Isnin, 24 Ogos 2009

Sedih jika ada konspirasi PAS S'gor

Menyedihkan jika benar wujud konspirasi dalam PAS bagi menyingkirkan wakil-wakil rakyatnya yang pro-Pakatan Rakyat di Selangor, kata ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

"Kalau betul, saya sedih. Kita harus ada (semangat) silaturrahim dengan mengetepikan perbezaan," katanya.

Beliau diminta mengulas usaha terancang bagi memastikan beberapa wakil rakyat PAS – termasuk dirinya – supaya tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya umum akan datang kerana dianggap tidak sehaluan dengan Datuk Dr Hasan Ali, pesuruhjaya PAS negeri.

Menurut blog Malaysia Waves, ADUN dan ahli parlimen yang bakal disingkirkan termasuklah Saari Sungib (Hulu Kelang), Dr Halimah Ali (Selat Kelang) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Khalid dan Saari masing-masing dipecat daripada timbalan pesuruhjaya II dan ketua penerangan PAS negeri hujung tahun lalu akibat berbeza pandangan dengan Dr Hasan, juga exco hal-ehwal Islam Selangor.

Dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, Khalid berkata, walaupun dakwaan penulis blog berkenaan 'Tulang Besi' itu mungkin ada kebenarannya, beliau yakin pakatan seumpama itu tidak akan menimbulkan masalah kepadanya.

"Ia (halang bertanding) mungkin juga apa yang mereka harapkan. Tetapi bagi saya, ini bukan masalah besar. Pada akhirnya, (pemilihan calon) kena rujuk dengan (PAS) kawasan Shah Alam.

"Macam saya, setakat ini tiada masalah, macam yang lain juga," kata bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu.

Khalid juga berkata, pada kelazimannya, nama yang dicadangkan oleh akar umbi parti di peringkat kawasan untuk calon pilihan raya tidak boleh ditolak sesuka hati.

Sementara itu, Saari pula berkata, setelah menyemak sendiri daripada seorang pemimpin kanan parti yang dikaitkan dengan konspirasi tersebut, ADUN itu yakin tidak wujud sebarang usaha mencantas mereka.

"Saya buat panggilan kepada seorang yang disebutkan namanya dalam (tulisan) itu, (setiausaha PAS Selangor) Khairuddin (Othman). Beliau kata 'tidak ada' (konspirasi).

"Saya pegang (penjelasannya) yang itulah. Kalau ikut kaedah Islam, apabila datang sesuatu berita itu, hendaklah kita semak dahulu. Yang boleh kita semak, kita semaklah," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan lebih berjaga-jaga selepas ini, Saari hanya berkata:

"Parti ini bukan (bergantung) atas individu (tertentu)."

Malaysia Waves - yang sering mengulas politik dalaman PAS - menarik balik artikel tersebut tidak sampai 24 jam sejak diterbitkan 13 Ogos lalu.

Tindakan itu dipercayai akibat wujud penafian Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, dan juga bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

Pengendalinya bagaimanapun terus mempertahankan kebenaran artikel 'Konspirasi Membuang YB Saari Sungip dan Yang Menentang Idea Persepakatan PAS-Umno di Selangor'.

Tambahnya, artikel tersebut dibuang "untuk melindungi pemberi maklumat."

Pengundi Hantu: KJ Rancang Himpunan BERSIH Ke-2..?

Maka dengan itu, KJ pun akan berkokok "kunun"nya SPR tidak telus, SPR bersubahat dengan PR, SPR kena buat "reform" SPR, itu dan SPR ini...

Aku tak nak nafikan dakwaan KJ tu... masalah ni dah timbul sejak sekian lama, sejaka zaman berzaman, berkurun lamanya... Pakatan Rakyat dari dulu dah tunjukkan komitmen dalam hal ni... kita mintak macam-macam dibuat untuk membersihkan nama para pengundi dan kemuncaknya ialah kita telah mengadakan perhimpunan aman BERSIH pada tahun 2007.

Aku nak tunggu KJ pulak untuk buat perhimpunan BERSIH siri ke-2 untuk mendesak Pilihanraya Yang lebih bersih..! - berani ke mangkaq ni..?

Dulu bila kita bangkitkan isu pengundi hantu, UMNO kecoh... "mana ada hantu..?"... orang UMNO cakap... sekarang apahal..?

*Kalau KJ buat Perhimpunan BERSIH siri ke-2, aku pasti akan turun padang..! bukan sebab KJ, tapi sebab itu yang kita mintak dari dulu - "Pilihanraya Yang Bersih di Malaysia..!"

Lagi Wang Palsu Diedar Di Permatang Pasir

Lagi wang palsu RM100 diedarkan kerumah-rumah bakal pengundi dan kali ini ianya dikesan dan dilaporkan berlaku dikawasan Kampung Pelet.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Markas Pemuda PAS, Kampung Pelet semalam, wanita PKR mendedahkan berlakunya perbuatan tersebut dan kali ini mereka menggunakan kertas yang lebih berkualiti untuk tujuan tersebut.

Beberapa banner yang mengelirukan dan tidak mempunyai lambang parti juga ditemui di kawasan berdekatan dan dipercayai ianya dibuat oleh pihak UMNO... kalau bukan UMNO, sape lagi?

RAKAMAN PERBUALAN BAPA DAN IBU SAUDARA RAFIZAH...ISTERI KEDUA ROHAIZAT

Rakaman Perbualan Ibu Saudara Rafizah

Rakaman Perbualan Bapa Rafizah


Kalaulah Kartika Seri Dewi Minum Arak di Kelantan?

SAYA tidak dapat nak bayangkan bagai mana gegak gempitanya sekiranya modeling Kartika Seri Dewi Shukarno, 23 meminum arak dan ditangkap serta dibcarakan dalam mahkamah syariah di Kelantan atau Kedah. Apa lagi kalau mahkamah syariah telah menjatuhi hukum denda sebanyak RM5,000 dan sebat. Wou.... raya sakan kaum kerabat di dalam UBN dengan peristiwa itu.

Segenap NGO feminis pejuang hak asasi pun juga akan bangkit serentak. Kemungkinan besar tunjuk-tunjuk perasaan pun akan diadakan di Kota Bharu. NGO bernama MTRK, Perkasa dan sekufu dengannya bersama Umno dan segala macam kerabatnya akan berarak berramai-ramai membantah keputusan itu yang akan disifatkan sebagai zalim.

Akan dinaikan sepanduk mencela kerajaan Pas Kelantan sebagai zalim, kolot, tidak tamadun dan sebagainya.

Kenapa saya membayangkan begitu kerana salah seorang bapa UBN, pernah menghina dan mempersendakan hukum hudud. Katanya kalau hukum hudud dilaksanakan di Kelantan ramai penduduk Kelantan akan kudung tangan dan batu jalan juga akan habis kerana digunakan untuk melontar pesalahan hukud. Kata-kata itu sangat sinis menunjukkan bencinya dia kepada perundangan Islam.

Saya yakin kalau dia menjadi ketua negara dia akan komen dan kritik hukuman sebab itu sebagai ala Taliban atau persis hukuman di zaman Arab jahiliah.

Tetapi nasib baik apa yang menimpa Kartika Seri Dewi itu berlaku di negeri Pahang Darul Makmur. Mahkamah yang menjatuhi hukuman itu juga mahkamah di Pahang. Negeri asal Tun Razak Hussein dan Najib Razak. Negeri yang sejak tahun 1955 diperintah oleh Perikatan. Maka selamatlah negeri Pahang dicela oleh para pejuang kebangsaan itu.

Apabila mahkamah syariah Pahang menjatuhkan hukuman itu tidak ada apa-apa protes dari wanita Umno, dan puteri Umno. Ia seakan hukuman itu diterima dengan baik oleh Umno. Apakah ini menggambarkan hukuman yang digubal atau dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang itu lebih sahih daripada hukuman yang digubal oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu dulu? Begitukah?

Hari ini Kartika Seri Dewi sepatutnya menjalani hukuman sebat. Beliau telah pun diangkut dari rumahnya di Sungai Siput, Perak oleh Pegawai Jabatan Agama Islam untuk dibawa ke Penjara di Kajang bagi menjalani hukuman berkenaan. Sampai sekarat jalan, Kartika dihantar balik ke rumah kerana hukuman itu ditangguhkan. Alasannya kerana bulan ini bulan Ramadhan.

Penangguhan itu atas permintan Jabatan Peguam Negara. Kenapa pula ditangguhkan dan apakah kena mengena dengan Ramadhan? Bukankah di bulan mulia ini manusia berebut untuk berbuat kebaikan dan amalan soleh. Pelaksanaan hukuman sebat itu adalah antara tuntutan Allah. Apabila penangguhan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara ia menjelaskan bahawa bidang kuasa pelaksanaan hukuman ternyata masih di bawah JPN. Ada hikmahnya penangguhan ini kerana ie menjelaskan antara sebab kenapa perundangan Islam tidak dapat dilaksanakan di Kelantan kerana masalah pelaksanaan hukuman tadi?

Penangguhan pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika itu agak aneh sikit. Apakah kerana ia dibimbang memberi impak kepada kepimpiann 1 Malaysia maka ia perlu ditangguh dan mengambil masa sesuai kerana kejadian itu berlaku di negerinya dan pada masa ini dia PM. Begitukah?

Sekali lagi, keadaan akan menjadi gegak gempita kalau penagguhan itu dibuat oleh kerajaan Pas Kelantan. Sudah tentu kerajaan Pas akan dikatakan meragui perundangan sendiri. Sudah tentu kerajaan Pas akan dikecam. Dalam masa sama kerajaan Pas akan dikatakan tidak bersungguh melaksanakan perundangan Islam dan ianya adalah agenda politik bagi menarik perhatian umah Islam. Tetapi kerana ia berlaku di bumi kelahiran pemimpin 1 Malaysia, maka ia ditangguhkan, dilewat-lewatkan. Dan tidak ada pula suara sumbangan dari mana-mana pihak mempertikaikannya.

Penangguhan sesuatu yang wajib itu tidak baik dilakukan. Kemungkinan dengan penangguhan itu menyebabkan hukuman itu akan berubah. Apa lagi bila ada desakan dan hansutan pihak pejuang hak asasi terutamanya di peringkat internasional menyebabkan ia akan disemak semula. Paling mengesalkan kalau hukuman itu dipinda.

Dalam hal ini kesediaan Kartika untuk membersihkan dirinya kerana minum arak terhalang. Apa kata kalau dalam tempoh penangguhan ini beliau tidak sempat melaksanakan hukuman itu? Apakah pemerintah dalam kes ini kerajaan Pahang akan bertanggungjawab memikul dosanya? Nampaknya begitulah... Apapun syabas diucapkan kepada Kartika kerana redha menerima hukuman berlandaskan firman Allah.

Gambar sekitar Permatang Pasir

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menemani Salleh Man menemui orang ramai petang semalam.

Salleh Man sempat bersalaman dengan beberapa pengundi yang rata-rata

menerima baik pencalonannya dalam pilihan raya kecil itu.

"InsyaAllah enta akan jadi YB selepas ini". Mungkin itu yang diucapkan oleh Anwar Ibrahim kepada Salleh sambil diperhatikan Guan Eng sambil tersenyum.


Guan Eng dimajlis berbuka puasa bersama Anwar dan Salleh. Keakraban inilah yang dicemburui UBN.

Rombongan kempen mengiringi Salleh ke sebuah permatang petang semalam.



Bukan sebarang ustaz, Salleh menunjukkan kebolehannya menimang sepak raga. Lepas ini akan timang rakyat pula! [wm.kl. 6:15 pm 24/08/09]


Komenan dari rakan Pas, Nuridah Kamarudin, Ketua Angkatan Wanita PKR turut sama turun ke lapangan berkempen untuk Salleh. [wm.kl 6:15 pm 24/08/09]















Amanat Tok Guru kepada pengundi Permatang Pasir

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Sebahagian dari Ayat 5 : Surah Al Bayyinah)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,


Alhamdulillah. Menjelang 1 Ramadhan 1430, genaplah 8 warkah rayuan pengundi yang telah saya tulis dan tandatangani. Entah apalah rahsia yang tersimpan dalam lipatan perbendaharaan ilmu Allah yang Maha Luas itu sehingga berlaku 8 pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, tiada siapa jua yang mampu menekanya. Apa yang hanya boleh kita baca dari 7 pilihan raya kecil yang telah berlalu, parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat (PR) telah menang sebanyak 6 kali berturut-turut. BN cuma menang 1 kali; itupun di Batang Ai, Sarawak. Ini realiti dan ini kenyataan.


Pada kali ini Kerusi Permatang Pasir menjemput kita sekali lagi untuk turun ke gelanggang. Walaupun dengan penuh berat, kita terpaksa melepaskan Allahyarham Dato’ Hamdan kita untuk kembali menemuiNya. Bagi kita yang hidup, tuntutan sambungan jihad demi sebuah tanggungjawab wajib diteruskan. Sudah 3 penggal calon kita bersusah payah untuk mengangkat Islam dan sudah 15 tahun rakyat di Permatang Pasir memperbaharui kepercayaan agar PAS terus menerajui kerusi Dewan Undangan di Permatang Pasir ini.


Jika dibaca nilai istiqamah pengundi di sini di masa-masa lalu, ia jelas menunjukkan betapa tingginya iltizam, kenyakinan dan komitmen mereka. Walaupun mereka tentu boleh faham bahawa apalah sangat memberi kemenangan kepada PAS di kerusi ini dari segi memerintah negeri, namun pada saya, majoriti yang diraih Allahyarham pada 8 Mac 2008, melebihi 5,000 undi adalah teramat mahal. Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar. Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu. Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam palsu. Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan. Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah Syurga Allah di akhirat kelak? Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah. Saya percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.


Manakala bagi pengundi bukan Islam pula pada umumnya, saya seakan boleh menyelami keresahan yang sedang bergolak di hati saudara saudari sekelian. Di sana ada tuduhan rasuah berjumlah RM10 juta yang katanya melibatkan pemimpin MCA. Di sana juga ada kes kematian misteri seorang anak muda bernama Teoh Beng Hock sewaktu berada di dalam siasatan (custody) SPRM. Di sana juga ada kes kematian Kugan sewaktu berada di dalam tahanan polis. Dengan insiden stadium runtuh dan gelanggang akuatik yang tidak selamat di Terengganu, keretakan yang berlaku di lebuh raya MRR2 serta LDP dan skandal di PKFZ Pelabuhan Klang yang bernilai berbilion ringgit, ramai pemimpin Umno yang kena gantung dan disabitkan kesalahan mengamalkan politik wang termasuklah Ketua Menteri Melaka yang masih ada sekarang, buruknya layanan ke atas rakyat yang berhimpun secara aman untuk mengangkat nota bantahan ISA kepada DYMM Yang Dipertuan Agung, cederanya Sdr. Wong dan Gobalakrishnan di tangan SPRM dan Polis – pengamal undang-undang, para pencinta demokrasi dan pejuang hak asasi tidak mempunyai lain-lain harapan pemulihan untuk negara kita. Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh PR dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno/BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil. Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak Institusi Kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. InsyaAllah, ini akan berlaku tidak lama lagi.


Melihatkan trend sokongan non-muslim kepada calon Parti Islam SeMalaysia dan PR, khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah memenangkan Dato’ Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, saya cukup mempunyai keyakinan. Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009. Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang.


Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini One Malaysia pula. Esok entah apa pulalah. Umno ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut.


Akhir kata, gunakanlah kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat. Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar? Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan. Undilah Sdr. Saleh bin Man. Undilah PAS dan PR demi keadilan Islam.


“Ya Allah, saksikanlah. Hamba sesungguhnya sudah menyampaikan.”



NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Merangkap Menteri Besar Kelantan
Tanggal: 1 Ramadhan 1430 / 22 Ogos 2009

Ulamak turut dekati pengundi


KUBANG SEMANG, 24 Ogos - Ibadah puasa tidak mematahkan semangat petugas Jentera Plihan raya PAS bagi meneruskan usaha mendekati pengundi di seluruh UPU dalam gerak gempur pada hari terakhir kempen.


Petugas Muslimat Kelantan bersama jentera tempatan di UPU Kubang Semang, pada pagi ini turun ke rumah-rumah pengundi dalam usaha untuk menerang dan menjelaskan tentang kepentingan mengundi pada 25 Ogos nanti.


Menariknya, rombongan ziarah pada kali ini menggunakan pendekatan yang berbeza iaitu membawa bersama wakil Dewan Ulama' PAS Kelantan.


Menurut salah seorang petugas, pendekatan mesra ini digunakan sebagai satu cara berbakti kepada rakyat selain menerangkan mengenai agama Islam.


"Jika kebetulan ada orang sakit, atau memerlukan ustaz buat air tawar, untuk solat hajat dan sebagainya, kita boleh sediakan terus tanpa bertangguh-tangguh," katanya.


Pendekatan ini dilihat mampu memikat hati para pengundi kerana ianya dilakukan atas dasar keprihatinan dan bukan sekadar untuk meraih undi semata-mata.


Suasana pilihanraya kecil N11 Dun Permatang Pasir kali ini berlangsung dalam suasana yang agak berbeza dari sebelum ini dalam keadaan umat Islam sedang melaksanakan ibadah pada bulan Ramadhan.


Namun keadaan tersebut tidak menjadi penghalang kepada petugas PAS dari seluruh negara untuk turun sama membantu mengekalkan kemenangan di satu-satunya kubu PAS di Pulau Pinang.

Masa depan bersama Umno atau bersama Islam?


KUBANG SEMANG, 24 Ogos - Kerajaan pimpinan Umno-BN sejak tiga generasi gagal membawa agenda pembangunan rakyat, bermula dengan gagasan bawaan Bapa Permodenan, agenda Wawasan 2020 hanya tinggal kenangan apabila Bapa Pembangunan Modal Insan terus diabaikan oleh kemunculan gagasan Islam Hadhari yang disambut dengan penuh harapan oleh rakyat.

Selepas sepenggal, Bapa "baru" era Najib yang diketuai Rosmah cuba membawa wajah '1 Malaysia' sebagai satu strategi terus menggula-gulakan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.


Bercakap dalam satu ceramah di Markaz Dewan Ulama' semalam, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Badrul mengatakan Umno telah melakukan siri penipuan berterusan untuk mengaburi mata rakyat apabila ketiga-tiga gagasan ini hanya menjadi retorik pimpinan BN semasa dan hanya membazirkan wang rakyat apabila agenda setiap gagasan ini ditinggalkan.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu juga berkata, Tun Abdullah Badawi telah mengunakan slogan Islam Hadhari berikut perkembangan pada waktu untuk menunjukkan kecenderungan alim ulama', professional serta rakyat Malaysia yang cenderung kepada PAS.

"Seterusnya bagi mendapat sokongan pelbagai kaum lain di Malaysia, Najib telah mengistiharkan slogan 1 Malaysia. Pengunaan slogan tersebut telah diamalkan oleh pemimpin Israel iaitu Israel 2020 dan One Israel. Malah belia mendedahkan bahawa syarikat perunding imej yang dibayar sebanyak RM20 juta ini juga merupakan perunding yang sama kepada zionis Yahudi," katanya kepada lebih 200 penyokongyang hadir.


Dalam ceramah yang sama, beliau memberikan penjelasan berkenaan isu pemberian tanah di Perak semasa Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato' Seri Nizar adalah merupakan pemberian adil berdasarkan tahap kemiskinan bukan pemberian kuota kaum yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang secara jelas menunjukkan sikap pilih kasih yang mana diberikan kepada orang-orang UMNO atau penyokong mereka sahaja.

"Nizar dituduh menyebelahi orang-orang Cina sedangkan orang-orang Melayu yang lebih banyak mendapat hak milik tanah berikutan kegagalan UMNO untuk menaikkan taraf kehidupan orang Melayu Perak selama pemerintahan 50 tahun," tegasnya.



Beliau menasihatkan rakyat agar berhati-hati dengan taktik tradisi UMNO yang selalu mengkudakan media arus perdana untuk mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta membahayakan kepada rakyat.

"Di depan kaum Cina, mereka menfitnah PAS akan mengharamkan babi dan arak jika dapat memerintah sebaliknya di depan orang Melayu mereka menuduh PAS mrnghalalkan arak dan babi," demikian ujarnya.



Ceramah ini juga dihadiri oleh isteri calon PAS, Siti Fatimah beserta anak-anak dan ibu calon.

Umno Edar Risalah Pos, Gantung Panji Hina Pas



Kes kredibiliti bakal wakil rakyat, bukan peribadi

BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos: PAS sehingga ke hari terakhir kempen mereka hari ini, konsisten dengan pendirian bahawa isu pecah amanah calon BN, Rohaizat Othman bukan isu peribadi sebaliknya isu kredibiliti sebagai bakal wakil rakyat.

Kes ini lebih jelas apabila bekas rakan kongsi firma Rohaizat, Yusri Ishak berkali-kali menyatakan pediriannya bahawa beliau tampil membuat penjelasan untuk membersihkan nama baik beliau dan keluarganya.

Pengarah Pilihanraya PAS Pengkalan Pasir, Dato' Mahfuz berkata, keengganan Rohaizat dan pimpinan Umno menarik balik segala tuduhan yang dilontarkan kepada YUsri membuktikan sifat tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah parti itu.

Sambil menyifatkan Rohaizat sebagai orang yang tidak tahu menghargai kejujuran seorang rakan, beliau berkata Rohaizat dan pimpinan Umno tidak seharusnyamenjadikan Yusri sebagai kambing hitam.

Beliau turut menafikan dakwaan Rohaizat bahawa penjelasan Yusri sebelum ini telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu khususnya PAS.

PAS tegasnya hanya memberikan tempat untuk Yusri membuat penjelasan bagi membersihkan namanya dari tuduhan Rohaizat dan Umno.

Tegasnya juga, Yusri sendiri yang tampil menafikan tuduhan Rohaizat dan meminta Pakatan Rakyat memberikan ruang untuknya menjelaskan kedudukan sebenar.

ImageBeliau menegaskan dakwaan terhadap Rohaizat tidak harus dipandang ringan kerana Majlis peguam tetap memutuskan Rohaizat yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kes pecah amanah yang dilakukan.

Keputusan itu dibuat lembaga disiplin Majlis Peguam yang dipengerusikan oleh ahli lembaga disiplin Umno, Tan Sri Khalid Ahmad Sulaiman.

Ini sekaligus katanya membuktikan isu ini bukan sengaja ditimbulkan PAS seperti yang didakwa pihak-pihak tertentu.

Tindakan Rohaizat yang mendiamkan diri tanpa sebarang penjelasan juga terus menimbulkan keraguan banyak pihak.

Yusri telah menggunakan platform PAS pada Khamis dan Jumaat lalu untuk menjelaskan pendiriannya dalam isu pecah amanah Rohaizat selepas sidang medianya Khamis lalu.

Malam tadi Yusri sepatutnya muncul di pentas ceramah PAS di Kubang Semang, Permatang Pasir untuk 'berdebat' dengan Rohaizat. Bagaimanapun kedua-dua Yusri dan Rohaizat tidak muncul. _

Dari P.Pauh ke P.Pasir UMNO - BN vs Politik Baru

Khairy Jamaluddin ternyata meludah ke langit ketika mendakwa akan "kuburkan hayat politik Anwar Ibrahim di Permatang Pauh", setahun lalu apabila ia berakhir dengan "UMNO hampir dikuburkan".

Lim Hong Siang, Merdeka Review

Walaupun terbukti gagal dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos tahun lalu, UMNO-BN tetap mengulangi taktik yang sama untuk menyerang "politik baru" yang cuba dijulang Pakatan Rakyat. Kemenangan Anwar Ibrahim dibaca sebagai kebangkitan suara rakyat untuk menuntut perubahan, namun tidak cukup untuk dijadikan pengajaran kepada BN, selepas satu tahun berlalu.

Walaupun diasak bertalu-talu dengan poster "kabinet babi", label "pengkhianat Melayu", banner "pengakuan Saiful diliwat" dan sebagainya, Anwar Ibrahim bagaimanapun memberi tamparan sengit kepada Najib, Timbalan Pengerusi UMNO ketika itu dengan kemenangan majoriti yang lebih besar.

Pemimpin BN sendiri mengakui bahawa "loceng amaran" telah berdering. Malah, Najib Abdul Razak mengulangi kenyataan "ubah atau diubah rakyat". Namun demikian, pilihan raya kecil selanjutnya, dari Kuala Terengganu hinggalah Manek Urai, menyaksikan bagaimana UMNO-BN mempermainkan isu "perkauman" dan "agama", sebagai strategi untuk menumpaskan musuhnya.

Derhaka, Boneka, Kerajaan Perpaduan

Setelah tsunami politik 8 Mac 2008, BN sedar bahawa kubunya terletak di Sabah dan Sarawak, dan kawasan luar bandar yang majoritinya pengundi Melayu di Semenanjung. UMNO berjaya mencuri kira-kira 5% undi Melayu di Bukit Gantang dari PAS setelah label "boneka DAP", "penderhaka" dilemparkan terhadap Menteri Besar Perak asal, Mohd. Nizar Jamaluddin.

Seterusnya, UMNO hampir menembusi kubu PAS di Manek Urai dengan pendekatan agama, selain menabur janji-janji pembangunan. Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melembutkan "ego" dirinya sebelum itu, menjemput secara terbuka agar PAS membentuk "kerajaan perpaduan" dengan UMNO demi perpaduan umat Islam. Strategi ini selain menimbulkan kesangsian antara parti komponen PR, juga mewujudkan kekeliruan dalam kalangan penyokong PR, khususnya PAS.

Maka, UMNO selepas Perhimpunan Agung Mac tahun 2009, semakin jelas dalam pengaturan strateginya untuk mengembalikan kuasa. Seolah-olah wujudnya "pengkhususan peranan" dalam UMNO. Najib sebagai Presiden UMNO memainkan peranan Perdana Menteri untuk semua kaum, dengan konsep "1Malaysia" yang dilaungkan. Sementara itu, Timbalannya Muhyiddin Yassin menonjolkan diri sebagai pejuang kepentingan Melayu dengan serangannya terhadap dua ikon PR, iaitu Anwar Ibrahim dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di samping itu, sayap Pemuda yang dipimpin graduan Oxford, Khairy Jamaluddin menampilkan diri sebagai pemimpin yang mampu menggarap imaginasi generasi muda dengan "keterbukaan"-nya dalam sesetengah isu, misalnya pendiriannya untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan "pembahagian peranan" sedemikian, UMNO telah menyempurnakan proses penjenamaan semulanya (rebranding), cuba menawan semula empayarnya yang telah ditembusi PR dalam PRU ke-12.

Dilema parti komponen BN

Perkiraan ini mungkin bijak, dari perspektif UMNO. Namun, parti komponen lain dalam BN terpaksa berdepan dengan dilema. Misalnya, Presiden MCA, Ong Tee Keat yang sebelumnya mempertikaikan imej "moral" timbalannya, terpaksa menjawab apabila diajukan soalan tentang imej "moral" calon BN di Permatang Pasir, Rohaizat Othman yang dibatalkan lesen guaman.

Malah, taktik BN untuk menuduh PAS menjadi boneka DAP di kawasan Melayu, kemudian menuduh DAP diperkudakan PAS di kawasan bukan Melayu, menyukarkan pemimpin parti komponen untuk membela pendirian BN, malah mengerah sokongan dari pengundi bukan Melayu. Pengundi yang kini fasih dalam bahasa Melayu, akan mempersoalkan, apakah lidah UMNO, Utusan Malaysia menyiarkan sesuatu yang bercanggah dengan konsep "1Malaysia" yang diuar-uarkan?

Keadaan semakin malap apabila Presiden MCA, Ong Tee Keat kini berbalah dengan Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tiong King Sing dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Kemampuan Menteri Kesihatan MCA, Liow Tiong Lai untuk memerangi wabak influenza A(H1N1) dipertikai, malah dibidas kerana lebih "bersungguh-sungguh" untuk menunjukkan sokongan terhadap Presiden MCA yang mendakwa dirinya bakal digulingkan.

Senario sedemikian memperlihatkan bagaimana persaingan politik gagal dipertingkatkan ke tahap di mana dasar, meritrokasi dan prestasi pentadbiran dijadikan kayu ukur, tetapi masih bergelut dalam lumpur perkauman dan agama. Pemimpin BN dilihat lebih bersungguh-sungguh membincangkan isu perkauman yang diwujudkan Utusan Malaysia, daripada memerangi rasuah, wabak influenza, aktiviti jenayah dan krisis ekonomi yang benar wujud dalam realiti.

Masa depan politik baru

Khairy Jamaluddin ternyata meludah ke langit ketika mendakwa akan "kuburkan hayat politik Anwar Ibrahim di Permatang Pauh", setahun lalu apabila ia berakhir dengan "UMNO hampir dikuburkan".

Setahun kemudian, destinasi Putrajaya tidak kesampaian, malah Anwar terpaksa berlegar di Penanti dan Permatang Pasir, menangkis serangan UMNO, yang kelihatan sudah bangkit semula.

PR kini berada dalam kedudukan tertekan, ditambah pula dengan kontradiksi yang wujud di celah parti komponen. Lebih-lebih lagi, sesetengah pemimpin PR turut terjerumus dalam penyelewengan yang memberi imej negatif.

Pengundi bakal membuat keputusan pada hari esok. Keputusan pilihan raya kecil ini bukan sekadar menentukan "hayat politik Anwar", tetapi lebih penting untuk menyampaikan mesej sama ada "politik baru" yang melangkaui batas kaum, ke arah reformasi sistem demokrasi negara, masih menjadi impian rakyat Malaysia.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Adakah Malaysia mahu Islam yang sadis dan tidak rahmah? - Norhayati Hj Kaprawi

OGOS 24 – Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari, atau Islam ‘hududi’?

Apa pun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.

Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.

Bertambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam, bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap Kartika.

Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam. Namun, apabila timbul masalah sebenar di dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu. Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.

Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksima?

Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islam lah ia?

Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut beg yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian. Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal. Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara 7 hari di penjara Kajang?

Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan Agama Allah dan menegakkan Negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?

Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum pencuri yang mencuri akibat kemiskinan. Lupakah mereka tentang pesanan Allah s.w.t : “Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. Al Maaidah: 39)

Malah, banyak lagi ayat-ayat Al-Qur’an yang memberikan peringatan yang sama seperti di Surah An-Nahl: 119, dan Al An’aam: 54, An Nahl: 125

Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah measukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya? Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.

Apakah pantas Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?

Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperi kemanusiaan ini ke atas Kartika?

* Norhayati Hj Kaprawi adalah aktivis wanita Musim

Kedah dan Selangor dalam bahaya

Pada 15 Februari 2009, Raja Petra menulis tentang serangan BN terhadap Perak, Kedah dan Selangor. (disini). Lima ADUN Pakatan Rakyat diKedah telah pun berjumpa dengan pemimpin tinggi Umno dan berjanji akan melompat keluar Pakatan Rakyat sebaik saja Barisan Nasional mempunyai jumlah yang cukup untuk mengambil alih kerajaan di Kedah.RM 100 juta telah diperuntukkan untuk ‘Projek Tawan Kedah” ini dan mereka yang melompat akan mendapat ganjaran yang lumayan.

Di Selangor, Hassan Ali telahpun dijanjikan jawatan Menteri Besar sekiranya dia dapat meyakinkan cukup ADUN untuk menyeberang. Tidak diketahui berapa juta pula yang telah dijanjikan. Setakat ini, dia mempunyai hanya dua dari Pas dan dua lagi dari PKR yang bersetuju menyertainya. Dan dia memerlukan beberapa ADUN lagi untuk menjayakan perancangannya.

Semua ini berkaitan dengan wang dan kuasa. Hasan Ali mahu menjadi Menteri Besar Selangor sejak tahun 1999 lagi. Masalahnya, pada tahun 1999, pembangkang tidak menang di Selangor. Dia masih mahu menjadi Menteri Besar dan kalau diperlukan menyeberang ke Barisan Nasional dengan penyokong yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru, dia akan melakukannya asalkan dia menjadi Menteri Besar.

Malah, Hee Yit Foong, ADUN Jelapang yang berada dalam DAP sejak 20 tahun lalu, melompat kerana wang. Setakat ini, dia telah menerima RM15 juta dari Vincent Tan. RM10 juta lagi akan dibayar apabila semuanya selesai. Dia memerlukan wang untuk membayar kembali hutang-hutang suaminya kerana judi.

Keadaan ini juga berlaku terhadap Lee Lam Thye yang dipaksa meninggalkan DAP supaya dia dapat melangsaikan hutang isterinya kerana judi. Barisan Nasional membantu membayar hutang isterinya, sebaik saja dia meninggalkan kem pembangkang dan mula menyokong kerajaan.

Apabila kami memberitahu Pakatan Rakyat Perak akan tumbang, mereka memberitahu bahawa keadaan terkawal. Sekarang kami memberitahu mereka bahawa Kedah dan Selangor juga berada dalam keadaan kritikal dan mereka perlu melakukan sesuatu. Jangan beritahu kami, bahawa semuanya dalam keadaan terkawal…kemudian dalam beberapa minggu kemudian, dua negeri ini jatuh seperti Perak.

Barisan Nasional telah memperuntukkan RM 200 juta untuk menawan kembali Kedah dan Selangor. Dan mereka akan berbuat apa saja..hatta melanggar undang-undang atau perlembagaan. “Kejayaan” mereka menawan kembali Perak dengan bantuan polis, mahkamah dan segala jentera kerajaan, menyebabkan mereka semakin ghairah untuk menawan Kedah dan Selangor.

Sekarang, Radhi sudah menjadi calon ADUN Bebas, Lim Soo Nee juga sudah hilang. Kalau Lim Soo Nee juga menjadi ADUN Bebas, BN hanya memerlukan tiga lagi untuk menumbangkan kerajaan PR Kedah. Adakah ini mustahil? Tidak.

Tiga ADUN tersebut sudahpun dikenalpasti. Kepimpinan Negeri pun dah tahu. Tetapi, kadang-kadang pemimpin tak mahu percaya. Tambahan pula kalau dikatakan ADUN Pas yang akan melompat, sudah pasti ramai orang Pas akan melompat mengatakan mereka sudah dididik sepenuhnya. Tak mungkin ADUN Pas akan melompat.

Mampuih pi la.

Rakyat Takut H1N1, Rohaizat Takut B1N1..!

Keluarga Rafizah Mohamad Ali menuntut calon BN, Rohaizat Othman supaya mengisytiharkan beliau mempunyai dua orang isteri, termasuk Rafizah yang menetap di Pahang.

Sehubungan itu, bapanya, Mohamad Ali Abdullah, 59, memberi tempoh sehingga malam ini untuk Rohaizat yang juga setiausaha Umno Permatang Pauh membuat pengumuman tersebut.

Mohamad Ali berkata beliau sedang menimbang agar meminta penceramah daripada Pakatan Rakyat menjelaskan kedudukan sebenar berhubung isu ini kepada rakyat serta berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.

Ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi, Mohamad Ali berkata, beliau telah mewalikan pernikahan antara anaknya dengan Rohaizat di pejabat kadi dalam daerah Pekan pada tahun 2005 dan didaftarkan pada tahun yang sama.

"Dia kena isytihar bahawa dia mempunyai dua isteri, pengundi pun tak ragu-ragu. Kalau tidak ia menjadi pembohongan kepada rakyat. Kalau isytihar sekarang risiko tidak besar," kata Mohamad Ali.

"Apa nak ditakutkan? Kita nak takut kepada siapa. Takut kepada manusia atau takut kepada Allah... Sekiranya beliau mengisytihar, maka saya ucapkan terima kasih," tambahnya.

Rohaizat - yang pada mulanya bergelut dengan isu lesen guamannya dibatalkan ekoran itu penyelewangan wang koperasi Pekebun Getah - kini berdepan pula dengan isu isteri kedua.

Pendedahan mengenai isteri kedua Rohaizat itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan yang mengakui mengenali rapat kekuarga Rafizah. Rohaizat bagaimanapun menafikan beliau mempunyai isteri kedua yang bernama Rafizah.

Rafizah berumur 29 tahun adalah anak ke-6 daripada 10 adik-beradik.

Menurut Mohamad Ali lagi, sekiranya Rohaizat mengumumkan Rafizah sebagai isterinya, maka Mohamad menasihati Rohaizat agar berlaku adil, terutama dalam urusan memberi nafkah kepada Rafizah.

Beliau juga menjelaskan anaknya buat masa ini tidak akan tampil ke pentas ceramah kerana berada dalam keadaan tertekan.

Ditanya sama beliau menyedari bahawa Rohaizat sudah mempunyai isteri ketika mengahwini anaknya itu, Mohamad Ali berkata beliau menyedari perkara itu.

Tambahnya, beliau bertindak mengahwinkan anaknya itu kerana tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak elok kepada anaknya.

"Saya sebagai ayah, anak dah kata bersetuju (nak berkahwin), kalau halang akan jadi kelakuan yang tidak baik," katanya

Ditanya mengapa baru sekarang mendedahkan perkara ini, Mohamad Ali berkata beliau sebagai bapa tidak mahu mencampuri urusan rumahtangga anaknya.

Sebagai seorang suami, katanya, Rohaizat adalah orang yang bertanggungjawab mengurustadbir urusan keluarganya.

"Apabila ada pengaduan (masalah), saya hanya tolong memberi jalan (menyelesaikan masalah) untuk kebaikan mereka. Saya hanya boleh nasihatkan pasangan, itu sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Ali optimis bahawa masalah Rohaizat-Rafizah ini dapat diselesaikan tanpa mengundang kepada perceraian antara anak dan menantunya itu.

"Belum ke tahap perceraian (dalam usaha) untuk membina keluarga. Perceraian adalah jalan yang terakhir. Saya mahu mengelak daripada perpisahan. Saya tak mahu mereka bercerai berai.

"Perkara ini boleh diselesaikan melalui perbincangan keluarga dan tidak perlu pergi ke mahkamah," katanya.

Menurut Mohamad Ali, Rafizah kini berada dalam tertekan dan sedang berehat untuk menenangkan fikiran.

Bagaimanapun beliau enggan memberitahu di mana Rafizah sedang berehat atas permintaan
anaknya itu sendiri.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali juga mendakwa anaknya juga menerima "tekanan" daripada Rohaizat dan ahli politik daripada Barisan Nasional berhubung pendedahan ini.

Bagaimanapun, Rafizah enggan menceritakan kepadanya bentuk tekanan yang diterimanya.

"Tolong isytihar untuk membersihkan namanya. Saya rasa pengundi masih lagi percaya kepadanya kalau dia isytihar sekarang. Saya tak minta apa-apa, saya minta itu sahaja," katanya sambil menambah calon BN itu masih mempunyai masa untuk berbuat demikian.

Menurut Mohamad Ali, sekiranya Rohaizat tidak berani untuk membuat pengisytiharan, maka mentuanya itu berharap agar Rofizah dibebaskan dengan cara yang baik.

Katanya, sekiranya berlaku perceraian Mohamad Ali menuntut agar Rohaizat mengembalikan surat pernikahan kahwin anaknya yang kini berada dalam simpanannya.

Pas ketuai MAIPP jika Mohd.Salleh menang pilihan raya kecil

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) akan diberikan kepada Pas jika Mohd. Salleh Man memenangi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Anwar, ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau telah berunding dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengenai perkara itu sebelum keputusan dibuat.

Biasanya, jawatan itu dipegang oleh parti memerintah di negeri itu, katanya kepada pemberita, dan menambah ketika ini ia dipegang oleh ADUN Permatang Berangan Shabudin Yahya tetapi penggal perkhidmatannya akan tamat dua bulan lagi.

“Kami akan cadangkan nama Mohd. Salleh selaku Yang Dipertua MAIPP kepada Yang di-Pertuan Agong selepas penggal Shabudin berakhir,” kata beliau. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian ADUN, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari Pas pada 31 Julai. - Bernama

Saya Tidak Mendapat Sebarang Ganjaran Atau Habuan, Kata Rakan Kongsi Rohaizat..! Yusri ikhlas tapi Rohaizat tikam dari belakang..!!!!

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Bekas rakan kongsi Rohaizat Othman, Yusri Isahak Ahad menegaskan bahawa beliau tidak mendapat sebarang ganjaran atau habuan untuk melakukan sidang media baru-baru ini mengenai urusan firma guaman mereka.

Yusri, 39, berkata tujuan sidang medianya di Bukit Mertajam pada 20 Ogos lepas hanyalah untuk membersihkan namanya yang tercemar ekoran dakwaan beberapa individu yang menuduhnya menggelap dan menyalahgunakan wang syarikat.

"Niat saya bukanlah untuk menjatuhkan Rohaizat yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, tetapi isu mengenai urusan wang syarikat itu perlu ditanggung oleh Rohaizat juga," katanya pada sidang akhbar di Hotel Grand Seasons di sini.

Beliau mendakwa dirinya 'dikambinghitamkan' berhubung kes membabitkan pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) pada 2002 serta isu pembatalan lesen peguam sivil Rohaizat.

Yusri pernah menjadi rakan kongsi Rohaizat selama lima tahun mulai 1999 dan berkata semua urusan firma guaman mereka dilakukan dengan persetujuan Rohaizat.

Kini Yusri bekerja sebagai ahli perniagaan dan tidak lagi menjadi pengamal undang-undang walaupun lesen guaman sivilnya tidak dibatalkan tetapi tidak diperbaharui sejak 2004.

Sehubungan itu, beliau kesal kerana kenyataannya yang bertujuan untuk mempertahankan diri, telah dijadikan modal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghentam serta memburuk-burukkan calon BN Permatang Pasir itu.

Yusri yang mengenali Rohaizat sejak 1989 ketika belajar di universiti yang sama berkata, beliau tidak akan membenarkan sebarang dakwaan tidak berasas dibuat terhadap Rohaizat semata-mata untuk kepentingan politik.

Katanya, semua kenyataan media yang dilakukan sebelum ini bukanlah didorong oleh mana-mana individu atau parti politik dan berharap orang ramai memahami keadaan sebenar.

-- BERNAMA

KENYATAAN AKBAR DATO' MAHFUZ OMAR SOALAN 23-8-09 Part 3

KENYATAAN AKBAR DATO' MAHFUZ OMAR SOALAN 23-8-09 Part 2

KENYATAAN AKBAR DATO' MAHFUZ OMAR SOALAN 23-8-09 Part 1

KENYATAAN AKBAR DATO' MAHFUZ OMAR 23-8-09 Part 2

KENYATAAN AKBAR DATO' MAHFUZ OMAR 23-8-09 Part 1