BUKIT MERTAJAM – Walaupun isu moral dan pecah amanah terus membelit peribadi calon Rohaizat Othman, Umno dilihat mula mendapat rentak berpolitik apabila menjadikan isu status quo Pas dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada orang-orang Melayu sebagai bahan kempen dari rumah ke rumah.
Bagi Umno, Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman tidak membawa apa-apa pembangunan selama menyandang 3 penggal Dun itu. Jika Dun Permatang Pasir terus disandang PAS dalam pilihanraya kecil kali ini, maka rakyat akan terus dihimpit kemunduran.
Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan di Tanjong Putus kelmarin menegaskan jika Umno diberi peluang menyandang, Dun Permatang Pasir akan dilambak pembangunan kerana hanya Umno sahaja mampu membina jalanraya, parit, sekolah, klinik-hospital, bangunan-kilang dan pelbagai pembangunan lagi.
Mengulas kenyataan Ahmad itu, Ketua Pengarah Operasi N11 yang juga Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar petang tadi menjelaskan semua contoh pembangunan itu adalah senarai tanggungjawab persekutuan (federal list) sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan; bukannya senarai tanggungjawab negeri (state list).
Dakyah Ahmad itu disifatkan sebagai cuba memperbodoh pengundi Permatang Pasir, namun Mahfuz yakin pengundi bijak dan bermaklumat.
Tegasnya lagi, jika Umno ikhlas mahu membawa pembangunan rakyat di Permatang Pasir, sejak 1999 lagi mereka melambakkan pembangunan biarpun Dun itu disandang PAS.
Tun Dr. Mahathir Mohammad waktu menjadi Perdana Menteri dahulu pun mengatakan perbandaran Balik Pulau lebih mundur seperti era Perang Dunia Ke-2; sedangkan Parlimen/Dun di sana waktu itu disandang oleh Umno/BN sendiri.
Itu semua adalah muslihat politik Umno untuk menipu rakyat, sama seperti mereka menipu rakyat Manik Urai sebelum ini.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berpendapat bahawa Ketua Penerangan Umno itu tidak mengkaji rekod sumbangan Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman sebelum berkempen, sebaliknya bercakap atas nada emosi politik semata-mata.
Jelas Mahfuz, alMarhum sejak 1999 merupakan wakil tunggal PAS di Dun yang konsistan memperjuangkan nasib penduduk Kampung Tanjung Tokong yang diusir pemaju Uda sejak dua tiga tahun lalu.
AlMarhum juga paling ke depan dalam menuntut jaminan daripada pemaju swasta agar penduduk Kampung Mutiara Batu Feringhi (35070 Lo 39 dan Grand 35071 Lot 40) terus dipelihara, ketika proses penempatan baru penduduk dilakukan.
Sejak bergelar Adun, alMarhum juga dilihat konsistan mendesak kerajaan negeri memperkenalkan dasar ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ dalam siri-siri ucapan perbahasannya di Dewan Undangan Negeri.
AlMarhum turut mendesak kerajaan negeri mengawal kadar sewa rumah di perbandaran yang terlalu tinggi; yang akhirnya mengakibatkan kemiskinan tegar sama dihadapi seperti di perdalaman.
Beliau juga acap kali menuntut penjelasan pihak berwajib termasuk agensi di bawah Persekutuan, PERDA berhubung skim Pembasmian Kemiskinan Pulau Pinang, serta menyelesaikan 27 unit perumahan yang terbengkalai.
Sambil menyanjungi sumbangan alMarhum, Mahfuz berpandangan calon PAS/Pakatan Mohd Salleh Man merupakan satu-satunya pemimpin PAS negeri yang disegani selepas alMarhum; sudah tentunya mampu meneruskan beberapa lagi legasi alMarhum itu sendiri.
Hubungannya yang cukup baik dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sejak diamanahkan sebagai Pesuruhjaya PAS negeri juga melengkapkan lagi harapan rakyat tanpa mengira warna kulit khususnya di Permatang Pasir ini.
Dibandingkan Salleh Man, Rohaizat tidak mampu mencipta pembangunan holistik mengimbangi aspek manusiawi, rohani dan duniawi bersama-sama kerajaan negeri kerana beliau sendiri tidak mempunyai hubungan yang baik serta profesional dengan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
“Satu kerugian bagi rakyat jika tidak bersama mempertahankan kemenangan PAS di Permatang Pasir kerana ia satu-satunya kerusi tunggal yang akan membawa suara rakyat dan umat Islam Pulau Pinang di Dun akan datang kelak.
“Saya tidak fikir Umno layak berbuat demikian, kerana mereka sudah lama diberi peluang (mentadbir kerajaan Pulau Pinang), tetapi lebih mementingkan peribadi daripada rakyat.”
“Rohaizat tidak mampu dan (tidak) layak berbuat demikian, kerana dia sendiri dikaitakan (dengan) masalah moral, pecah amanah dan integriti…yang seharusnya terlebih dahulu diselesaikan sebelum mewakili rakyat (sebagai Adun).”
Ditanya sama ada N11 ini turut dijadikan medan manifesto nasional, beliau menjangkakan ketokohan Salleh Man diyakini mampu menjadi simbol permuafakatan rakyat Muslim Pulau Pinang kelak, andai kata Umno/BN cuba merampas kuasa (kudeta) kerajaan negeri ini sebagaimana yang telahpun dilakukan di Perak serta cuba dilakukan di Selangor belakangan ini.