Sabtu, 13 Jun 2009

Pindaan dilulus 'selepas pengiraan undi penuh emosi'

Kongres khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu "selepas pengiraan undi yang penuh emosi".

PKR meminda perlembagaannya bagi menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Pengarah Komunikasi, Jonson Chong, berkata dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, pindaan itu diterima seperti peruntukan Perkara 31.1 perlembagaan PKR.

Dalam satu kenyataan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali "selepas pengiraan undi penuh emosi".

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'pengiraan undi penuh emosi' itu.

Difahamkam pengiraan undi dijalankan secara angkat tangan. Semua pindaan tidak diundi secara berperingkat, sebaliknya dibuat secara sekaligus.

Cadangan yang dibentangkan naib presiden Sivarasa Rasiah itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan yang hadir.

'Kemungkinan p'raya mengejut'

"Dengan sokongan jelas dan padu yang ditunjukkan dalam kongres ini, kepimpinan PKR bersedia membangun dan mengukuhkan parti demi menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Perak dan Sarawak pada masa depan," kata Jonson.

Malaysiakini difahamkam, dalam perbahasan cadangan itu - yang tertutup kepada media - terdapat beberapa perwakilan tidak bersetuju dengan beberapa bahagian tertentu dalam cadangan pindaan itu.

Juga difahankan seorang perwakilan menyifatkan pertukaran nama bahagian dan cawangan kepada cabang dan ranting "tidak bersifat progresif".

Beliau sebaliknya mencadangkan istilah zon dan kawasan. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Seorang lagi perwakilan dikatakan meminta cadangan had umur keanggotaan Angkatan Muda PKR diturunkan daripada 40 sehingga 35 tahun ditangguhkan terlebih dahulu kerana ia belum sesuai dilaksanakan lagi buat masa ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu.

Anwar: Henti Jadikan Chin Peng Modal Politik Perkauman

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa Barisan Nasional dan media arus perdana kawalannya supaya berhenti menjadikan Chin Peng sebagai isu untuk membakar sentimen perkauman di negara ini.

Media rasmi seperti RTM telah mewar-warkan bahawa bekas ketua parti komunis Malaya itu adalah satu risiko kepada kedudukan orang Melayu dan kerajaan BN bertindak betul melarangnya kembali ke negara ini.

Anwar berkata beliau menolak gerakan militan Parti Komunis Malaya “tetapi itu tidak bermakna kita mempertahankan gerombolan orang yang menjadi agen kepada penjajah Inggeris."

Kerajaan BN seharusnya konsisten dalam melayan permintaan Chin Peng yang sudah berumur dan mahu kembali ke kampong halamannya, kata Anwar.

Anwar berkata kerajaan sebelum ini membenarkan bekas pemimpin kanan Parti Komunis Malaya seperti Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad, untuk kembali menetap di Malaysia tanpa masalah.

“Kita telah adakan perjanjian damai…Saya tak mahu melihat seolah-olah komunis Melayu tidak apa, tetapi komunis Cina tak boleh (dibenarkan pulang). Ini saya tidak boleh terima,’ kata Anwar.

Anwar berkata hakikat ialah pemimpin Barisan Nasional dan UMNO tidak mempunyai masalah berurus dengan kerajaan Cina pada bila-bila masa.

“Kita bukan sahaja sudah memaafkan mereka, malah kita berbaik-baik bukan sahaja dengan kerajaan Cina tetapi juga Parti Komunis Cina sendiri, “ kata Anwar.

“Pemimpin-pemimpin BN-UMNO dan ketika itu, saya sendiri, bila berkunjung ke Cina, menemui pemimpin-pemimpin negara itu yang terang-terang menyokong Parti Komunis Malaya,” tambah Anwar.

“Jadi bagi saya, kita harus konsisten dengan dasar kita (dan) kita maafkan” Chin Peng, kata Anwar.

Anwar berkata beliau menyedari kenyataannya akan diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan media arus perdana lain sebagai kononya beliau mempertahankan pengganas dan tidak simpati dengan derita rakyat ketika itu mahupun perjuangan pasukan keselamatan.

Namun Anwar menegaskan sekali lagi bahawa beliau hanya ingin melihat kerajaan konsisten dengan dasarnya dan biarlah “kita berperikemanusiaan.”

Beliau mengingatkan bahawa Islam sendiri mengajar umatnya untuk memaafkan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammmad S.A.W terhadap musuh Bani Qurasy yang membunuh dan melakukan keganasan terhadap orang Islam.

Konsep 1Malaysia bertunjang kepada Perlembagaan negara - Ibrahim Ali

PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi pertubuhan itu di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini. Seramai 22 anggota pertubuhan itu turut serta dalam pertemuan lebih satu jam yang membincangkan isu berkaitan agenda Melayu.

(Bernama) - Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik mengambil alih kepimpinan negara akan terus bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa konsep itu yang memberi penekanan terhadap mengutamakan kehendak rakyat akan terus memperkasa setiap perkara tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam Perlembagaan.

Jaminan Perdana Menteri itu diberikan kepada Ibrahim dan 20 anggota Perkasa yang melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di sini hari ini.

Ibrahim berkata jaminan oleh Perdana Menteri bersesuaian dengan kepentingan kerajaan untuk menjaga kepentingan kaum bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Keadaan semakin jelas dan kekeliruan yang berlaku angkara tokok tambah oleh pihak-pihak tertentu berjaya diselesaikan dalam pertemuan hari ini dan Perkasa senang hati dengan penjelasan Perdana Menteri mengenai konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas itu.

Konsep berkenaan juga, kata Ibrahim, tidak bersangkut-paut dengan gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP selama ini.

Anwar: Sedia bincang dengan Najib, tapi bukan k'jaan perpaduan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sedia berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi tidak timbul langsung isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Tidak timbul isu kerajaan perpaduan. Isu kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali," tegas beliau dalam ucapannya di Kongres Nasional Khas PKR di Nilai hari ini.

"PAS telah menjelaskan pandangan degan sebaiknya. Kita sedia berbincang dengan syarat hentikan kezaliman, bebaskan badan kehakiman dan pastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

"Kalau ini semangat yang ada, tidak ada masalah untuk kita berbincang. Tidak timbul isu yang diwarkan-warkan, (iaitu) kerajaan perpaduan," tegas Anwar.

Beliau mengulas isu kerajaan perpaduan yang diutarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga mencetuskan andaiaan bahawa parti Islam itu berniat bergabung dengan Umno.

"Selepas Muktamar PAS, saya hubungi Ustaz Abdul Hadi dan berbincang panjang. Kita akan jelaskan melalui kenyataan media yang bakal keluarkan," tambahnya.

Sementara itu, Anwar berkata, PKR tidak bersetuju dengan tindakan "mengharamkan badan tertentu dengan sewenang-wenangnya" atas "prinsip kebebasan".

Walaupun beliau tidak menyebut nama pertubuhan tersebut, ia dipercayai berkaitan dengan usul yang diluluskan muktamar PAS berhubung isu tersebut minggu lalu.

Muktamar itu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan, yang disertai PAS, dan sejumlah NGO.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga membantah cadangan tersebut.

Sidang akhbar

PAS Shah Alam semalam menyatakan hasratnya untuk menarik balik sebahagian perkataan dalam usul tersebut, antaranya "mengharamkan", dengan alasan ia tidak sempat dimuktamadkan sebelum dibawa ke mukamar.

Yang Dipertuanya, Khalid Samad dijadual mengadakan sidang akhbar jam 2 petang esok bagi menjelaskan lagi kontroversi usul tersebut.

Timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali sebelum ini turut dilaporkan tidak bersetuju dengan usul PAS kawasan Shah Alam yang diterima tanpa bahas.

PKR hari ini melangsungkan kongres khas bagi meminda perlembagaanya "bagi menjadi parti paling demokrasi di Malaysia".

Kongres itu akan membincang dan meluluskan tujuh usul penting termasuk menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri..

Zaid Ibrahim masuk PKR

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Katanya, Zaid secara rasminya akan mengisi jawatan tersebut selepas disahkan presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setelah “dirasmikan dalam mesyuarat” secepat mungkin.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR. Turut sama naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.

"Ini berita yang cukup menggembirakan. Ia berkuatkuasa hari ini. Satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita,” katanya.

Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.

"Sikap ketegasan dan keberanian beliau (dapat dilihat), terutama dalam isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman,” katanya.

Reaksi Zaid

Anwar yang juga ketua pembangkang, turut menganggap penyertaan Zaid itu sebagai satu langkah positif kepada PKR dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

"Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. (Presiden PAS, Datuk Seri) Hadi tidak ada sekarang. Mesyuarat akan diadakan Isnin depan (bila Hadi dapat hadir).

Sementara itu Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dengan parti pelbagai kaum itu yang mahu membela nasib rakyat.

“Saya percaya, kalau diberi peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan pemimpin lain. Saya berminat dan berhasrat mengukuhkan Pakatan rakyat," katanya.

Menurut Zaid lagi, beliau bersedia membantu Pakatan menjadi alternatif yang benar-benar rakyat boleh harapkan untuk menubuhkan kerajaan yang baik.

Bagaimanapun, dengan merendah diri Zaid berkata: "Saya belum pakar lagi. Saya harap dapat memainkan peranan. Saya bukan pakar.”

Ditanya kenapa beliau mengumumkan penyertaannya hari ini, Zaid berkata:

“Saya selalu ingin sertai PKR. Saya beritahu Anwar. Tetapi saya rasa hendak berehat sekejap. Jadi, saya rasa hari ini hari yang sesuai.

“Ini hari yang bersejarah apabila kita akan meminda perlembagaan,” katanya.

PAS KUTUK SERANGAN DI SELATAN THAILAND

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - PAS mengutuk keras serangan yang dilakukan ke atas umat Islam di selatan Thailand.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendesak agar tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan keganasan tersebut.

"PAs mengutuk serangan yang berlaku di Selatan Thailand dan amat kecewa dengan apa yang berlaku.

"Kami juga mendesak agar siasatan segera dilakukan dan satu tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan serangan ini," tegas Hadi.

Beliau juga menjelaskan, PAS bersedia untuk memainkan peranan penting untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand jika mendapat jemputan.

PAS, kata Hadi, tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana pihak di Selatan Thailand.

Selatan Thailand bergolak lagi pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka. - mns_ (harakahdaily)