Sabtu, 11 Julai 2009

Manek Urai : Pemborong Ikan sokong Abe Uji


LALOH, 11 julai - "Saya mengucapkan ribuan syukur kepada Allah kerana kesedaran politik hari ini meningkat dari hari ke hari," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pasar Laloh. Beliau berucap di dalam Himpunan Pemborong dan Penjual Ikan Negeri Kelantan lewat petang semalam.

Tuan Guru di dalam ucapannya turut menyatakan bahawa Islam tidak memandang pangkat, kedudukan, dan kelulusan seseorang di dalam sesuatu pekerjaan. Apa yang paling penting dan dinilai oleh Allah ialah kerja yang manusia lakukan mestilah halal.

"Kita perlu ingat, jalan hidup kita perlu ke Syurga," ujar beliau lagi di hadapan hampir 1000 hadirin yang datang berhimpun.

Pengerusi Persatuan Pemborong dan Penjual Ikan Negeri Kelantan, Tarmizi Salleh yang turut berucap dalam majlis tersebut berkata, "Untuk menjaga peniaga, ketua mestilah ikhlas, amanah dan jujur. Tidak memerlukan sijil dan kelulusan yang tinggi. Kenapa mereka (Umno-BN) perlu hina calon kita Abe Uji?".

"Kami ahli Persatuan Pemborong dan Penjual Ikan seluruh Negeri Kelantan memberi sokongan padu kepada Abe Uji. Kami bangga kerana salah seorang daripada anggota ahli persatuan kami telah dipilih menjadi calon, dan bakal menjadi YB", tambah beliau.

Turut hadir ke majlis Himpunan tersebut Exco Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kelantan merangkap ADUN Mengkebang, Ustaz Abdul Latiff Abd Rahman, Calon PAS Fauzi Abdullah, Pengerusi Kelab Penyokong BBC Kelantan merangkap ADUN Air Lanas, Abdullah Yaakob dan Pengerusi Persatuan Pemborong dan Penjual Ikan Negeri Kedah, Zulkifli Bidin.



Manek Urai : Kebumikan Umno-BN di Manek Urai

MANEK URAI LAMA, 11 Julai - Walaupun dalam keadaan hujan lebat beberapa minit bermulanya ceramah malam semalam, orang ramai berpusu-pusu dengan penuh semangat untuk mendengar ucapan yang disampaikan Ahli Parlimen Bukit Gantang, dan ADUN Pasir Panjang, Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

"Apa yang Umno-BN buat terhadap Negeri Perak menyebabkan rakyat hari ini bukan hanya di Negeri Perak tetapi khususnya di seluruh Malaysia tidak boleh memberi keampunan kepada mereka", kata beliau.

"Apa yang berlaku di Perak mereka (Umno-BN) telah mempamerkan satu kerja, satu tindakan yang kita tidak boleh beri maaf kepada mereka, kerana mereka telah merampas hak rakyat. Kerja merampas hak rakyat ini adalah berdosa besar", ucap beliau lagi di hadapan rumah seorang penduduk Manek Urai Lama.

Tambah beliau, "Umno-BN tidak layak menyatakan parti mereka adalah parti yang membela Agama, Negara dan Bangsa. Mereka adalah pemusnah. Di Perak selama 51 tahun Umno-BN memerintah, Islam tidak pernah ditunjukkan, dibuktikan satu cara hidup, satu fahaman Islam, satu ajaran daripada Allah yang molek".

Beliau sangat berharap rakyat Manek Urai dapat menterjemahkan apa yang telah berlaku di Perak sekarang, dengan mempertahankan dan mengekalkan pemimpin PAS di DUN Manek Urai ini.

Dato' Seri Nizar mengakhiri ucapan dengan berkata, "Jadikanlah Manek Urai untuk mengebumikan Umno-BN dan mentalkinkannya".

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah ADUN Pulai Chondong, Zulkifli Mamat.

Manek Urai : Ustaz Nasharudin turun solat sunat Dhuha di Manek Urai


MANEK URAI, 11 Julai 2009 - Kemunculan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa bersolat sunat Dhuha bersama-sama dengan Mursyidul Am dan Presiden PAS di Sungai Peria, Manek Urai, membuktikan tidak ada masalah antara ketiga-tiga pemimpin tertinggi PAS tersebut.

Ketidakhadiran beliau di dalam penamaan calon pada 6 Julai lalu dan beberapa siri ceramah bersama Tuan Guru Nik Abd Aziz, cuba digambar oleh beberapa media bahawa kononnya beliau masih tidak bersefahaman dengan mursyidul AM selepas isu Kerajaan Perpaduan.

Isu tersebut juga dimainkan oleh pihak BN di atas ketidakhadiran beliau sebelum ini. Khairy Jamaluddin yang turut sama berkempen dalam pilihanraya kecil Manek Urai telah memfitnah bahawasanya Tuan Guru Nik Aziz terpaksa membawa dan menarik balik larangan Ustaz Nasharuddin ke Manek Urai kerana terdapatnya sebilangan besar penyokong Pas di Manek Urai marah atas tindakan tersebut.

Ketidakhadiran Ustaz Nasharudin ke Manek Urai sebenarnya adalah disebabkan beliau masih dalam proses rawatan kesihatan beliau dan bukannya disebabkan isu ketidak sefahaman dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.

Semalam, beliau baru sahaja selesai menjalani pembedahan kecil usus di Hospital Serdang, Selangor.

Beliau yang juga merupakan ahli parlimen Bachok, akan memulakan kempen membantu calon, Abe Uji hari ini.

Walaubagaimanapun, beliau mungkin tidak dapat berceramah hari ini kerana masih keuzuran.


Beliau bersama-sama dengan Mursyidul AM, Presiden dan calon PAS turut sempat bersarapan bersama-sama.