Rabu, 26 Ogos 2009

ANALISIS PILIHANRAYA PERMATANG PASIR

oleh Nobisha

Malam tadi saya di Analisis Awani (Astro Awani), berbicara mengenai pilihanraya kecil Permatang Pasir. Bersama-sama saya ialah Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Exco Pemuda UMNO, Tun Faisal Abdul Aziz. Hos Suhaimi Sulaiman, Kamarul Bahrin Haron dan Nazri Kahar seperti biasa mewawancara kami bertiga.

Bagi yang tidak sempat menonton rancangan tersebut, saya catatkan beberapa komentar tadi:

1. Sementara saya menerima hakikat bahawa Barisan Nasional berjaya mengurangkan majoriti PAS, namun dilihat dari sudut ratio undi yang diterima oleh kedua-dua parti, tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku. Pada tahun 2008, PAS mendapat 11,004 undi berbanding Barisan Nasional sebanyak 5,571. Ini bermaksud untuk setiap satu undi untuk Barisan Nasional, 1.9 undi pergi kepada PAS. Dalam pilihanraya 2009, PAS mendapat 9,618 undi manakala Barisan Nasional meraih 5,067 undi; iaitu ratio yang sama (1:1.9) seperti pilihanraya sebelumnya.

2. Dari perspektif pemasaran politik, saya melihat ia boleh mengambil tiga bentuk iaitu (a) product-oriented -- sesuatu kempen merasakan ia mempunyai produk (calon, parti dan idealisme) yang baik dan berusaha memasarkan produk tersebut kepada pengundi; (b) sales-oriented -- menganggap bahawa apa produk pun boleh dijual dengan syarat kaedah pemasarannya betul; dan (c) market-oriented -- bersikap reponsif kepada kehendak pasaran / pengguna.

3. Apa yang saya lihat di Permatang Pasir ialah Barisan Nasional masih lagi menggunakan pemasaran berasaskan produk (product-oriented). Ia cuba memasarkan calonnya walaupun berhadapan dengan beberapa isu yang tidak disenangi oleh pengundi (isu pendaftaran Majlis Peguam dan perkahwinan kedua). Nampaknya Barisan Nasional masih belum bersedia untuk menggunakan kaedah pemasaran berasaskan pasaran (market-oriented), iaitu menjual sesuatu yang diperlukan oleh pengundi. Sepatutnya apabila pengundi memberikan isyarat penolakan kepada calon, maka Barisan Nasional harus mengubah strateginya.

4. Saya bertanya apakah mesej teras (core message) yang ingin disampaikan oleh kempen Barisan Nasional kepada pengundi. Apa yang saya lihat ialah ketiadaan mesej teras. Kalau ada, kempen Barisan Nasional gagal berkomunikasi dengan baik mesej ini secara yang mudah dan boleh difahami oleh mereka.

5. Dalam pemasaran politik, seseorang pemimpin adalah jenama. Di Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah jenama politik. Dia sudah lama di situ dan sebati dengan pengundi Permatang Pasir. Apabila bertarung dalam kawasan tersebut, apakah jenama Barisan Nasional yang boleh menyaingi populariti jenama tersebut di situ?

6. Saya juga melihat kegagalan pengurusan krisis. Apabila calon Barisan Nasional dihadapkan dengan dua dakwaan iaitu yang berhubung dengan pengguguran pendaftaran Majlis Peguam dan perkahwinan kedua, sebaik-baiknya dia mengamalkan "Principle of Honesty". Ia adalah konsep asas dalam perhubungan awam. Pertama, akui kesalahan dan terangkan sepenuhnya apa yang berlaku. Usah berselindung dan membiarkan lawan mengorek rahsia, apatah lagi menafikannya. Kedua, nyatakan kekesalan dan sebutkan apakah yang telah dilakukan bagi membetulkan kesalahan tersebut. Dan, ketiga, mohon kemaafan kepada semua pihak terlibat. Sekiranya ini dilakukan, pengundi akan melihat calon sebagai seorang yang jujur dan berintegriti.

7. Saya melihat pendekatan Pakatan Rakyat sebelum dan selepas PRU12 ialah pertentangan kelas. Rentetan strategi pakatan tersebut menjurus ke arah itu. Dalam politik pertentangan kelas, golongan bawahan akan sentiasa menang kerana mereka adalah kelompok majoriti. Saya fikir Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak memahami perkara ini dan sebab itulah beliau memperkenalkan pendekatan "Rakyat Diutamakan." Malangnya, saya tidak fikir ia telah diterjemahkan dalam bentuk pendekatan strategik bagi menghadapi kempen Pakatan Rakyat. Itu adalah antara punca kekalahan Barisan Nasional.

8. Dalam Analisis Awani juga saya menyebut pengundi memilih calon PAS yang tidak berpeluang menjalani proses saringan awam. Oleh kerana tumpuan hanya kepada calon Barisan Nasional, maka calon PAS tidak menjadi fokus. Pengundi tidak berpeluang melihat baik-buruk calon PAS secara mendalam, seperti mana mereka menilai calon Barisan Nasional. Saya sebutkan bahawa dalam pilihanraya ini, proses membuat keputusan ialah melalui kaedah penolakan di mana pengundi menolak calon Barisan Nasional yang dilihat sebagai bermasalah.

Itulah antara perkara-perkara yang sebutkan dalam Analisis Awani tadi.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YB Salleh Man. Selepas enam kali mencuba, beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Manfaatkanlah kesempatan ini untuk berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira sama ada mereka menyokong beliau atau sebaliknya dalam pilihanraya tersebut.

Bagi Barisan Nasional, saya sarankan agar melihat semula kepada kekuatan dan kekurangan parti itu. Reformasi dalam Barisan Nasional dan UMNO bukan saja hendaklah disegerakan, namun yang lebih penting ialah menentukan rakyat dapat melihat dan merasai perubahan itu.

Selain itu, Barisan Nasional hendaklah juga menilai kembali jentera kempennya, khusus proses komunikasi dengan pengundi. Manfaatkanlah data dan ilmu bagi memahami apakah yang dikehendaki oleh pasaran (pengundi). Walaupun Barisan Nasional dan UMNO sering merasakan ia mempunyai produk yang baik, apa yang penting sekarang ialah menyesuaikan produk tersebut dengan kehendak pasaran.

Oh ya, bila nak mulakan? Sekarang, besar kemungkinan selepas ini Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan berkampung di DUN Kota Siputeh pula!

Permatang Pasir, Politik Baru?

7-1

Itulah angka kemenangan pilihan raya kecil sejak 8 Mac 2008 yang sedang berpihak kepada pakatan pembangkang di peringkat pusat yang lebih dikenali dengan nama Pakatan Rakyat. Jikalau di dalam aksi perlawanan bola sepak, angka ini sudah boleh dianggap keputusan belasahan.

Kemenangan calon Pakatan Rakyat dari Parti Islam Semalaysia (PAS), Mohd Salleh Man yang memperoleh 9,618 undi menewaskan calon Barisan Nasional dari UMNO, Rohaizat Othman yang mendapat jumlah undi sebanyak 5,067 menambah satu lagi episod kekalahan Barisan Nasional.

Sebelum itu Barisan Nasional semuanya melalui Umno telah tewas di kerusi Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Manek Urai manakala di DUN Penanti Barisan Nasional memilih untuk tidak bertanding.

Majoriti penganalisa dan pengamat politik melihat faktor utama kekalahan Barisan Nasional di Permatang Pasir berpunca dari tiga sebab iaitu faktor calon yang dihimpit beberapa masalah peribadi, factor kubu kuat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan juga PAS serta factor incumbent.

Saya enggan mengulas secara terperinci tentang faktor-faktor kemenangan dan kekalahan kedua-dua parti bertanding sebaliknya ingin berbicara tentang satu gejala politik tidak sihat yang malangnya berkembang sihat di dalam proses demokrasi di negara kita. Gejala itu tidak lain dan tidak bukan adalah pembunuhan karakter calon bertanding dan apakah suasana kondusif yang membolehkan budaya ini berterusan tanpa noktah?

Saya secara peribadi amat tidak menyukai politik pembunuhan karakter seperti yang terjadi semasa kempen pilihan raya kecil di Permatang Pasir apabila calon Barisan Nasional, Rohaizat Othman dihentam teruk pihak lawan iaitu dari PAS dan juga rakan sekutu mereka, PKR dan DAP.

Pembunuhan karakter atau serangan peribadi ini timbul setelah pendedahan beliau telah dilucutkan kelayakan menjadi peguam berikutan firmanya terlibat dalam penipuan Koperasi Pekebun Getah yang membabitkan jumlah wang sekitar RM160 ribu dan bertambah hebat setelah rakan kongsi Rohaizat, saudara Yusri Isahak tampil membela diri di pentas PAS menafikan bahawa beliau adalah puncanya. Serangan manjadi semakin rancak apabila Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi mendedahkan bahawa Rohaizat mempunyai isteri kedua di Pahang dan dibiar seakan bergantung tidak bertali.

Gejala politik negatif ini dikritik keras oleh banyak pihak termasuk Dr. Abu Hassan Hasbullah dari Zentrum Future Studies, Universiti Malaya yang menyifatkan perbuatan seperti ini adalah sangat primitive dan tidak bertamadun. Namun di sisi lain kita harus juga mencari titik tengah supaya kezaliman dan perbuatan salah laku lampau calon-calon yang bertanding didedahkan untuk pengundi membuat pertimbangan sendiri tetapi tidaklah sehingga seseorang calon itu diaibkan seaib-aibnya.

Ini sangat penting kerana calon yang dipilih nanti bakal memegang amanah rakyat untuk menjadi wakil mereka yang tanggungjawabnya maha berat. Maka calon yang bersih, amanah dan terbaik merupakan kriteria yang sangat penting terutama sekali di kawasan bermajoriti Melayu Islam.

PAS telah mengambil strategi bijak untuk mengeksploitasi apa yang terjadi pada calon Barisan Nasional dengan berkempen secara agresif dan berterusan kerana demografi pengundi di Permatang Pasir adalah majoriti Melayu Islam dan separa bandar. Dengan melakukan hal yang demikian, PAS telah berjaya untuk menahan angin perubahan seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada bertiup kencang menenggelamkan calon PAS, Salleh Man yang dilihat para pengundi lebih baik dan beragama. Hal ini dilihat dapat menjelaskan mengapa peratusan undi yang diperoleh Rohaizat meningkat 1 peratus berbanding calon sebelumnya dan jumlah perolehan undi yang diterima beliau hampir tidak berubah.

Walaupun politik pembunuhan karakter juga berlaku di dunia demokrasi barat seperti di Amerika Syarikat dan Perancis, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk dibiarkan berterusan bernanah. Lantas timbul persoalan di benak pemikiran tentang ke arah mana politik Malaysia jika keadaan sebegini dibiarkan tanpa rasa berdosa? Adakah kita nanti akan diwakili oleh lebih ramai wakil rakyat yang bersih, berintegriti dan terpuji atau adakah maki hamun dan aib mengaib akan menjadi halal dan dibolehkan untuk mencapai matlamat yang lebih murni?

Jika ditanya kepada generasi muda yang tidak menjadi ahli atau menyokong mana-mana parti komponen dalam Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tentang senario ini, jawapan lazim dari mereka ini pastinya berlegar sekitar perkataan ini, ‘menyampah’, ‘dua-dua sama saja’, ‘politik semua sama saja’ dan yang seerti dengannya. Satu penyataan sikap yang harus diambil perhatian serius oleh parti-parti politik walaupun sikap tidak ambil peduli dan pesimisme terlampau juga perlu diperbetulkan dan dibanteras.

Tetapi jika ditanya kepada generasi muda yang totok setia kepada parti yang disertai dan disokongi, nada jawapan pasti sedikit berbeza kerana ketaksuban sering menewaskan rasional walaupun terdapat mereka yang cuba melawan arus tetapi akhirnya menjadi minoriti.

Lalu di manakah silapnya proses demokrasi melalui pilihan raya sehingga pesta ini sering dianggap jijik dan kotor oleh sebahagian kelompok masyarakat? Pesta yang dianggap mengangkat dan menjatuhkan individu berbanding dasar dan polisi yang ditawarkan?

Bagi saya hanya ada satu cara iaitu demokrasi yang sebenar harus diletakkan di tempat sewajarnya kerana secara logik bagaimanakah politik pembunuhan karakter boleh diminimalkan jika media tidak dibebaskan? Bagimana untuk polisi dan ideologi hendak mengambil tempat apabila demokrasi dipijak-pijak dengan kewujudan undang-undang yang menindas dan dengan bangganya dipertahankan parti pemerintah?

Mudah kata kita masih belum selesai di dalam hal-hal seperti tiada kebebasan media yang sangat penting di dalam proses pilihan raya bersih dan adil, kebebasan berekspresi, kebebasan berpersatuan, sistem kehakiman yang berintegriti, pasukan polis yang cekap dan professional dan semestinya Suruhanjaya Pilihanraya yang benar-benar independen dan terpisah dari pengaruh eksekutif.

Selagi mana isu-isu ini dipandang sepi oleh pemerintah dan juga penganalisa serta pengamat politik yang sering dan kadangkala sengaja terlepas pandang ciri-ciri asas dan penting demokrasi ini. Maka selama itulah kita akan bergelumang dengan politik lama yang kotor dan menjijikkan ini. Jangan hanya gah berbicara tentang politik baru dan politik bertamadun di surat khabar dan televisyen jika sisi-sisi tidak bertamadun dan menindas yang terbentang luas di depan mata ini tidak cuba dituntaskan terlebih dahulu. Selesai ini lebih mudah untuk kita menuju ke politik baru yang diidam-idamkan. -zulhabri

Gambar Hari Pengundian N11: Wajah-Wajah..!!!!

Mata Rohaizat Lebam Dikerjakan..!

Ceramah Perdana Malam Terakhir Kempen PRK N11- GAYA PIMPINAN DI ATAS PENTAS...!!

Malam tadi bertempat di Bilik Gerakan Induk AMK Sama Gagah, Lorong Chermai berlangsung acara terakhir Ceramah Perdana Pakatan Rakyat untuk kempen PRK N11.

Dianggarkan ceramah tersebut telah berjaya menarik tidak kurang dari 5 ribu audience dari kawasan sekitar dan juga luar kawasan pengundian.

Antara pimpinan yang hadir malam tadi ialah ADUN Hutan Melintang - YB Kesavan, Bekas Menteri Kesihatan - Dato' Chua Jui Meng, Ahli Parlimen Pokok Sena - Dato' Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua Umum PKR - DSAI, Ahli Parlimen Kuala Krai - Dr Hatta Ramli, Bekas Menteri Di JPM - Dato' Zaid Ibrahim, Ketua AMK Pusat - Saudara Shamsul Iskandar, Haji Mohammad Sabu, Ahli Parlimen Gombak - Azmin Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang - Saudara Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Batu - Saudara Tian Chua.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat komited dengan perjuangannya untuk mewujudkan satu budaya politik baru menghormati undang-undang.

Beliau berkata, masyarakat di Malaysia khususnya di Permatang Pasir perlu menjadikan PRK pada kali ini sebagai satu titik tolak untuk merubah kerajaan yang penuh dengan penyelewengan dan mengamalkan kronisme.

“Ada gambar Ketua UMNO Kedah (Mahadzir Khalid), hendak beli wakil rakyat kita, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia rakam. Ada tindakan yang diambil? Tidak... sebab UMNO ada undang-undang khas untuk dia.

“Curi tak apa, bunuh tidak mengapa, rompak pun tidak mengapa, komisyen, korupsi tinggi... Menteri Pertahanan ambil komisyen RM400juta,” katanya.

Anwar berkata, orang Melayu menjadi rakyat miskin tegar di negara ini disebabkan mempunyai pemimpin kerajaan yang rasuah dan zalim.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat memberi sokongan kepada calon PAS Salleh Man sebagai tanda sokongan kepada Pakatan Rakyat dan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru.

“Yang kita miskin, padahal AP sahaja puluh billion ringgit, saham bumiputera puluh billion ringgit, kontrak bumiputera puluh billion ringgit, minyak ratus billion ringgit. Kenapa Melayu miskin? kerana adanya pemimpin Melayu rasuah yang ambil kesemuanya,” katanya.
Bekas Menteri Undang-Undang, Dato' Zaid Ibrahim berkata, UMNO-BN merupakan sebuah parti yang tiada masa depan.

Katanya, UMNO-BN telah membuktikan parti berkenaan tidak menghormati rakyat dengan mengemukakan calonnya Rohaizat Othman yang telah disenarai hitam Majlis Peguam.

“Kalau tidak layak menjadi peguam, bagaimana beliau mahu menjadi wakil rakyat? Tetapi UMNO kata boleh,” katanya lagi.
Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata, gejala rasuah di kalangan pemimpin UMNO-BN bukan sahaja melibatkan golongan pemimpin senior tetapi turut berlaku di kalangan pimpinan muda parti berkenaan.

Menurutnya, rakyat seharusnya memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang telus dan menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira bangsa.

“Dalam UMNO, dari tua sehingga muda semuanya perompak dan perasuah, kenapa kita hendak memilih orang muda yang merompak, rasuah dan tidak menjaga hak koperasi? baik sokong Lim Guan Eng anak muda yang baik dan amanah.

“Baru satu penggal jadi Menteri Besar (Khir Toyo) sudah bina mahligai, dengan berani mengatakan apa salahnya mantan MB bina mahligai takkan hendak duduk di pondok? Nik Aziz masih MB sejak 20 tahun duduk di pondok menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam amanat terakhirnya, meminta semua masyarakat di Permatang Pasir menunjukkan sokongan kepada calon PAS, Salleh Man bagi membenamkan Barisan Nasional.

“Bulan Ramadhan bulan mulia, adil ditegak rakyat dijaga, bulan suci harapan menyala, undi bulan dapat pahala….betul tidak?

“Jangan percaya lagi tuduhan BN dan penting kita bawa perubahan sama-sama dirikan sistem kerajaan bersejarah di Malaysia iaitu kita hendak tubuhkan kerajaan berjiwa rakyat bukan kerajaan bersikap kronisme,” katanya.

Gambar Hari Pengundian N11: The Best Of The Best...

Ustaz Idris Ahmad: ANALISA KEPUTUSAN PRK PERMATANG PASIR


* Alhamdulillah keputusan PRK Permatang Pasir 4 Ramadhan 1430H/25hb Ogos 2009 Pas (Ustaz Salleh Man 9618) BN (Rohaizat Osman 5067) majoriti 4551, jumlah keluar mengundi 14768, 73% keluar mengundi, dengan undi rosak 83.


* PR telah mengekalkan rekod tanpa kalah dalam setiap PRK kecuali di Batang Air Sarawak.


* Faktor kemenangan


o Dengan izin Allah SWT


o Calon Pas ustaz Salleh Man calon bersih daripada jenayah tipu duit orang dan bertanggungjawab pula kepada isteri.


o Perpaduan yang erat di kalangan pimpinan dan petugas PR.


o Sumbangan kerja daripada petugas muslimat dan wanita PKR dan DAP adalah penyumbang besar kejayaan PRK PP.

o Peranan blog yang melaporkan secara adil sebagai penapis media penipu umno telah membantu aliran pengundi terutama anak-anak muda.

o Pemimpin Pas seperti Tuan Guru Presiden, Tuan Guru Nik Aziz, Mohd Sabu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Saifudin Nasution, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan lain lagi. Mereka tidak kira cuaca hujan atau panas terus berkempen untuk bertemu dnegan masyarakat.


o Penduduk Permatang Pasir dekat dekat dengan Bandar, isu pembangunan tidak makan.


o Anak-anak muda yang bekerja kilang, mereka adalah generasi yang berkawan dengan dunia luar, maka mereka tidak boleh ditipu, kerana di kilang mereka terdapat kawan-kawan yang print daripada internet untuk disebarkan.


o Tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi jaminan untuk menamakan ustaz Salleh Man sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam telah meyakinkan pengundi melayu. Dengan ini tertolak hujah umno yang mengatakan Pas tidak dapat apa-apa walaupun ustaz salleh menang.


o Terdapat institusi agama yang terkenal di kawasan itu iaitu Pondok Penanti dan Madrasah Masriah yang merupakan tapak sokongan Pas.

o Terdapat Sembilan buah masjid di kawasan PP, Cuma ada dua sahaja yang berkarat biru sikit. Maknanya sokongan kuliah agama menyebabkan rakyat tidak boleh ditipu dengan rasuah duit.


o Kempen umno terlalu ketara dengan rasuah duit, termasuk duit palsu yang diedar di tengah malam dengan diletak di celah-celah pintu. Perangai ini tidak ubah seperti toyol .


o Dakwaan Muhyidin yang mangatakan Anwar khianat, telah menjadi senjata makan tuan. Seoalah-olah isu ini telah menjadi bola tanggung untuk PR mencuri mata. Sehingga rakyat sedar bahawa yang khianat Melayu ialah Muhyidin dan umno, bukan Dato’ Seri Anwar atau Lim Guan Eng.

Maka pendedahan telah dibuat membuktikan umno khianat bangsa dan agama.

Lebih Lima Ribu Rakyat Rai Kemenangan Salleh



Lebih lima ribu rakyat Permatang Pasir membanjiri perkarangan Markaz Induk Pas di sini meraikan kemenangan bergaya wakil rakyat baru mereka Mohd Salleh Man yang menewaskan calon Umno-BN Rohaizat Othman.

Perkarangan markaz berkenaan mula dibanjiri seawal jam 9 malam. Ketibaan Mohd Salleh disambut dengan laungan ‘takbir’ di kalangan hadirin yang hadir selain ucapan taniah dari pelbagai kaum. Hadirin melaungkan hasrat untuk bertemu dan mendengar ucapan kemenangan dari Salleh Man.

Pimpinan Pakatan Rakyat turut turun meraikan kemenangan ini. Antara yang hadir termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden Pas Mahfuz Omar serta Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang Datuk Zahrain Hashim.

Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, pengundi di Permatang Pasir telah membuktikan kebijaksanaan mereka dengan memilih Salleh Man untuk menjadi Adun di kawasan berkenaan.

“Ini bukti pengundi boleh membezakan mana yang palsu dan mana yang betul, boleh bezakan yang hitam dan yang putih.

“Hari ini kita boleh lihat BN sudah pecah tembelang, lidah biawak bercabang dua,” katanya.

Sementara itu, Lim Kit Siang menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai angin perubahan yang bertiup dalam politik Malaysia.

Menurutnya, kemenangan tersebut sangat bersejarah bagi Pakatan Rakyat di Pulau Pinang kerana membuktikan kekalahan teruk Perdana Menteri Najib Razak yang gagal dalam kempen 1 Malaysianya, lebih-lebih lagi Timbalan beliau, Muhyiddin Yassin.

“Ini memperlihatkan kekuatan Pakatan Rakyat untuh hingga berjaya mematahkan konspirasi Umno untuk pecah belahkan Pakatan Rakyat.

“Mereka gagal dan terus gagal kerana Pakatan Rakyat akan bersatu berjuang hingga berjaya dalam pilihan raya akan datang dan akan terus ke Putrajaya menggantikan BN,” katanya.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau kecewa dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai keputusan pilihan raya ini.

Mahfuz menjelaskan, sebagai seorang pemimpin Muhyiddin tidak boleh memaksa pengundi membuat keputusan kerana ia merupakan hak rakyat.

“Bila orang tidak mengundi mereka, dia kata tidak mahu berubah, rakyat Permatang Pasir tidak mahu perubahan. TPM kecewa sikap pengundi tidak mahu pembaharuan.

“Ini apa punya TPM bila rakyat tidak mengundi dia, dia kata rakyat tidak mahu pembangunan tidak mahu perubahan. Ini hak rakyat tidak boleh kata bila rakyat tolak BN rakyat tolak pembangunan,” katanya.

Mahfuz menambah, kenyataan yang dibuat seolah-olah memperlihatkan kerajaan cuba lari dari tanggungjawab membela rakyat seperti yang dijanjikan di Permatang Pasir.

Salleh Man yang berjaya menewaskan calon Umno-BN dengan majoriti 4551 undi dalam ucapannya yakin dengan sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan dalam Pakatan Rakyat membuktikan kemenangan sebenar mereka dalam pilihan raya pada kali ini.

"Kemenangan ini kemenangan semua dan kemenangan bersama. Dengan semangat dan kekuatan besar Pakatan Rakyat di seluruh negara berkampung di di sini membolehkan kita mendapat kejayaan besar. Inilah kejayaan sebenar.

“Pas selaku satu-satu wakil parti dalam Pulau Pinang dan Pakatan Rakyat akan memberikan kerjasama dan membantu memantapkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. TVA

Permatang Pasir kita punyer..... Muhyiddin pula menonggeng kecewa!!!


TPM Satu Malaysia, Muhyiddin Yassin mengeluh kecewa kerana rakyat Permatang Pasir menolak pembangunan yang ingin dibawa oleh UMNO/BN.

Tima kasih ajer lah.... mungkin itulah respond orang-orang di sana terhadap offer UMNO/BN. BN ni.... setiap kali PRK, modal mereka untuk meraih undi dan menang ialah pembangunan. Balik... balik... pembangunan. Sekiranya menang pun... pembangunan yang dibawa tak seberapa. Yang membangun dengan pesat ialah pocket wakil rakyat mereka. Sekelip mata kereta besar..... sekelip mata istana besar...... sekelip mata bini bertambah..... Aha, itu adalah lumrah bagi wakil-wakil rakyat UMNO. Kalau tidak..... dianggap out-dated... tak ikut trend!!!

So.... jangan salahkan rakyat Permatang Pasir kerana menolak UMNO/BN, sebab... mereka dah masak dengan perangai orang-orang UMNO ni. UMNO dulu... kini.... dan sampai mampus pun, takkan berubah!!!

Sebab itulah..... rakyat dah lali dengan janji pembangunan BN. Apa yang mereka mahu bukan pembangunan sangat tetapi perubahan. Mereka mahukan satu corak politik baru di Malaysia yang menjanjikan ketelusan.... keadilan..... untuk semua bangsa di Malaysia. Mereka dah muak dengan politik berteraskan kaum dan yang paling mereka benci ialah apabila UMNO menggunakan dan memperbodohkan bangsanya sendiri iaitu bangsa Melayu untuk mempertahankan kuasa, kedudukan dan jawatan mereka. Inilah cara golongan elitis Melayu dalam UMNO menjajah pemikiran golongan Melayu bawahan.... yang kononnya merekalah pejuang bangsa dan agama. Piiiigiiiirrraahhh!!!

Bagi Melayu yang berjiwa hamba..... mereka akan telan bulat-bulat apa yang elitis UMNO ni suap kepada mereka..... malah sanggup merelakan diri mereka dijadikan balaci dan pencacai kepada UMNO. Mereka inilah yang kita panggil Melayu OKU. Ya.... Melayu Otak Kurang Upaya.... Melayu yang otak mereka telah dibonsaikan mengikut citarasa yang UMNO mahukan. Kerja mereka ialah angguk-angguk dan geleng-geleng dan jadi macam burung kakak tua!!! Tetapi ..... bagi Melayu yang berjiwa merdeka...... no way mereka akan termakan propaganda dan tipu muslihat UMNO dan tidak akan membiarkan diri mereka diperbodohkan. Inilah dia Melayu baru yang berjiwa merdeka!!!

Oleh itu..... bravo dan syabas diucapkan kepada rakyat N11 Permatang Pasir kerana memilih untuk terus bebas daripada ber'wakilrakyat'kan UMNO/BN. Anda telah membuat pilihan yang tepat sekali apabila anda memilih untuk memerdekakan diri daripada UMNO/BN. Semoga anda semua sejahtera di bawah PAS/Pakatan Rakyat.....insyaAllah.