Jumaat, 26 Jun 2009

Takziah Buat Yb. Salahudin Ayub

Dari catatan al Fadhil Ustaz Yusuf Embong

Pemergian Yang Tidak Kesampaian

1. Malam tadi sekitar jam 1.15pagi ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menalipon ke handset aku (yusof embong) , "Assalamu'alaikum ustaz! Ustaz kat mana?" Aku menjawab ringkas berseloroh, "Atas katil :)))".

2. Aku sememangnya baru nak merebahkan badan ke atas katil, Aku sebenarnya baru balik dari menghantar anak lelaki aku Habibullah ke terminal bas bandar Kuantan untuk ke Kota Bharu. Kata ustaz Nasrudin lagi, "Besuk kita ke Batu Pahat, ayah Salahuddin Ayub meninggal dunia". Sambungnya lagi, "Kita bertolak jam 5 pagi, ustaz tunggu kat umah". Aku kata, "Ok insyaALLah, cuma enta kena call ana, kejutkan ana kerana tak tido lagi nie".

3. Terbangun dari tidur.....sekitar jam 5.45pagi aku bergegas ke masjid al-Fattah untuk menunaikan solat Subuh. Dalam hati aku, "tak jadi pergi agaknya ustaz Nasrudin ke Batu Pahat atau aku telah ditinggalkannya".

4. Setelah solat Subuh, aku mendapati Khalilullah anak aku yang ke 8 ada di luar masjid. Katanya' "Ayah! ustaz Nasrudin tunggu kat umah". Pendek cerita bergegaslah aku balik ke rumah menaiki kereta Kancil kuning isteri aku, CAX1672.

5. Sampai kat rumah, aku memberitahu ustaz Nasrudin dan dua orang lagi supaya solat kat surau berdekatan, sambil aku pulak mempersiapkan diri.

6. Aku dah siap berpakaian, pakai baju hijau muda, baju baru siap ditempah(2 helai...1 warna putih dan satu lagi warna hijau muda) oleh isteri tersayang. Elok juga aku rasmikannnya pada hari Jumaat. Sebelumnya isteriku berkata, "Eloklah pakai yang warna putih, lawa pulak Salahuddin pakai hari itu(perasmian mesyuarat agung Pas Kawasan Paya Besar".

7. Jam dalam Trajet( kereta kedarah minyak ) ust Nasrudin menunjukkan 6 lebih. Aku mintak anak muda supaya duduk di sebelah kerana aku nak bawa, aku nak pecut cepat ke Batu Pahat. Di masa yang sama ustaz Nasrudin sedang menalifon seseorang bertanyakan jarak perjalanan dan masa....Katanya dia bercakap dengan Suhaizan.

8. Ustaz Nasrudin kata, "Tak sempat ustaz, jenazah akan dikebumi jam 9 pagi, tak sempat kita......". Rupanya bukan di Batu Pahat, atas lagi di Pontian, dah jadi jarak macam nak ke Johor Bharu. [ sementara DPPP pula ada program selama 2 hari di Genting bermula petang ini . Maka nak kena ambil masa berkejar ke sana pulak ]

9. So kami sepakat membatalkan hajat menziarahi Salahuddin yang kematian ayahnya yang disayangi. Pemergian yang tak kesampaian, hanya sampai ke dai kopi aje. Akhirnya aku dan ustaz Nasrudin minum pagi di restoran Siraj sebelah Nirwana Batu Tiga Kuantan.

10. Semoga ALlah mengampunkan dosa-dosa allahyarham Haji Ayub dan memasukkannya sebaris dengan kalangan para solihin. Kepada keluarga Yb. Hj Salahudin semoga bersabar atas pemergian insan tersayang . Kami seluruh warga DPP mengucapkan takziah buat mantan Ketua DPPP agar Allah berikan kekuatan menerima taqdirNya . Sekian, terima kasih.

Pakatan Rakyat ikrar bentuk kerajaan kukuh


KUALA LUMPUR, 26 Jun (Hrkh) - Gabungan Pakatan Rakyat berikrar dan berazam akan terus bekerjasama untuk membentuk kerajaan yang baru dan kukuh selepas PRU ke-13 nanti.

Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah membuat ketetapan terus menjalinkan kerjasama menjatuhkan kerajaan BN.

Beliau juga difahamkan isu kerajaan perpaduan yang diperbesar-besarkan oleh media arus perdana sebenarnya tidak berbangkit memandangkan ia adalah isu lapuk.

Malah katanya, Pakatan Rakyat juga langsung tidak berminat membincangkan kerajaan perpaduan dengan Umno dan BN.

Beliau yang ditemui di parlimen berkata, Pakatan Rakyat mungkin akan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan BN dalam isu kepentingan negara.

Jelasnya, isu kepentingan negara bukanlah kerajaan perpaduan tetapi ianya melibatkan masalah ekonomi negara, skandal PKFZ, kehakiman, kebebasan media dan institusi keselamatan yang dituduh melakukan bermacam-macam penyalahgunaan kuasa.

"Kami juga menandatangani persetujuan bersama dalam Majlis Pakatan Rakyat untuk membuat perbincangan tentang isu kepentingan negara,"katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perselisihan faham antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa yang menganggap ianya adalah masalah 'keluarga' yang berjaya diselesaikan dengan baik sekali.

"Itu kita anggap isu yang di dalam parti saya tidak mahu komen, bagi saya itu masalah dalam keluarga dan diselesaikan secara baik, elok selesaikan secara dalaman,"katanya. - mks. _

Michael Jackson meninggal dunia...!!! Islam kah dia...???

Super star, Raja Pop yang dikatakan telah menganut Islam beberapa ketika dulu, Michael Joseph Jackson dari Amerika Syarikat, telah meninggal pada 25 Jun 2009 ketika usianya akan menjangkau 51 tahun 29 Ogos ini.

Jackson disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.26pm PDT (5.26am waktu Malaysia) selepas tiba di hospital Los Angeles dan diistilahkan sebagai kematian mengejut. Sebab-sebab kematian belum diketahui dan satu bedah siasat akan dilakukan hari ini.

Michael Jackson dipandang sebagai salah seorang penghibur terhebat dan artis rakaman paling popular dalam sejarah, dengan mempamerkan teknik-teknik fizikal yang rumit, seperti tarian robot dan moonwalking yang telah membentuk muka hiburan dan tarian popular. Kejayaan beliau dalam industri muzik termasuklah revolusi video muzik, mencatatkan keluaran dan jualan album berprofil tinggi sebagai trend baru untuk syarikat rakaman untuk mengaut untung, mendominasi muzik pop sepanjang 1980-an, dan menjadi penghibur berkulit hitam yang meraih bilangan peminat yang besar di MTV sambil melariskan saluran muzik yang muda ketika itu. Gaya, pergerakan dan vokal beliau yang amat unik telah memberi ilham dan pengaruh, serta melahirkan satu generasi penuh dengan artis-artis hip hop, pop, dan R&B. Belaiu secara simboliknya digelar “Penghibur Paling Berjaya Sepanjang Zaman” oleh Guinness World Records.

Jackson memulakan kerjaya menyanyi pada usia tujuh tahun sebagai penyanyi utama kumpulan The Jackson 5. Beliau mengeluarkan rakaman solo sulung beliau, Got to Be There, pada tahun 1971, sementara masih bersama kumpulan tersebut. Dalam karier solo beliau, Jackson merakam dan menerbit album yang terlaris dijual sepanjang zaman, iaitu album Thriller yang jualan sedunianya mencecah 104 juta.[Selepas Thriller, Jackson terus mengeluarkan album-album yang menjadi juara carta antarabangsa seperti Bad (1987), Dangerous (1991), HIStory (1995), dan Invincible (2001), album terkini beliau yang mengandungi semuanya karya asli. Michael Jackson telah menerima 13 anugerah Grammy dan mencatat 13 single #1 di Amerika Syarikat, menjadikan beliau artis lelaki solo yang paling banyak kali mencapai kedudukan #1 dalam era Hot 100. Pada bulan November 2006, World Music Awards mengumumkan bahawa Michael Jackson telah menjual lebih 750 juta unit seluruh dunia,[12] menjadikan Jackson salah seorang artis muzik yang paling laris jualannya sepanjang zaman.

Dari 1988 hingga 2005, Jackson menetap di hartanah Neverland Ranch beliau, di mana beliau membina sebuah taman tema kecil dan zoo persendirian yang sering dikunjungi kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan menghidapi penyakit yang tidak boleh dirawat. Khabar angin mengenai parti bermalam di rumah beliau menerima liputan media negatif setelah didapati bahawa kanak-kanak kerap tidur di aktilnya. Ini mula-mula diketengahkan apabila beliau dituduh melakukan penderaan kanak-kanak seksual pada tahun 1993. Hubungan Michael Jackson dnegan kanak-kanak diketengahkan semula pada tahun 2003 apabila dokumentari TV Living with Michael Jackson disiarkan. Akibatnya, Jackson diheret ke mahkamah lalu didapati tidak bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan kanak-kanak dan tuduhan-tuduhan lain pada tahun 2005.

Setelah sedar dengan keterlanjuran hidup, beliau dikatakan telah menganut Islam selepas menziarah sebuah negara Islam di Afrika.

UMNO masih buka pintu..!!! Sepatutnya begini UMNO Masih Pasang Perangkap Terhadap PAS...!!!

KUALA LUMPUR 25 Jun – UMNO masih membuka pintu kepada Pas untuk berunding mengenai kerajaan perpaduan meskipun ia telah ditolak oleh pakatan pembangkang.

Ketua Penerangannya, Ahmad Maslan berkata, sebagai parti yang menjaga kepentingan orang Melayu dan negara, UMNO sentiasa mengamalkan dasar buka pintu terhadap apa jua cadangan yang mampu membawa kebaikan.

Justeru katanya, selari dengan pandangan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap tidak semua pemimpin Pas menolak kerajaan perpaduan seperti yang dicanangkan, UMNO tidak pernah menganggap cadangan itu sudah terkubur.

“Kita sudah semakin hampir kepada satu hasrat mulia yang mampu membawa kebaikan kepada semua, bukan sahaja orang Melayu, malah kepada seluruh warganegara.

“Meskipun cadangan itu tampak malap, namun kita percaya, setiap hasrat mulia pasti akan berjaya akhirnya dan ia diperkuatkan lagi dengan tidak semua pemimpin Pas kelihatan menolak cadangan kerajaan perpaduan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

BAGAIMANA HENDAK DIPADAMKAN ARANG YANG TERCONTENG INI?

Oleh: Pak Ngah

Tersenyum lega bila Pak Ngah membaca kenyataan TGNA seperti berikut:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Pak Ngah mencuba membersihkan hati dan jiwa yang terluka dari kemelut yang melanda. Bapa Pak Ngah ni bekas homeguard, hidup nya di disiplin cara tentera dan teguh dengan amalan bagi setiap kesalahan yang dilakukan pasti ada hukuman yang menanti. Pak Ngah berlapang dada dengan kenyataan TGNA. Atas sanjungan kepada Mursyidul Am PAS, tidak lagi di persoalkan apa hukuman patut di kenakan kepada kalangan yang menimbulkan kemelut tersebut, namun sebagai anak bekas homeguard ini tetap ingin memberikan peringatan, kalau di ulangi samada nampak dimata atau berselindung , covert operation, selicik mana gerakan diaturgerak, Jemaah perlu menghambat mereka pergi tanpa perlu belas kasihan.

Berhati hatilah.

Kini Pak Ngah tertanya tanya, kearah mana pula nak dibawa? Orang bawahan pasti akan merenung wajah pemimpin mereka yang disayangi. Kepimpinan yang terpalit dengan kemelut ini harus menjangkakan pengharapan Jemaah yang amat tinggi bagi mereka memulihkan keadaan. Keadaan yang perlu di lakukan perlulah merupakan kemampuan luarbiasa. Bagi kepimpinan ini hendaklah berusaha berlipat kali ganda dari yang sebelum nya bagi mengelakkan kegusaran jemaah. Jangan pula berdukacita kalau gagal melaksanakan agenda besar merobah suasana kerana jemaah akan melihat usaha usaha tersebut. Kalau takut menghadapi suasana ini, perlihatkan keberanian, berehatlah kalau perlu.

Kita bangsa timur yang penuh sopan santun, tinggi budi pekerti nya dan harum budaya bangsa nya. Pelihara lah kebanggaan budaya bangsa ini selagi tidak menyanggahi syariah. Gembirakan lah orang orang kampong, petani, penoreh getah, pesawah, pengusaha kelapa sawit sekangkang kera, peniaga kedai runcit, kedai kopi, gerai, peniaga pasar malam, pak cik, mak cik, pak long mak long dan juga lebai lebai, siak, drebar teksi dan lori. Hari tak selalu nya cerah, ada kala nya kelam petir berdentum dan hujan turun menyegarkan kembali tumbahan yang kekuningan kerana kepanasan. Tidak ada double standard dan perbezaan nya antara kami, harapanya bagitu juga pada pemimpin. Pemimpin datang dan pergi adalah lumrah alam. Kata orang tua tua, Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama. Ada nama yang terpahat pada sejarah tentang kebaikan dan ada jua yang sebaliknya. Ia nya adalah sejarah yang tertulis dan tersurat. Kehidupan harus diteruskan seumpama kalau ada sebiji benih di tangan sekali pun besuk akan kiamat patut jua ia ditanam.

Akhirnya salam buat semua dari Pak Ngah, ingat mengingati kita sesama manusia, bermaafan satu tuntutan, setiap satu kesalahan perlu ada satu hukuman. Biarlah hukuman itu yang adil untuk semua dan tiada pengadilan berpilih.

Alasan banggang daripada mereka yang banggang...!!!

Haru sana.... haru sini. Itu ler penangan UG. Sekarang PAS kata sorry.... the chapter on UG is closed!!! Kami mahu unity pulak dalam Pakatan Rakyat. Unity untuk strengthen Pakatan Rakyat bagi melawan dan seterus nyer mentalkin UMNO dan BN.

Keputusan yang dibuat oleh PAS dan Pakatan Rakyat telah menyebabkan UMNO meroyan. UMNO jer yang meroyan sakan tau.... Komponen BN yang lain tak ambil pusing, sebab mereka pun tak berapa setuju cara UMNO bermain cinta dalam gelap dengan PAS. Udah ada banyak bini pun.... UMNO masih nak main cinta dengan PAS.

Mula-mula Najib control macho.... Tak berkahwin dengan PAS pun UMNO/BN mampu untuk terus melayari bahtera mereka. Tapi sebenar nyer..... mereka dirundung kegelisahan yang amat sangat. Nak bersuara banyak-banyak malu kot..... jadi terpaksa ler menggunakan khidmat barua-barua mereka di sana sini....

Antara barua-barua UMNO yang bersuara bagi pihak UMNO ialah NGO-NGO Melayu, Raja Katak dari Kelantan dan Ular dalam semak dari Negeri Perak....

Raja Katak dari Kelantan tu biasa ler..... tak habis-habis dengan Melayu nyer.... Tak sapa lagi ler yang lebih Melayu dari si katak ni.... Apakata kita panggil Katak ultra-Mekayu. Macam-macam kata demer pada PAS. PAS mengecewakan orang Melayu ler.... PAS tak pentingkan kepentingan Melayu ler..... PAS tak nak kan Melayu-Islam berpadu ler.... PAS mempermainkan perasaan orang Melayu ler..... Tak caya kalor, baca kat sini. Komer juga boleh refer pada Utusan Meloya dan lain-lain MSM demer

Si Ular Dalam Semak from Perak pulak kata.... kita putuskan tali persaudaraan ler.... berkelahi ler.... mesti perjuangkan perpaduan Melayu-Islam macam dia ler.... Ermmmm... malas teman nak cakap dan elaborate panjang-panjang tentang apa yang Tok Peti ni cakap..... Menyemakkan kepala hotak teman jer... Apa yang dia cakap, tak make sense langsung...... Teman rasa ler, Tok Peti ni... samada, dia tak reti atau pun dia kompius. Or worse.... fius udah short!!!

Kita tolak UG ... dia kata kita putus tali persaudaraan dan berkelahi. Sapa pulak yang putuskan tali persudaraan dan berkelahi dengan demer. Kita orait jer.... Tak der aper-aper..... masih boleh jadi member. No hal punyer.... Di pihak demer.... entah ler pulak, bagaimana demer menerima penolakan kita terhadap UG ni. Makan tak mahu berak , minum tak mahu kencing. Oooo... teruk nyer... Patut ler demer ngelisah....!!! Sour grape... lepas tu ngata kita pulak....

Itu ler kerja demer..... asyik nak berburuk sangka dan menuduh kita jer..... Yang baik tu demer, yang tak baik tu kita!!! Lantak komer ler... Lu punya sukak!! Mampuih pi komer ler....

Daripada komen-komen demer.... satu perkataan yang menjadi kata kunci demer, ialah MELAYU. Udah-udah ler tu..... Balik-balik Melayu..... balik-balik Melayu.... Itu ler modal demer!!! Bila demer rasa, diri demer dah lemah dan tergugat..... mula ler demer mainkan sentimen Melayu untuk meraih semula sokongan Melayu. Demer cuba gambarkan yang PAS ini..... tak cukup Melayu. Demer lagi Melayu.... PAS tak serius memperjuangkan Islam sebab demer lagi Islam.... ultra-Islam gitu. Weh.... betoi ke istilah yang teman pakai ni.... Gasak ler, asalkan komer paham!!! PAS ni pandai main politik jer..... Aha....tau tak per!!!

Weh....sedor ler!! UMNO yang bersetuju untuk menerima kaum bukan-Melayu sebagai rakyat di bumi bertuah ni. Kalor udah rupa itu, sepatut nyer, komer mesti sanggup menerima risiko perubahan landskap politik dan sosial negara di masa akan datang. Nah.... sekarang ni, komer sudah pun berada dalam realiti yang sebenar nyer. Mengapa pulak, komer susah sangat nak menerima realiti yang kita kini adalah sebuah masyarakat majmuk yang masing-masing mempunyai hak yang dijamin oleh perlembagaan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna. Terimalah kenyataan dengan rela dan jangan berpura-pura serta hidup dalam denial..... Itu ler antara masalah komer.... Sebab itu, Rakyat nampak komer PLASTIK!!!

Uhhh mak.... gah bercakap pasal pembinaan negara bangsa dengan slogan Satu Malaysia nyer tapi bila nak ber UG.... berbincang dengan PAS jer. Melayu dan Melayu jer nak bersatu??? Apa perasaan kaum-kaum lain?? Sebenar nyer, MELAYU tu tak penting sangat pada komer. Apa yang lebih komer pentingkan ialah survival politik komer kerana orang-orang Melayu, malah yang bukan-Melau mula meninggalkan komer!!! Kuasa politik komer yang sebenar nyer nak diperkukuhkan... bukan perpaduan Melayu.

Rata-rata, rakyat Satu Malaysia sudah celik mata dan sudah mula menerima corak politik baru yang berteraskan keadilan dan persaudaraan sejagat tanpa mengira kaum dan agama. Ini lah corak politik yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. PRU 12, telah membuktikan yang ia mula diterima oleh rakyat Malaysia. Gelombang politik baru ini lah yang mula menghakis ketuanan politik komer dan itulah realiti yang ditakuti oleh UMNO/BN.

Syukur, alhamdulillah....... nasib baik ler, akar umbi dan ada dalam kalangan pemimpin PAS yang sedar akan tipu helah komer dan menentang UG ni. Sebelum sesat dihujung jalan, lebih baik balik ke pangkal jalan. Ini ler langkah bijak yang telah diambil oleh PAS.

Tindakan bijak PAS inilah yang telah menyebabkan UMNO giler meroyan. Maka.... hingor-bingor ler para pemimpin UMNO serta barua-barua mereka, menuduh PAS dengan tuduhan-tuduhan yang BANGGANG. Malang nyer, semakin demer bukak mulut demer...... demer pulak yang nampak BANGGANG!!!

Sebelum nampak bertambah banggang..... Tok Peti ke, Ibrahim Ali ke.... sapa-sapa ke..... lebih baik, shut your mouth and shut up!!! Nah ambik sepuluh sen, pegi main jauh.... jauh.... Buat menyemak jer!!

Manek Urai : UMNO Gunakan Tentera Raih Undi

Parti UMNO akan turun bertanding pada pilihanraya kecil Manek Urai bulan depan dengan taktik baru: membawa masuk Angkatan Tentera Darat untuk meraih undi daripada penduduk, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar mendedahkan.

“Projek Jiwa Murni,” akan meyaksikan anggota tentera diberi misi melaksanakan beberapa projek kebajikan di kubu kuat PAS di DUN Manek Urai untuk menyakinkan pengundi memberi sokongan kepada UMNO, kata Mahfuz.

Beliau memberikan bukti dalam bentuk salinan dokumen Kementerian Pertahanan yang memberi arahan khusus tentang perlaksanan projek itu.

“Bersama saya surat dari staf perisikan di Kementah kepada Panglima Angkatan Tentera, yang mengarahkan satu projek awam mesti dibuat di bawah Angkatan Tentera Darat di kawasan-kawasan peti undi kelabu dan hitam dimana BN mampu memperkukuh tahap sokongan berdasarkan kepada keputusan PRU12,” kata Mahfuz.

Beliau berkata walaupun angkatan tentera melaksanakan projek-projek itu seolah-olah untuk membantu rakyat, dokumen berkenaan jelas menunjukkan tentera turut “diseret ke dalam kempen politik bagi menjayakan kemenangan bagi Barisan Nasional”.

“Ini ayat cukup jelas hasil dari Bahagian Risik dan dipersetujui oleh Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan yang telahpun mengeluarkan arahan melaksanakan projek Jiwa Murni,” tambah Mahfuz.

Mahfuz berkata Projek Jiwa Murni dilancarkan bagi memberi kemenangan kepada UMNO pada pilihanraya kecil Manek Urai pada 14 Julai nanti.

Menurut Mahfuz, antara kawasan yang disasarkan di bawah projek itu adalah Lata Rek, Laloh, Sungai Perial, Sungai Sok, Temalir, Chuchoh Puteri, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru.

“Ini semua berkaitan dengan kajian kekuatan dan kelemahan BN yang dibantu oleh Bahagian Perisikan Tentera. Mengheret angkatan tentera untuk menjayakan kemenangan BN adalah diluar dari bidang tugas tentera,” kata Mahfuz.

Sebelum itu di Dewan Rakyat, barisan menteri dan wakil-wakil rakyat Umno-BN diam ketika diajukan pertanyaan dari Mahfuz mengenai dokumen Kementerian Pertahaanan itu. .
Mahfuz menggesa supaya Umno supaya tidak bersikap bacul dengan menyalahgunakan sumber-sumber ketenteraan dalam pilihanraya.

“Saya bukan menghalang mereka buat projek membantu masyarakat. Disini jelas menyatakan arahan supaya projek itu tidak dibuat dekat dengan penamaan calon nanti akan dilihat mengatakan pihak tentera terlibat secara langsung," kata Mahfuz.

Ini jelas satu taktik untuk mengabui mata rakyat dan Pakatan Rakyat. Hakikat ialah ini adalah projek pilihanraya. Kami tidak membantah sekiranya mereka buat selepas pilihanraya,” kata Mahfuz. - TVA

BN kerajaan sah di Perak....??? Rayu TPM pada rakyat...!!!

oleh SITI MARIAM MD. ZAIN dan ZAINI RABAN
pengarang@utusan.com.my

IPOH 25 Jun - Semua pihak harus menerima hakikat bahawa Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang sah dari segi undang-undang untuk mentabdir Perak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, atas dasar itu, semua pegawai dan kakitangan kerajaan di negeri ini wajar menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin.

''Walaupun ada debat yang hebat, hakikatnya BN adalah kerajaan yang sah dan berhak mentadbir negeri ini (Perak) dengan lebih baik lagi," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta warga pendidik di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, sebagai kakitangan kerajaan, mereka tidak harus menegakkan ideologi politik masing-masing kerana ia akan membantutkan usaha memajukan rakyat keseluruhannya.

''Yang penting sekali adalah kita bekerja untuk kerajaan yang memerintah pada hari ini. Sebagai kakitangan awam, kita bertanggungjawab kepada rakyat, kitalah yang memikul amanah dan tanggungjawab itu," katanya.

Walaupun banyak perkara pokok perlu diberi tumpuan, katanya, kerajaan tetap tidak akan mengetepikan soal perpaduan nasional antara rakyat di negara ini.

Katanya, kestabilan negara ini perlu dikekalkan kerana rakyat telah biasa dengan kehidupan yang aman, maju dan sejahtera.

''Pandangan politik tidak sepatutnya menjadi faktor perpecahan sebaliknya ia suatu perkara yang biasa berlaku di negara ini.

''Hakikatnya kepelbagaian pandangan memberi kekuatan tetapi kita tidak akan berkompromi apabila ada pihak cuba menggugat kestabilan negara," katanya.

Menurut Muhyiddin, kerajaan tidak mahu melihat keadaan tidak stabil berlaku apatah lagi menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat.

Hakikatnya tegas beliau, cabaran-cabaran tersebut dapat dielakkan jika semua pihak faham tentang peranan masing-masing seperti termaktub dalam Perlembagaan.