyata kewangan bagi tahun berakhir pada 31 Julai 2008, syarikat ini tidak memfailkan penyata kewangan bagi tahun semasa.
Manakala Imej Berlian Sdn. Bhd (331270-D) yang ditubuhkan pada 18 Januari 1995 dimiliki Chia Nyet Min yang memegang 998 unit saham, manakala anak-anaknya, Chia Ten sang dan Chia Wai Hing masing-masing memegang saham nominal satu unit setiap seorang. Ketiga-tiga mereka juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah dan Chia Wai Hing dilantik sebagai Pengurus.
Mengikut penyata kewangan yang berakhir 30 April 2008, Imej Berlian Sdn.Bhd memperolehi hasil RM18.26 juta setahun dan hanya mengisytiharkan untung selepas cukai sebanyak RM597,782 sahaja. 
Bagi Sabawangsa Sdn.Bhd (729096-M) yang ditubuhkan pada 04 April 2006 dimiliki oleh Michael Chia Tien Foh yang memegang 49,999 saham, manakala isteri pertamanya, Yap Loo Mien juga memiliki jumlah saham yang sama dengan Michael Chia. Pemilik saham lain ialah Chua Fong Fong dan Freddy Mositoh yang masing-masing memegang satu unit saham setiap seorang.
Michael Chia melantik Yap Loo Mien dan Lu Tung Hung sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sabawangsa yang tidak menghantar penyata kewangan bagi tahun berakhir 2008.
NOTA PENTING: Pandangan yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi Datuk Dr Jeffery Kitingan dan tidak semestinya pandangan laman web ini. Bukti dan grafik yang disertakan tidak semuanya dipamerkan melainkan sesuai untuk siaran. Sabahkini.net tidak bertanggung jawab di atas sebarang tindakan undang-undang (jika ada) berkaitan artikel ini.

Bagan Pinang medan cipta tsunami balas — Kamal Ahmad

Sept 12 — Di angkasa kelihatan bulan tiga suku penuh, tetapi malap diselaputi awan. Dalam sebuah dewan kelab golf di Port Dickson kira-kira jam 11 malam itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, memberi amanat kepada lebih 300 pemimpin empat peringkat 12 cawangan Umno dan Bahagian Teluk Kemang.
Terdahulu, ketuanya, Tan Sri Mohd Isa Samad, memberi ucapan berapi atas kehadiran Menteri Besar dan taklimat ringkas persediaan Umno bahagian menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, tidak lama lagi. “Jika jentera (Umno) baik, insya-Allah kita menang. Kita mesti ikhtiar (bagi meraih) majoriti lebih besar. Kepung semua penjuru, insya-Allah kita menang,” kata Isa.
Dalam ucapan balas, Mohamad hanya mahu seorang calon dipilih dan boleh memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) kerana menyifatkan DUN Bagan Pinang adalah benteng. Ia boleh menahan kemaraan tsunami pembangkang seperti Pilihan Raya Umum 2008 daripada memasuki Melaka dan Johor.
Jika Isa merujuk antara kekuatan adalah jentera kempen, Mohamad mahu tumpuan diberi kepada ‘orang pangkal’, iaitu akar umbi. “(Kalau) orang pangkal meragam, susahlah. Tapi nampak gaya orang pangkal di sini tidak ada masalah dan kuat-kuat belaka,” katanya dalam dialek Negeri Sembilan sambil menegaskan jika DUN Bagan Pinang terlepas ke tangan pembangkang, maka itu tamparan hebat kepada Umno dan BN serta masa depannya.
Rata-rata orang pangkal di DUN Bagan Pinang teguh di sisi Isa. Tempoh lebih 22 tahun di gelanggang politik dan menduduki kerusi Menteri Besar sebelum ini meletakkan beliau sebagai ‘ayah’ yang sangat dihormati. Malah dimaklumkan, tiada nama kedua, ketiga dan seterusnya bagi calon BN di DUN Bagan Pinang kecuali Isa.
Tonggak kekuatan Isa ialah menyemai sikap jangan bergaduh dan akur keputusan di kalangan pemimpin bawahannya. Beliau ada kelebihan kerana miliki ‘PR’ yang menambat hati rakyat, merendah diri dan tidak terikat protokol sehingga sukar orang untuk meminggir atau melupakannya walau dikatakan tidak banyak pembangunan mega dilaksanakan sepanjang menjadi Menteri Besar, kata seorang pemimpin Jawatankuasa Umno Bahagian Teluk Kemang.
Sehinggakan ketika isterinya sakit tenat pun, Isa masih berkempen untuk BN di Kelantan. “Ini jelas Isa selepas melalui turun naik dalam politik tetap kekal dalam Umno, malah meneruskan perjuangan parti,” katanya lagi. “Saya nak tengok kita (BN) menang. (Apabila) dah menang, kita kenduri. Kita buka lembaran baru dalam Umno Negeri Sembilan. Komander (di sini) adalah Tan Sri,” kata Mohamad merujuk Isa sebagai Pengarah Pilihanraya Umno DUN Bagan Pinang, manakala beliau Pengarah Pilihanraya BN Negeri.
Mohamad secara tidak langsung juga seperti mahu menafikan ada masalah dengan Isa apabila menegaskan: “Antara saya dan Tan Sri saling faham memahami dan saya tidak ada agenda peribadi...”
Melihat struktur jentera BN, ia menggembleng kekuatan dan komitmen satu negeri. Selain Teluk Kemang, tujuh lagi Umno bahagian akan bekerja di bilik gerakan kecil dengan satu arahan dari bilik gerakan pusat diketuai Isa. Cuma perhatian lebih perlu diberi kepada pengundi muda kerana sudah ada tanda-tanda pengaruh kempen pembangkang melalui blog dan laman web ke atas golongan itu.
Tugas menjinakkan mereka diletakkan di atas bahu sayap Pemuda Umno. Pemimpin MIC pun perlu bekerja kuat membantu kerana ada lebih 2,800 pengundi keturunan India di sini. Tumpuan ini perlu diberi di Siliau, Aterthorn, Sua Betong dan Sungai Salak kerana BN hampir tidak mendapat sokongan langsung ketika Pilihan Raya Umum 2008.
Namun BN dikatakan masih ada penyokong di Bradwall. Undi masyarakat India sangat bermakna jika BN mahu meningkatkan majoriti kemenangan sebagai manifestasi kepada pembangkang bahawa BN mampu mencipta tsunami balas dan menguasai semula kerusi diduduki pembangkang.
Tiga hari lalu, sokongan kepada Isa turut dinyatakan sekumpulan pemimpin cawangan MIC yang tampil awal-awal mahu mengundi semula BN kali ini selepas mereka ‘memakai kemeja-T dan mengibarkan bendera cap bulan’ dalam pilihan raya umum lalu atas pengaruh gerakan mahu menukar kerajaan ketika itu.
Mengenali masyarakat Port Dickson sendiri adalah satu kekuatan. Lebih separuh penghuni di sini adalah tentera dan bekas tentera. Pastinya, perhubungan baik kerajaan negeri dan Umno dengan komuniti itu akan memberi hasil tuaian baik dalam pilihan raya kecil ini.
Malah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Rabu lalu, mengumumkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khas untuk anak anggota dan pesara tentera. Justeru, projek itu wajar dibawa ke Port Dickson khususnya dalam zon pusat latihan serta kem tentera di Bagan Pinang.
Jika projek itu dilaksanakan di Port Dickson, maka ia jangan dianggap modal menjelang kempen pilihan raya kecil. Rasionalnya, ada tujuh institusi ketenteraan sedia ada di situ. Wujudnya MRSM itu akan menyokong Pusat Latihan Asas Tentera Darat; Institut Kejuruteraan Jentera dan Elektrik Tentera Darat; kem Pusat Latihan Armor; kem Pusat Latihan Artileri; Kolej Tentera Darat; kem Pusat Olah Perang Tentera Bangsa-Bangsa Bersatu dan ILMI.
Usaha membina MRSM itu pasti akan memanjangkan darah wira apabila anak mereka melalui proses pendidikan yang menjamin masa depan dalam pelbagai kerjaya, termasuk menjadi pegawai tentera.
Maktab khusus untuk anak tentera dan pesara anggota keselamatan itu juga satu pernyataan menghargai jasa dan memastikan anak mereka tidak bersaing sengit dengan puluhan ribu pelajar lain yang lulus 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk memasuki MRSM, setiap tahun.
Port Dickson, khususnya di Bagan Pinang ada ribuan bekas tentera yang menetap terus di taman perumahan di situ selepas mereka tamat perkhidmatan. Ini tidak termasuk kira-kira 4,000 anggota tentera yang masih berkhidmat. Dengan wujudnya MRSM di situ, anak mereka akan menimba ilmu dengan lebih sistematik dan berkualiti.
Lulusan MRSM lazimnya memiliki masa depan cerah dan selepas tamat pengajian di universiti, mereka mampu membela ibu bapa yang masing-masing berstatus perwira dan srikandi negara.
Seperkara lagi yang wajar dipertimbangkan ialah mewujudkan pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sembilan dengan seorang pengarah yang bertanggungjawab menguruskan projek dan pembangunan nelayan di Negeri Sembilan.

Ketika ini seorang pengarah mentadbir LKIM Melaka/Negeri Sembilan dan berpejabat di Melaka. Jika wujud LKIM Negeri Sembilan, maka nasib ratusan nelayan pantai atau tradisional khususnya di Port Dickson, termasuk kira-kira 30 hingga 40 orang dan DUN Bagan Pinang, lebih terbela. Penggabungan pangkalan dan kawalan bot beserta enjin dan pukat adalah antara masalah mereka.

Ketika minum, seorang ahli Umno mendakwa menerima pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin yang dikatakan menyebut: “Kalau hati secerah bulan, undilah bulan. Terima kasih kerana memberi sokongan.” Tetapi apakah cahaya bulan tiga suku penuh malam Jumaat semalam menggambarkan Pas yang belum dapat mencari calon terbaik.
Dan, persoalan lain kenapa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu meletakkan calonnya apatah lagi kerana mereka menguasai Parlimen Teluk Kemang, DUN Chuah dan Linggi.

Siapakah yang berpaut dan siapa yang dipaut atau kedua-duanya akan rebah ke bumi di Bagan Pinang ini. Hakikatnya, Pas tidak ada rekod menang di sini dalam tempoh dua penggal pilihan raya umum sebelum ini. — Berita Harian

Karpal Singh Gesa Saksi Tampil Beri Keterangan

   
Rentetan daripada inkues Teoh Beng Hock, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh menggesa agar semua saksi yang terlibat diberi peluang untuk tampil memberi kenyataan ke mahkamah.

Peguam veteran itu menyifatkan saksi-saksi terbabit wajar mendengarkan akuan mereka ke muka pengadilan supaya keadilan terlaksana untuk Beng Hock khasnya dan masyarakat umumnya.

Beng Hock merupakan setiausaha politik  Exco Kerajaan Negeri Selangor ditemui mati di bumbung tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor dipercayai terjatuh dari ibu pejabat Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kematian Beng Hock berkait rapat dengan operasi besar-besaran SPRM terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Spekulasi bahawa Beng Hock mungkin dibunuh selepas disoalsiasat selama 10 jam tanpa henti bertiup kencang.

Persepsi ini diperkuatkan dengan pendedahan saksi terbaru inkues, Sivanesan Tanggavellu, yang mendakwa dipukul dan didera sehingga pengsan oleh pegawai-pegawai penyiasat SPRM.

Karpal berharap setiap saksi yang terlibat dengan inkues kematian Teoh Beng Hock diberi peluang dan diberi perlindungan yang sewajarnya dalam memberi keterangan kepada koroner majistret.

Kit Siang Kepada SKMM: Jangan Jadi Alat BN

   
Penasihat DAP Lim Kit Siang mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat Malaysiakini berhubung sedutan video perarakan pelampau 'kepala lembu' di laman sesawang portal berita itu.

Kit Siang dalam satu kenyataan berkata beliau setuju bahawa sedutan video itu mengundang reaksi negatif namun ia bukanlah disebabkan paparan Malaysiakini sebaliknya kerana tindakan tidak bertanggungjawab pelampau-pelampau terbabit yang menghina sensitiviti kaum dan agama.

"Sedutan video protes kepala lembu ini menjelakkan, namun bukanlah disebabkan Malaysiakini tetapi kerana tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab menghina sensitiviti dan akal masyarakat, serta tindakan seorang Menteri Kabinet yang juga bersalah kerana mempertahan dan membela protes sedemikian rupa," kata Kit Siang.

Kit Siang berkata demikian merujuk kepada tindakan Menteri Dalam Negeri Hishammudin Hussein yang mempertahankan tindakan gerombolan pelampau terbabit di pejabatnya minggu lalu. Hishamuddin bagaimanapun menarik balik pendiriannya selepas dikritik hebat oleh Pakatan Rakyat.

"Mengapa menteri terbabit juga tidak didakwa kerana menghasut selepas beliau mempertahan protes kepala lembu itu, walhal Malaysiakini menghadapi tindakan undang-undang hanya kerana memaparkan sedutan rakaman kepala lembu," kata pemimpin veteran itu.

SKMM mengarahkan Malaysiakini menurunkan sedutan video terbabit atas alasan ia melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menetapkan bahawa mana-mana penyedia khidmat internet tidak boleh memaparkan bahan yang menghina atau mengancam mana-mana individu.

Kit Siang berkata tindakan menghukum Malaysiakini berbaur politik.

"SKMM juga akan menyelusuri langkah polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dimana kebebasan, kesaksamaan dan kecekapannya diragui, jika ia dilihat tidak ubah seperti alat Umno-BN dalam kempen menghukum Malaysiakini dan laman-laman sesawang bebas," tegas pemimpin veteran itu lagi.

Najib: Tiada guna popular di kalangan ahli sahaja...





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pemimpin parti komponen BN supaya menjadi popular di kalangan rakyat untuk memastikan BN terus relevan di mata rakyat.

"Saya ingatkan, tidak guna jadi popular di kalangan ahli parti sahaja, tetapi tidak popular di kalangan rakyat.

"Jika mahu terus relevan, saya ingatkan kepada Umno, MCA, MIC dan komponen BN bahawa pertimbangan bergantung kepada sejauh mana kita popular di kalangan rakyat, bukan di kalangan ahli parti sahaja.


"Parti komponen jangan lupa kepada perspektif ini, kalau lupa, rakyat akan menghukum kita masa pilihanraya yang ke-13 akan datang," kata Najib yang juga pengerusi BN sewaktu merasmikan perhimpunan agung MIC ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan presiden parti-parti komponen BN yang lain.

Menurut Najib lagi, rakyat hari ini - tidak seperti rakyat Malaysia tahun 50an - sudah cerdik untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan.

"Rakyat sudah membuka pemikiran. Untuk menjadi parti terus relevan, kita mesti mempunyai hubungan dengan rakyat, mempunyai sentuhan dengan rakyat. Sekiranya ada sentuhan, kita akan mendapat sokongan," katanya.

KPI untuk MIC
Dalam ucapan itu juga, Najib juga turut mengenakan Indek Kunci Pencapaian (KPI) kepada MIC sepertimana beliau memperkenalkan dasar tersebut sejurus selepas menjadi perdana menteri.

"KPI MIC adalah untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat India kepada BN, tidak ada yang lain.

"Kerja bersungguh-sungguh, jangan buat perkara yang tidak patut dibuat. Berkhidmat kepada masyarakat India, berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

"Kata pepatah, kalau ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. (Amalkan sikap) rendah diri, kita tidak akan kalah," katanya.

Pendekatan sebut kata Najib adalah pendekatan yang dikehendaki oleh BN untuk memastikan BN menjadi sebuah parti yang baik dan memastikan BN mempunyai cara kepemimpinan yang disenangi rakyat.

Dalam ucapan itu juga, beliau menyoroti kembali bagaimana beliau melakukan kunjungan di kawasan yang ramai masyakarat india, seperti di Brickfileds, Lembah Pantai, beberapa hari selepas dilantik menjadi perdana menteri.

"Saya berasa terhibur dengan kunjungan itu. Saya merasakan saya bersama-sama dengan rakyat. Kalau saya boleh buat perkara ini, pemimpin lain pun boleh. Jadi orang yang rendah diri, mesra rakyat.

'Jangan berlagak'

“Rakyat benci sekiranya kamu berlagak, salah guna kuasa dan tunjukkan kekayaaan. Rakyat sayang jika kita jadi pembela rakyat yang sebenarnya," katanya.

Dalam ucapannya juga, Najib turut menempelak Pakatan Rakyat.

"BN adalah institusi politik yang terlalu banyak berjasa kepada negara, kerana berusaha membina perpaduan politik, maka Malaysia boleh membangun dan berjaya sebagai sebuah negara bangsa.

"Pembangkang belum tahu bagaimana memerintah negara. Satu parti nak sekular, satu parti nak negara Islam, dan satu lagi entah apa nak buat.

"Saya nak tanya pembangkang, janji Kampung Buah Pala. Siapa janji kepada penduduk Kampung Buah Pala.... kalau kami menang kamu akan tetap berada di sini selama-lamanya," katanya.

Menurut Najib, sebenarnya Pakatan telah menyalahi janji tetapi BN akan menunaikan janji-janjinya kepada rakyat.

Perpaduan kaum


Najib yang juga presiden Umno mahu melihat BN sebagai sebuah parti yang inklusif dan meraikan kepelbagaian, sesuai mengikut acuan dan konsep 1Malaysia iaitu bersikap adil dengan semua kaum.

"Kita harus mengingatkan diri kita, bukan sahaja di dalam dewan ini, tetapi di luar dewan, kita harus mengingatkan generasi muda bahawa negara kita terkehadapan kerana permuafakatan antara kaum,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Najib melaungkan kata semangat kepada perwakilan, "Tunjukkan kamu bersama-sama dengan BN" beberapa kali.

"Kita berkongsi satu cita-cita, kita berkongsi 1Malaysia," kata Najib sambil disambut oleh teriakan "ya" dan tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.