SILA KLIK UNTUK PENAJAAN

Selasa, 1 Disember 2009

BTN jadi kambing hitam pembangkang — Md Shukri Shuib



DIS 1 — Takut pada bayang-bayang sendiri menyebabkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat bertindak melulu untuk tidak membenarkan pembabitan pegawai kerajaan negeri serta pelajar beberapa institusi pengajian tinggi milik negeri itu untuk menyertai program Biro Tata Negara (BTN). BTN adalah sebuah agensi Persekutuan dan seorang Exco kerajaan Selangor turut menyandang jawatan tertinggi pengurusan agensi itu, tetapi agensi itu kini bagaikan satu ‘ancaman’ kepada sebuah kerajaan negeri.
BTN adalah agensi kerajaan sama ada ia bertaraf agensi Persekutuan atau negeri, wajar dihormati. BTN seperti lain-lain agensi pastinya meletakkan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat sebagai satu keutamaan, dan pernyataan bahawa BTN sebagai satu agensi yang berkhidmat kepada mana-mana parti politik tidak harus dilontarkan.
Harus difahami bahawa setiap agensi kerajaan sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri seharusnya ‘menjiwai’ dan memahami aspirasi serta dasar kerajaan semasa tanpa mengira fahaman politik kepartian kerajaan berkenaan.
Untuk itu, soal berkhidmat kepada kerajaan semasa tidak seharusnya disalah faham dan dicampur adukkan dengan tuduhan seolah perkhidmatan diberikan adalah untuk parti politik. Jika demikian tidak salah juga dikatakan bahawa setiap agensi negeri di Selangor kini bertaklikkan kepada soal memberi khidmat kepada parti pembangkang.
Mungkin kerana itu juga menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat apabila khidmat diberikan lebih menjurus kepada soal sokongan terhadap parti pembangkang yang kini mentadbir Selangor. Jika BTN dianggap pemecah-belah perpaduan, bagaimana pula dengan sikap kerajaan Selangor yang cuba memecah-belahkan kesepaduan khidmat segenap agensi kepada rakyat yang dilihat kini lebih berorientasikan kepada perkiraan politik partisan berbanding khidmat menyeluruh kepada rakyat.
Menanamkan sifat benci rakyat kepada agensi Persekutuan dilihat berbahaya dan mampu menyahintegrasikan Malaysia sebagai sebuah negara berpersekutuan. Ini kerana setiap kerajaan negeri seharusnya menghormati setiap peranan yang wujud dalam konsep berpersekutuan seperti diamal sekian lama. Apakah motif di sebalik ‘ketakutan’ kerajaan pakatan pembangkang ini?
BTN dan agensi Persekutuan bukanlah parti politik yang perlu ‘dicemburui’, sebaliknya agensi ini adalah ‘pembantu’ kepada kerajaan dalam menyampaikan khidmat. Kes yang diciptakan kerajaan Selangor pimpinan pembangkang ini dilihat unik kerana walaupun kini parti pembangkang berstatus kerajaan tetapi ‘gerun’ dengan sebuah agensi kerajaan yang pastinya ‘ruang pengaruh’ lebih minimum berbanding pakatan beberapa parti politik yang kini menguasai keseluruhan pemerintahan sebuah negeri, apatah lagi Selangor sebuah negeri ‘maju’ dan ‘kaya’ di Malaysia.
Sikap ‘gerun’ sesebuah kerajaan negeri terhadap mana-mana agensi kerajaan seharusnya tidak menular sehingga mengganggu tugas dan peranan agensi terbabit dalam menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat.
Jika kerajaan pakatan pembangkang di Selangor sanggup memperlakukan tindakan tidak berhemah kepada agensi Persekutuan, bayangkan pula jika Kerajaan Pusat bertindak mengenakan ‘tekanan’ kepada mana-mana agensi negeri Selangor sebagai timbal balas, apakah persepsi dan perasaan kepemimpinan negeri dalam hal ini?
Kerajaan Selangor pimpinan pembangkang tidak seharusnya mengheret agensi kerajaan ke kancah politik, kerana penyertaan dan peranan dalam pilihan raya adalah hakikinya peranan ahli politik dan bukan kakitangan awam.
Kesedaran bahawa BTN bukan sebuah parti politik harus difahami jelas kerajaan Selangor pimpinan pakatan pembangkang. Dogma campur aduk antara fungsi berparti dan berkerajaan harus mereka fahami dengan jelas bagi memastikan kelancaran pentadbiran yang mereka perlu mainkan sebagai sebuah kerajaan yang memimpin dan bukan lagi hanya bermindakan politik kepartian PKR-DAP dan Pas semata-mata.
Pisahkan minda politik berparti di luar daripada urusan pentadbiran sebagai kerajaan, maka pasti pakatan yang dibina pembangkang akan lebih efisien mentadbir negeri semewah Selangor. Sikap memusuhi mana-mana agensi kerajaan yang pegawainya dilantik kerajaan sama ada pada peringkat persekutuan mahupun negeri, akan mengundang padah kepada kerajaan itu sendiri.
Sepatutnya hubungan pentadbir awam dan ahli politik yang menjawat jawatan eksekutif harus saling memahami dalam keadaan hormat menghormati, bukan sebaliknya. Adalah lebih waras dan berhemah jika kerajaan negeri Selangor pimpinan pembangkang bertindak memanggil BTN dan menjelaskan dasar bersangkutan kerajaan negeri pimpinan mereka.
Langkah itu lebih baik berbanding cubaan ‘memboikot’ dan seolah mengenakan tindakan keterlaluan sehingga dilihat bukan saja mengaibkan organisasi malah dalam tidak sedar memberikan konotasi bahawa pegawai dan kakitangan dianggap ‘musuh’ kerajaan negeri pimpinan pembangkang. Ini cukup tidak berhemah.
Soalnya juga, kenapakah hanya di Selangor kelihatan ‘memusuhi’ BTN, sedangkan di Kelantan yang sejak 1990 diperintah Pas, tidak berbuat demikian.
Jika demikian sikapnya, bermakna dalam pakatan pembangkang itu sendiri, konsep kepemimpinannya dan dasar diaplikasikan adalah tidak konsisten dan masing-masing mengikut hala tuju sendiri tanpa keselarasan dan tempat rujukan sebagai ketua yang jelas.
Untuk itu, pernyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembangkang memerlukan 100 tahun untuk faham fungsi dan peranan sebagai sebuah kerajaan adalah tepat. — Berita Harian
Penulis ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

0 comments:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA